Salam kasih sayang…
Baru-baru ni KM menghadiri sebuah kuliah agama di sebuah surau. Dalam kuliah bulanan ini, tuan guru berbicara tentang solat. (Alhamdulillah) Memang kita semua sudah berjaya melaksankaan solat, namun berkualitikah solat kita itu? Perkara inilah yang dihuraikan oleh tuan guru tersebut.
Menurut tuan guru, kita mungkin sukar untuk khusyuk dalam solat kerana kita tidak faham apa yang dibaca. Bukan kita sahaja, malah orang Arab yang faham pun belum tentu berjaya sampai ke tahap khusyuk dalam solat.
Jadi, tuan guru sarankan beberapa perkara. Pertamanya, semasa kita berdiri tegak dan bersiap sedia untuk niat dan bertakbir, pada ketika ini rasakan dalam diri bahawa kita sedang menghadap Agong yang Maha Besar. Rasakan betapa kecilnya kita dan sedang menghadap ALLAH yang mampu lakukan apa-apa sahaja kepada kita walaupun semasa kita solat ini. Cadangan tuan guru, kalau nak rasakan kekerdilan kita, bayangkan yang ALLAH akan menarik nyawa kita seandainya kita lalai semasa bersolat itu. Pasti sahaja selepas itu kita akan rasa sangat kecil berada di hadapan ALLAH.
Dan nyata sekali rasa takut itu akan membuatkan kita menumpukan sepenuh perhatian semasa bersolat. Andai kita masih lagi ‘dibawa’ khayalan kita, cepat-cepat hentikan dan katakan ‘aku sedang bersolat’. Namun, jangan katakan secara zahir di mulut kerana perbuatan itu akan membatalkan solat. Katanya ia di dalam hati yang paling dalam. Pasti selepas itu kita akan tertumpu semula kepada solat kita.
Ada beberapa lagi perkara yang perlu kita lakukan, tetapi cukup dulu yang pertama ini KM nyatakan.
KM telah mencuba apa yang disarankan oleh tuan guru. Alhamdulillah, KM dapat rasakan yang solat KM semakin tertumpu hanya kepadaNya dan tiada lagi gangguan lain . KM dapat rasakan yang KM betul-betul menghadapNya… Semoga anugerah dan kenikmatan menghadap ALLAH yang Maha Agung ini akan terus dapat KM rasakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan