Jumaat, 27 Disember 2013

Tarik nafas dan bertenanglah….

Salam kasih sayang daripada KM.

Dalam SRJ kali ini, KM nak teruskan penerangan tentang cara untuk kita lebih fokus dan khusyuk semasa solat.  Maklumat ini KM dapat daripada seorang tuan guru yang memberi panduan tentang khusyuk dalam salah satu kuliahnya di surau kawasan KM tinggal.

Kata tuan guru;

Tariklah nafas dan bertenang dalam setiap rukun atau perlakuan dalam solat itu sebelum kita membaca apa yang perlu ketika itu.

Maksudnya, dalam setiap rukun seperti bertakbirratul ihram, tarik nafas dulu dan rasakan ketenangannya kemudian barulah bertakbir dan niat tentang solat yang hendak dikerjakan itu.

Bila tangan sudah dikiamkan, tarik nafas dan tenanglah dulu sebelum kita membaca surah Al-Fatihah.

Semasa ruku’, betulkan kedudukan ruku’ itu dulu, tarik nafas dan bertenang, kemudian baru lakukan bacaan dalam ruku’ itu.

I’tidal, bangunlah dari ruku’ dan betulkan kedudukan dulu, kemudian tarik nafas dan bertenang, disusuli dengan ungkapan dalam bacaan I’tidal.

Begitulah seterusnya hingga ke salam…

Maksud yang tuan guru tersebut nak terangkan adalah, kita sentiasa membetulkan dulu kedudukan dalam setiap rukun itu, kemudian ambil nafas dulu, rasakan ketenangannya, dan barulah mula membaca apa yang perlu dibaca semasa rukun-rukun tersebut.  Semasa membaca itu perlu juga kita ingat maksud atau intipati maksud bacaan itu.  Hal-hal ini pasti akan membuatkan kita jadi lebih khusyuk dan fokus semasa bersolat.

Jika difikirkan secara logik pun, memang bila kita lakukan satu persatu dan rasa bertenang, pasti kita akan lebih fokus.  Berbanding jika kita bersolat seolah-olah mengejar masa, memang nampak kita tidak bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya. 

3 ulasan:

  1. Salam En.KM, bagaimana cara bernafas dengan betul?kena sedut dalam-dalam ke?

    BalasPadam
    Balasan
    1. Dalam catatan yang KM lakukan ini adalah pandangan dan cadangan daripada seorang ustaz tentang cara untuk sentiasa tenang dalam solat. Pandangan beliau, kita kena betulkan dulu kedudukan setiap rukun, diikuti dengan menarik nafas, dan kemudian baru membaca bacaan dalam rukun tersebut.

      Menari nafas di sini adalah menarik nafas biasa. Menurut beliau, kita rasakan bagaimana nikmatnya kita yang masih bernyawa dan rasa syukur kerana dapat menyedut nafas semasa melakukan ibadat. Pun begitu, jangan terlalu memfokuskan kepada menarik nafas itu kerana kita sedang bersolat sebenarnya, dan rukun solat itulah yang harus kita fakuskan.

      Berkenaan teknik bernafas, ada banyak kaedah dan situasinya, bergantung kepada apa yang kita lakukan. Untuk amalan KM sendiri, biasanya KM akan tarik nafas panjang, tahan nafas tersebut sambil mengucap dua kalimah syahadah dalam hati, dan kemudian lepaskan nafas dalam kiraan 10 melalui mulut. Amalan ini kita lakukan hanya 2 kali sehari iaitu bangun dari tidur, dan sebelum tidur. Jangan terlalu lama utk setiap sesi, cukup beberapa kali sahaja. Ia sama seperti bermeditasi. Kebaikannya, kita akan memiliki ketenangan diri, meningkatkan keyakinan, dan mengaktifkan kuasa minda.
      Jangan dilupa, ucapkan syukur setiap kali kita dapat melakukannya....

      Padam
    2. Terima kasih atas maklumbalas tuan.

      Padam