Salam kedamaian buat semua…
Affirmasi adalah pernyataan diri. Apa yang kita mahukan, katakanlah kepada diri kita sendiri. Ia sebenarnya berbentuk langkah atau proses kita memprogram semula minda bawah sedar kita.
Suatu masa dahulu ketika KM masih giat aktif dalam sukan tempur, jurulatih aka tok guru KM sudah mengajar KM berkenaan affirmasi ini. Cuma masa tu KM tidak tahu ia adalah berkaitan sains minda. Memang orang dulu sudah melaksanakannya, cuma kita tidak sedar dan tidak tahu.
Biasalah, bila terlibat dengan sukan tempur, maknanya kita perlu bertempur. Jadi, keyakinan diri perlu ditingkatkan. Percayalah bahawa sehebat mana atau sejaguh mana seorang ahli tempur itu, pasti dia akan merasa berdebar dan gusar sebelum acara bermula. Apatah lagi bila lawannya itu lebih besar, dan kelihatan lebih gagah daripada kita, atau kita sudah tahu profilnya tentang sejarah kemenangan dan jumlah pingat yang pernah dia miliki dahulu. Rasa gentar itulah yang boleh kita hapuskan dengan affirmasi.
Jurulatih KM akan sarankan untuk KM buat affirmasi di hadapan cermin. Duduk depan cermin di bilik persalinan atau di mana-mana sebelum acara, dan mula katakan kepada diri bahawa kita bersedia dan ‘mampu’ untuk mengalahkan lawan kita walau siapapun dia itu.
Jurulatih KM akan suruh lakukan affirmasi yang mudah, ringkas tetapi menyeluruh, dan dilakukan dalam 3 keadaan intonasi suara. Dan KM mula mereka-reka affirmasi itu dan lakukan. Percaya atau tidak, KM memang rasa lebih yakin, lebih mampu berhadapan dengan lawan, dan 90% daripada pertempuran itu KM berjaya takluki lawan dengan lebih mudah.
“Aku bersedia menghadapinya…”
“Aku adalah juara dan berkuasa….”
“Aku berjaya melakukan pukulan yang tepat dan hebat….”
“Aku adalah pemenang dan selalu jadi pemenang….”
Ayat-ayat ini KM ulang dalam 3 intonasi suara di hadapan cermin. Intonasi pertama dalam bentuk berbisik, kedua dalam intonasi biasa, dan ketika dalam keadaan yang agak kuat seperti mahu melaungkan semangat. (ingat, jangan lakukan ditempat awam, nanti ada yang tertanya-tanya bila kita melaung begitu….)
Kita boleh lakukan apa sahaja affirmasi untuk diri. Bayangkan bila kita lakukan di hadapan cermin dan dalam 3 intonasi suara tadi. Pasti rasa semangat dan penuh keyakinan akan menjelma dalam diri. Kita akan jadi lebih bersedia dan yakin. Seolah-olah ada keajaiban tercipta bila semuanya serba menjadi.
Cubalah….namun harus diingat, terus berdoa kepadaNya jangan dilupa. Affirmasi adalah untuk meningkatkan kekuatan kuasa minda kita, dan setiap keputusan atau menjadi tidak sesuatu itu tetap dengan izinNya jua….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan