Sabtu, 31 Julai 2010

Keyakinan Berterusan

Yakin adalah perkara penting dalam menarik hukum alam.
Kita perlu merasa yakin seyakinnya untuk mampu mencapai apa yang kita hajatkan. Dengan keyakinan ini, maka kita telah benar-benar menyatakan kepada alam bahawa apa yang kita nyatakan itu adalah sebenarnya apa yang kita kehendaki.

Kita tidak boleh sama sekali menyatakan yang kita hendakkan kejayaan dalam pelajaran atau pekerjaan, namun kemudiannya merasa ragu-ragu pula dengan apa yang kita sendiri nyatakan itu. Jika ini berlaku, maka kita belum benar-benar yakin tentang keinginan dan kesungguhan kita dalam mencapai impian tersebut.

Cuba yakinkan diri bahawa kita mampu untuk mencapai apa yang kita impikan. Lakukan pernyataan diri@affirmasi setiap hari, laksanakan visualisasi setiap hari, katakan kepada diri tentang impian kita setiap hari; maka kita akan menetapkan keyakinan itu dalam diri dengan lebih mendalam.

Jangan diubah-ubah keyakinan itu, atau mengubah impian kita setiap masa, kerana getaran gelombang yang tercipta akan musnah dan berganti dengan gelombang yang baru. Sebagai contoh, seorang pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR, menyatakan tentang keyakinan impiannya untuk mendapat keputusan cemerlang 8A. Pada masa itu, beliau telah mengaktifkan gelombang kejayaan. Namun, apabila dia tidak berjaya atau masih belum berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam siri-siri ujian sebelum peperiksaan sebenar berlaku, maka dia menukarkan kepada kesukaran dan ketidakpastian kejayaan itu. Maka pada ketika itu, dia telah menukarkan gelombang kejayaan itu kepada gelombang kegagalan. Hal ini akan menyebabkan getaran gelombang kejayaan yang pada awalnya sudah berada di alam semesta termusnah dan berganti dengan gelombang kegagalan.

Cuba yakin dan tetapkan impian itu.
Cuba tetapkan apa yang anda mahukan dalam 3 hari. Jika dalam masa 3 hari, anda masih yakin dengan impian itu, maka tahniah, anda telah mula membentuk keyakinan kepada apa yang anda mahukan.

Setelah 3 hari, cuba perhatikan, apakah impian itu masih tetap dengan apa yang anda tetapkan dalam masa 3 bulan. Jika masih tetap sama, sekali lagi tahniah, kerana anda memang mahukannya sebenar-benarnya.

Teruskan melihat impian yang sama dalam masa 3 tahun (untuk impian jangka masa panjang). Jika anda masih mempunyai keyakinan yang sama, tahniah, anda memang dan pasti akan mencapai impian tersebut!

Jumaat, 30 Julai 2010

Fokus Terhadap Impian...III

Masih lagi penulisan berkenaan fokus terhadap impian.

Setelah memahami kenapa kita perlu benar-benar mempunyai impian, dan setelah mengetahui tentang kepentingan fokus terhadap impian tersebut, marilah kita mendalami pula tentang cara untuk menetapkan fokus kita.

Cara untuk fokus kepada impian dapat diberikan dalam dua perkara yang sangat penting.

Perkara pertama adalah, menyatakan dengan jelas tentang impian itu.
Apabila kita menyatakan tentang impian itu, dengan sendirinya kita telah mengeluarkan gelombang dan getaran terhadap apa yang kita kehendaki. Getaran dan gelombang yang terpancar ke alam semesta akan menyebabkan kita menarik getaran yang sama mendekati kita. Itulah hukum alam berkenaan hukum tarikan @ Law of Attraction (LOA)yang perlu kita fahami dan yakini.

Aku seorang pelajar yang cemerlang...
Aku seorang pekerja terhebat...
Aku memiliki wang RM1 juta dalam akaun...
Aku memiliki 10 buah rumah sewa di Kuantan...

Bagaimana agaknya apabila anda menyatakan kembali impian anda itu?
Apa yang anda rasa? Sangat jelas bahawa kita akan merasa sangat teruja dan gembira, tambah-tambah lagi jika kita mampu menyatakannya dengan penuh semangat dan menghayatinya dengan mendalam.

Buatlah pernyataan @ affirmasi ini dengan kerap. Semakin kerap kita menyatakannya dan membayangkannya berada di depan mata kita, semakin kuatlah gelombang getaran itu dikeluarkan. Semakin kuat dan banyak gelombang itu kita pancarkan, maka semakin dekatlah kita untuk mencapai impian tersebut.

Langkah kedua ialah dengan menghasilkan papan visual @ visual board.
Papan visual adalah alat untuk menambahkan lagi keyakinan, perasaan, dan kekuatan gelombang yang dipancarkan. Dalam penerangan yang lalu, papan visual dapat kita hasilkan dengan meletakkan gambar tentang impian itu. Jika kita mengimpikan tentang jumlah wang yang banyak dalam akaun, maka letakkanlah gambar wang, dihiasi dengan impian lain terhadap jumlah wang tersebut seperti rumah mewah yang mampu kita beli, tempat pelancongan yang akan kita lawati, dan sebagainya yang berkaitan dengan wang yang kita impikan itu. Bukan hanya sekadar gambar, kita juga perlu telahkan tulisan yang menggambarkan kejayaan memiliki wang tersebut seperti; akaun aku berjumlah RM1 juta pada Disember 2015.

Papan visual ini perlulah kita pamerkan di tempat yang mudah dan sering kita perhatikan. Pada setiap pagi setelah bangun dari tidur, dan sebelah malam sebelum tidur, maka perhatikanlah papan visual tersebut. Perhati dan hayati serta rasakan keseronokan kejayaan itu, seolah-olah wang yang diimpikan itu memang benar-benar telah kita perolehi. Papan visual harus sentiasa 'digunakan'. Bukan sekadar mencipta papan visual kemudian alat itu disimpan rapi di bawah meja dan sebagainya. Hal ini menyebabkan kita tidak mampu untuk terus kekalkan fokus kita kepada impian.

Jika kita dapat melaksanakan kedua-dua kaedah ini setiap hari, maka pasti kita akan mencipta gelombang yang sangat hebat untuk menarik impian itu menjadi kenyataan. Ini adalah hukum alam yang sangat mudah dan perlu kita laksanakan untuk mencipta kejayaan yang sangat hebat dalam diri kita...

Fokus Terhadap Impian...II

Apabila kita sudah benar-benar tahu tentang impian kita, maka sewajarnya untuk kita melaksanakan tindakan mencapai impian tersebut. Namun, bagaimana untuk kita mengetahui bahawa apa yang diimpikan itulah sebenar-benarnya impian kita?

Untuk mendapatkan jawapannya, kita boleh menyoal diri kita tentang perkara yang diimpikan itu sebanyak 3 kali. Jika kita mampu menjawab persoalan itu dengan spontan dan berkeyakinan, maka memang benarlah perkara itu sangat-sangat kita impikan.

Cuba jadikan contoh di bawah untuk merangsang persoalan dan jawapan yang anda sendiri lakukan untuk mengetahui tentang tahap impian anda :

Soalan :
Apa yang anda impikan?
Saya mahu memiliki RM1 juta dalam akaun bank saya.

Soalan 1
Kenapa anda mahukan wang RM1 juta?
Kerana saya mempunyai nilai wang yang banyak.

Soalan 2
Kenapa anda mahukan nilai wang yang banyak?
Kerana saya dapat membantu sanak saudara saya yang hidup susah di kampung.

Soalan 3
Kenapa anda perlu bantu sanak saudara anda?
Kerana saya sangat sayangkan mereka dan mereka memang tidak mampu untuk mengubah nasib mereka kerana faktor-faktor tertentu.

Daripada contoh soalan di atas, cuba lihat bahawa seseorang itu memang mempunyai impiannya yang tersendiri. Namun sejauh mana dia mampu untuk menyatakan sebab kepada impiannya? Jika dia mampu menyatakannya dengan jelas dan yakin, maka pastilah bahawa perkara itu yang diimpikan dalam kehidupannya. Contohh di atas adalah contoh ringkas yang mungkin boleh dijadikan panduan untuk kita membentuk cara memfokus kepada impian kita.

Apabila sudah benar-benar tahu berkenaan impian kita, maka langkah seterusnya adalah dengan melaksanakan tindakan. Pada peringkat ini, fokus perlu terus diperkukuhkan. Tindakan yang berlaku tanpa fokus kepada 'memiliki wang RM1 juta untuk membantu keluarga kerana keluarga itu sangat memerlukan bantuan', akan menyebabkan kita mula keliru dan lari daripada kehendak dan impian asal kita. Kekeliruan inilah yang menyebabkan kita hilang fokus terhadap apa yang dilakukan untuk mencapai impian tersebut.

Khamis, 29 Julai 2010

Fokus Terhadap Impian

Kebanyakan orang yang aku temui, masih belum mempunyai impian...
Apabila ditanya; 'apakah impian anda?'; masih ada yang termanggu-manggu untuk menjawab soalan mudah itu.

Sebahagian yang lain pula, mempunyai impian yang tersendiri. Namun, mereka kurang fokus kepada impian tersebut. Impian mereka umpama keinginan yang tidak terjejak ke bumi yang nyata. Mereka ada impian seperti ingin mempunyai kekayaan, kemewahan, kesenangan dalam hidup, namun mereka tidak mampu untuk menyatakan cara untuk merealisasikan impian tersebut. Dalam erti kata yang lain, mereka hanya bermimpi, namun tidak pernah berusaha untuk mengejar mimpi tersebut. Oleh itu, mimpi hanya sekadar khayalan indah buat sementara sahaja kepada mereka.

Cuma ada sebahagian sahaja yang benar-benar mempunyai impian.
Mereka dapat menyatakan dengan jelas tentang apa yang mereka impikan.
Kemudian, mereka dapat menunjukkan usaha untuk mendapatkan impian tersebut. Apa yang dapat disimpulkan adalah, golongan ini sering fokus kepada impian mereka.

Fokus adalah ketekunan dan keterujaan terhadap sesuatu. Jika kita hanya memberi tumpuan seketika sahaja, maka itu belum lagi dinamakan fokus kepada impian.

Sebagai contoh; kanak-kanak kecil yang berada di sebuah pusat membeli belah yang ternampak mainan kegemarannya. Pasti kanak-kanak itu meminta-minta kepada ibu bapanya untuk mendapatkan permainan tersebut. Beruntunglah anak itu jika ibu bapanya terus membeli mainan itu. Namun jika ibu bapanya tidak mahu membeli, pasti sahaja anak itu akan menangis terpekik terlolong di situ. Glamour le seketika ibu bapa anak itu kerana semua orang akan memberi perhatian kepada mereka... :)

Namun, jika si bapa mendukung anak itu dan membawanya ke tempat yang lain, mungkin anak itu terpandang pula perkara lain yang mampu menarik perhatiannya, seperti aiskrim. Maka tiada lagi tangisan anak itu untuk mendapatkan permainan tadi, sebaliknya dia akan menangis untuk mendapatkan aiskrim kegemarannya pula. Hal ini adalah sebagai satu contoh bagaimana si bapa dapat mengubah impian anaknya yang asal kepada perkara yang lain.

Bagi diri kita, fokus terhadap impian adalah salah satu cara untuk memastikan impian kita benar-benar akan tercapai. Jika kita hanya sekadar menyatakan sahaja kehendak dan impian itu, maka sukarlah untuk kita merealisasikan impian itu menjadi kenyataan.

Lari dari Getaran Negatif...II

Rakanku itu ada berbincang denganku berkenaan masalahnya itu; selalu mendapat tentangan dan halangan daripada orang di sekelilingnya.

Pada pandanganku, jika apa yang hendak dilakukan itu tidak menyalahi undang-undang negara dan hukum Islam, maka sewajarnya kita memberi sokongan kepadanya. Kritikan memang perlu, namun bukanlah kita memberikan kritikan yang membunuh usaha dan semangatnya.

Aku terus memberikan beberapa panduan kepadanya.
Hasilnya sekarang, dia sudah mampu untuk memiliki sebuah kedai kecil untuk membuat kek dan menjualnya. Walaupun kecil, namun ia adalah bukti bahawa pandangan dan pendapat awal orang-orang di sekelilingnya dahulu ternyata salah dan tersasar.
Apa yang dilakukan oleh rakanku itu ialah LARI DARI GETARAN NEGATIF.

Aku telah mencadangkannya untuk memulakan perniagaan awalnya itu dengan bersungguh-sungguh. Aku mencadangkan kepadanya agar menjauhkan dirinya daripada orang-orang yang pernah memusnahkan impiannya dengan kata-kata berbaur negatif. Maka rakanku itu dengan penuh semangat telah melaksanakan operasi jualan keknya itu dengan penuh bersemangat.

Pada mulanya, dia hanya membuat kek dan menjualnya kepada rakan-rakan terdekat (bukan kepada orang-orang yang pernah mencemuhnya). Selain itu dia juga telah pergi ke 5 buah kedai kek yang ada di bandar tempat dia tinggal. Di setiap kedai dia telah membuat perjanjian untuk membekalkan kek dan meminta jasa baik pemilik kedai untuk menjualnya dengan komisen. Daripada 5 buah kedai, hanya ada 2 kedai sahaja yang sanggup dan bersedia.

Rakanku itu ternyata bersemangat waja. Dia tidak berputus ada... Hasilnya, kedai-kedai yang bersedia menjualkan keknya itu telah menambahkan bilangan permintaan jualan keknya itu. Jika sebelum ini dia meletakkan 5 biji keknya dalam seminggu di setiap kedai, namun kini dia perlu membekalkan 15 biji kek seminggu. Permintaan semakin bertambah sama ada daripada kedai, mahupun daripada orang perseorangan yang membeli terus daripadanya.

Kejayaan yang bertambah itu telah membuatkan dia mula menggaji pekerja dan mampu memiliki kedai membuat kek untuk memenuhkan tempahannya. Kini, rakan-rakan dan keluarganya yang mengeluarkan getaran negatif dulu telah mula buka mata. Mereka tidak lagi mengeluarkan getaran negatif sebaliknya mula berkongsi getaran positif dengannya.

Ini adalah sebagai rangsangan kepada kita bahawa jika kita terus-terusan hanya menerima getaran negatif daripada orang yang berada di sekeliling kita, pasti setiap usaha kita tidak akan berjaya. Getaran negatif yang dipancarkan oleh orang lain terhadap kita tetap akan menarik getaran negatif juga dan menyusahkan setiap tindakan kita. Oleh itu, tindakan awal yang perlu adalah, LARI DARI GETARAN NEGATIF tersebut.

Cuba kita fikirkan dalam kehidupan kita seharian.
Adakah kita juga pernah menghadapi situasi yang sama seperti ini yang akhirnya akan membantut usaha dan kejayaan kita? Jika ada, maka kita perlu 'melarikan diri' dengan segera.

Rabu, 28 Julai 2010

Lari dari Getaran Negatif

Percaya atau tidak jika aku katakan bahawa di sekeliling kita terlalu banyak kuasa getaran negatif. Kenapa aku menyatakan sedemikian? Kerana melalui pemerhatianku, ramai antara kita yang selalu, dan suka sangat mengeluarkan getaran negatif. Keadaan ini sebenarnya akan menarik lebih banyak gelombang getaran negatif. Jadi jika kita berada berterusan di lingkungan getaran ini, maka sedikit sebanyak masalah akan turut berlaku kepada kita.

Apa yang perlu kita lakukan?
LARI DARI GETARAN NEGATIF...

Situasi kehidupan hari ini penuh dengan cabaran. Sebagai ibu bapa, abang dan kakak, perlulah sentiasa memberi kekuatan kepada kanak-kanak kecil. Namun, seawal usia 3 tahun lagi, kita sudah memberi getaran negatif kepada anak kecil tersebut. Apabila di hendak ke bilik; kita momokkannya dengan hantu di bawah katil, apabila dia bertanya itu dan ini; kita akan sekat persoalannya dengan kata-kata "boleh tak jangan kacau abah?!"

Situasi di atas adalah sekadar contoh. Namun keadaan ini sebenarnya telah memberi kesan negatif kepada kehidupan, sejak dari usia kanak-kanak lagi. Apabila meningkat remaja dan dewasa, kita sering terganggu dengan getaran negatif yang lebih hebat daripada keluarga dan rakan-rakan. Kata-kata seperti 'jangan', 'tak payahlah', 'bahaya', dan sebagainya adalah suatu bentuk kata-kata negatif yang akan memberi kesan kepada diri kita.

Sebagai contoh, ada rakanku yang baru sahaja ingin memulakan perniagaannya. Perniagaannya adalah perniagaan kecil membuat dan menjual kek. Dari awal memulakan operasinya, sudah ramai keluarga dan rakan-rakan mempersoalkannya;
'Ramai ke yang nak beli kek ni..?'
'Berapa biji kek boleh jual sehari? Bukan sampai 10 biji pun! Paling tidak pun 2 je'
'Kerja jual kek ni boleh hidup ke?'

Persoalan-persoalan ini sebenarnya telah menghantar gelombang negatif kepada rakanku. Ini adalah kerana dia sendiri masih belum 'kuat' untuk menampan gelombang negatif yang melingkari dirinya.

Bersambung...

Selasa, 27 Julai 2010

Nota Kejayaan Hari Ini...Bhg 2

Nota ini aku terbitkan pada pagi tadi.
Setelah hampir seharian berlalu, aku kembali untuk memberi ulasan terhadap apa yang berlaku kepadaku. Penjelasan ini aku lakukan bukanlah bertujuan untuk menunjuk-nunjuk tentang kehebatan diri, sebaliknya untuk mempamerkan maksud di sebalik nota kejayaan yang aku lakukan.

Pertama sekali, kita perlu faham bahawa apabila kita mengeluarkan kata-kata seperti yang aku catatkan dalam 'Nota Kejayaan Hari Ini', kita sebenarnya telah mengeluar dan memancarkan gelombang positif ke alam semesta. Siapa antara kita yang tidak merasa seronok dan teruja apabila mengeluarkan kata-kata semangat seperti dalam nota ini? Aku sangat pasti, sebagai manusia yang normal, kita akan merasa seronok dan teruja. Tambah lagi apabila kata-kata dalam nota itu diungkapkan dengan penuh semangat dan keyakinan. Hal ini akan memancarkan gelombang kemenangan ke alam semesta dan menarik lebih banyak gelombang yang sama untuk mendekati diri kita.

Kejayaan yang kita akan kecapi hari ini bukanlah terus nyata seperti yang kita ungkapkan dalam nota itu seperti wang yang banyak, rumah sewa, dan melancong, sebaliknya apa sahaja yang bercorak menggembirakan kita pasti akan tertarik kepada kita.

Sepanjang hari ini aku ada urusan di sebuah bandar. Urusan di bandar adalah urusan penting bagi aku. Jadi aku sentiasa mengejar masa dan keselesaan. Apa yang berlaku pada aku hari ini sangat meyakinkan aku bahawa aku telah menarik hukum alam terhadap kejayaan atas apa yang aku pancarkan pagi tadi. Lokasi pertama yang aku tuju adalah di sebuah pejabat kerajaan yang sangat sukar untuk aku dapatkan parking. Sesampai sahaja di depan pejabat tersebut, aku sudah terpandang papan tanda 'parking penuh'. Namun beberapa ela sahaja dari pintu hadapan pejabat itu terus aku dapat tempat parking yang selesa. Walaupun aku tidak dapat parking betul-betul di dalam kawasan pejabat tersebut, namun aku 'dikurniakan' parking yang berdekatan, alhamdulillah...

Setelah berurusan di pejabat tersebut, aku ke bank untuk urusan membayar pinjaman kereta. Sekali lagi apabila sampai di hadapan bank, kawasan parking penuh sesak (memang kawasan itu akan sesak kerana terdapat beberapa bank dan pejabat yang sentiasa penuh dengan urusan orang awam). Namun aku terus terpandang sebuah parking yang terletak tak sampai 50 meter dari bank tersebut. Tempat itulah satu-satunya ruangan parking yang kosong, seolah-olah ia memang dikosongkan untuk aku, alhamdulillah...

Apabila aku masuk ke dalam bank tersebut, ramainya orang....
Aku terus menekan nombor giliran untuk perkhidmatan. Belum sempat aku duduk, terus nomborku dipanggil. Hairan pun ada, orang ramai yang ada dalam bank tu berurusan untuk apa? Sedangkan ramai yang masih menunggu, tup-tup nombor aku yang naik. Sekali lagi dan lagi, alhamdulillah...

Setelah berurusan di bank yang pertama, aku ke bank yang kedua pula untuk urusan lain. Situasi yang sama tetap berlaku seperti di bank yang pertama, cuma kali ini memang tiada orang di bank tersebut. Namun, kebiasaannya orang memang ramai berurusan di situ. Aku seolah-olah merasa, hari itu digerakkan hati orang-orang lain untuk tidak ke bank yang kedua itu. Seolah-olah, bank itu hanya ditujukan kepadaku sahaja.

Situasi-situasi yang aku ceritakan ini adalah satu bentuk pembuktian bahawa apabila kita menyatakan keinginan untuk kesenangan, maka kesenangan akan muncul dalam diri kita dalam pelbagai bentuk. Inilah sebenarnya kehebatan kuasa minda yang ALLAH kurniakan kepada kita semua.

Laksanakanlah peningkatan kuasa minda kita semua, kerana hukum alam ini memang ditujukan kepada kita kerana kitalah makhluk yang terbaik yang ALLAH berikan akal dan fikiran untuk mengeluarkan kuasa minda ini. Hanya orang-orang yang mengetahui dan meyakininya sahaja yang akan tahu tentang nikmat ini dan berupaya untuk menikmati nikmat ini, alhamdulillah....

Nota Kejayaan Hari Ini...

Hari ini...
Aku padamkan apa kemarahan
Aku hilangkan resah kegerisauan
Aku berbuat baik kepada semua orang
Aku sentiasa bersyukur atas nikmat ALLAH Taala
Aku menjadi insan yang terbaik

Aku teruja memikirkan betapa banyaknya wang mengalir masuk ke dalam diriku.
Aku gembira memikirkan betapa banyaknya nikmat ALLAH menjadi milikku.
Aku seronok memikirkan betapa banyaknya orang-orang di sekeliling aku yang menyayangiku.

Hatiku berdebar dan berkobar memikirkan banyaknya wang yang menjadi milikku dan aku gunakannya dengan baik. Hatiku teruja dengan bilangan rumah-rumah sewa yang semakin meningkat dan menambahkan lagi pendapatanku. Aku cukup masa untuk bersama dan bergembira dengan keluargaku dengan melancong ke mana sahaja tempat yang aku idamkan. Aku sangat gembira dengan semua yang ada dalam hidupku...

Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...

Isnin, 26 Julai 2010

Cara dan Tindakan

Membina kejayaan adalah seperti menghasilkan sebiji kek!
Untuk menghasilkan sebiji kek kita perlu tahu tentang cara penghasilannya. Kita seharusnya tahu tentang bahan yang diperlukan dan cara untuk mengadun dan membakarnya. Kita tidak boleh sama sekali sekadar mencampurkan apa sahaja bahan yang ada dan memasukkannya ke dalam ketuhar. Sebaliknya, adunan itu perlu disukat, ditentukan kuantiti dan kualitinya, dan dibakar dalam suhu dan masa tertentu. Seterusnya setelah siap perlu dihias, dipotong, dan dihidangkan. Barulah hasilannya sedap dan menarik perhatian.

Begitu juga dengan kejayaan yang kita impikan. Bukan hanya sekadar kita melaksanakan apa yang patut untuk merealisasikan impian tersebut, malah kita perlu tahu bagaimana untuk melaksanakannya, bagaimana untuk mengecapinya, dan bagaimana untuk menghargainya.

Setiap tindakan untuk mencapai kejayaan melibatkan dua perkara iaitu, cara dan tindakan. Jika kita memiliki dan mengetahui cara untuk menghasilkan sesuatu, namun tidak disusuli dengan tindakan, maka ia tidak akan berlaku. Jika kita ingin melaksanakannya namun tidak tahu bagaimana caranya, kejayaan itu juga pasti tidak akan berlaku. Malah, apa yang lebih penting adalah, cara bagaimana untuk menghasilkan kejayaan itu juga perlu ditelitikan dengan 'sukatan' yang sesuai.

Umpama orang berniaga, bukan hanya sekadar membeli bahan dagangan, mempamer dan mengiklankannya dan kemudian barangan tersebut terjual. Peniaga harus tahu bagaimana cara untuk berniaga. Pengetahuan tentang cara melayan pelanggan, tutur kata dan sosial dengan orang ramai, dan pengetahuan tentang perkiraan untung rugi juga perlu dikuasai untuk melariskan barangan jualannya. Tidak dilupa, perkara berkaitan hubungan dengan ALLAH juga harus dijaga. Jika berniaga seharian melayan pelanggan dari pagi hingga lewat malam tanpa melakukan perkara yang dituntut dalam Islam, pasti hasil dagangan itu tidak memberi keberkatan kepada kejayaan itu.

Bagi seorang pelajar pula, harus tahu bila masa yang sesuai untuk belajar, bagaimana cara untuk membuat nota yang efisien, dan tahu tentang perkara-perkara yang akan diuji. Kemudian disusuli dengan tindakan iaitu dengan melaksanakan pembelajaran, membina nota yang sesuai dan menarik, dan bersedia menghadapi peperiksaan dengan tenang. Hubungan dengan ALLAH seperti melaksanakan solat, membaca Al-Quran, menghormati ibu bapa dan guru, dan lain-lain nilai kebaikan perlu dilaksanakan. Hal ini akan membuatkan pelajar tersebut menjadi lebih tenang untuk menghadapi pelajaran dan peperiksaan mereka.

Oleh itu, untuk menghasilkan kejayaan kita perlu tahu tentang cara dan melaksanakan cara itu (tindakan) dengan baik. Jika tidak, pasti kejayaan yang diidamkan sukar untuk digapai.

Isyarat Negatif ke Alam Semesta

Kadang kala kita tidak sedar bahawa kita mengeluarkan getaran negatif ke alam semesta. Kadang kala kita tidak mengetahuinya hingga menyebabkan kita tidak mampu untuk mengawalnya lagi. Segalanya kerana isyarat negatif itu terus-terusan menerawang di angkasa dan menarik isyarat yang sama untuk mendekati kita.

Aku ingin menceritakan tentang sepasang suami isteri yang kedua-duanya merupakan kawanku. Cerita ini bukanlah untuk memburuk-burukkan mereka, sebaliknya hanya untuk memberi gambaran tentang hukum alam ini memang benar dan wajar kita mencari kebenarannya.

Pasangan suami isteri ini ada memiliki bengkel kereta. Mereka mengusahakan bengkel ini hampir setahun yang lalu setelah mendapat lokasi perniagaan yang baru di situ. Sebelumnya mereka melakukan kerja-kerja mekanik di kawasan rumah mereka sahaja. Kelihatannya kedua-dua suami isteri ini sangat bersemangat dan berkobar-kobar untuk menjayakan perniagaan mereka itu...

Si isteri memang mempunyai semangat yang tinggi. Tugasnya adalah sebagai akauntan di bengkel itu, selain tugasan lain seperti membuat tempahan barangan dan lain-lain. Selain itu dia juga berusaha untuk mendapatkan lesen menjual insurans sebagai salah satu cara untuk menambahkan pendapatan.

Si suami tidak kurang hebatnya. Sedari awal pagi sudah berada di bengkelnya. Bengkelnya itu memang tidak putus-putus didatangi pelanggan hingga kadang kala dia tidak menang tangan dibuatnya. Tangannya yang besar itu penuh dengan minyak dan karat daripada kenderaan yang dibaiki. Namun semua itu dilakukan dengan senang hati kerana dia tahu setiap perlakuannya untuk membaiki kenderaan orang lain pasti akan diimbuhkan dengan bayaran.

Kehidupan dan semangat kerja kedua-dua pasangan ini memang sangat aku kagumi. Mereka sentiasa berusaha untuk terus maju dan berjaya dalam perniagaan mereka. Hanya satu sahaja yang aku sering tidak berkenan dengan sikap mereka berdua iaitu suka mengeluarkan isyarat negatif ke alam semesta. Apa yang aku maksudkan adalah keluhan-keluhan mereka tentang kesukaran hidup.

Suami : Tengok le demo pakaian cantik, bersih, dok serupa kawe, baju penuh minyak...
Aku : Baju penuh minyak pun tak pe, duit masuk banyak setiap hari.
Suami : Duit banyak apa? Kami ni tak dak duit pun...
Aku : Mana boleh tak dak duit. Hari-hari masuk tak'kan tak de duit langsung boleh simpan.
Suami : Tak dak duitnye kami ni, orang miskin macam kami ni mana la ada duit boleh simpan...

Ini adalah sebahagian daripada dialog antara aku dengan si suami. Jika aku berbual dengan si isteri pun, butiran perbualan dan rentak kata-katanya juga hampir sama dengan suaminya. Sudah berkali-kali aku menasihati mereka agar menjaga kata-kata dan cara mereka berfikir, namun mereka tetap seperti itu juga.

Bagaimana kehidupan diri mereka?
Kehidupan diri mereka adalah seperti yang mereka selalu gambarkan; susah, miskin, tidak berduit, duka, sengsara, dan sebagainya.
Pada pandangan aku yang cetek ini, kemajuan bengkel mereka sudah membolehkan mereka meletakkan kedudukan mereka di peringkat yang lebih tinggi. Sekurang-kurangnya dia sudah mampu untuk menggaji pekerja lain untuk melakukan 'kerja-kerja kotor' itu, namun kerana keluhan yang tidak bertempat menyebabkan bengkel itu menjadi tempat untuk cukup-cukup makan sahaja. Wang yang mereka ada kebanyakannya habis kerana membayar hutang bank, urusan anak-anak, dan sebagainya. Semuanya kerana sikap mereka yang selalu memancarkan isyarat negatif ke alam semesta.

Bersambung...

Ahad, 25 Julai 2010

Makna Kebahagiaan

Apakah makna kebahagiaan bagi anda?
Adakah punyai wang berjuta dalam akaun membolehkan anda bahagia?
Atau punya kereta mewah, ada bahagia?
Atau punya status sosial yang tinggi anda akan bahagia?
Atau punya rupa paras yang cantik menawan menandakan anda bahagia?

Kebahagiaan tidak terletak pada semua itu.
Kebahagiaan adalah apabila anda mensyukuri dan menghargai setiap yang anda miliki.

Bersyukur adalah perkara yang paling mudah untuk merasaka anda menghargai apa yang anda miliki. Wang yang berjuta dalam akaun namun anda masih merasa tidak cukup, maka anda pasti belum bahagia kerana ketidakcukupan itu. Kereta mewah milik anda yang meluncur laju di jalanan belum memadai bagi anda apabila tiada rasa syukur dan puas kerana memilikinya. Segala yang anda ada jika tiada nilai syukur dalam diri adalah perkara yang membuatkan anda merasa masih belum bahagia.

Kenapa agaknya sesuatu perkara baik dan hebat sering berlaku kepada orang yang hebat?
Hal ini adalah kerana, orang yang hebat itu sentiasa merasa bersyukur dengan apa yang dia ada. Kesyukuran ini menyebabkan getaran rasa gembira dalam dirinya. Kegembiraan dalam diri akan terpancar ke alam semesta dan menarik lebih banyak kegembiraan mendekati diri.

Mari sama-sama kita ambil contoh dua orang jutawan sebagai satu gambaran untuk memahami situasi ini...
Jutawan A punyai wang yang banyak dalam bank. Wang yang banyak itu kadang-kala menyusahkan hidupnya kerana dia sering memikirkan bagaimana agaknya wang itu dihabiskan oleh anak-anaknya, atau memikirkan bagaimana agaknya wang itu hilang apabila dirombak atau disamun apabila mengeluarkannya, atau dia sering memikirkan bagaimana wang itu nanti tertinggal tanpa boleh dibawa MATI! Semua gambaran kegelisahan ini menyebabkan jutawan A sentiasa tidak tenang. Keresahannya terpancar ke alam semesta dan menarik lebih banyak masalah datang mendekati jiwanya...

Jutawan B pula sering menderma ke pertubuhan sosial dan rumah-rumah anak yatim. Kegembiraan dan rasa seronok menyelubungi jiwanya apabila dapat membantu orang-orang yang tidak berkemampuan. Hal ini ditambahkan lagi apabila orang-orang yang menerima bantuan daripadanya mendoakan kesejahteraan kepada dirinya. Rasa gembira jelas terpancar dalam dirinya menyebabkan gelombang keseronokan keluar daripada dirinya ke alam semesta. Gelombang positif dan bahagia ini menyebabkan dia menarik lebih banyak kegembiraan dalam dirinya. Kemungkinan, hasil bantuannya menyebabkan ada pihak yang menghargai usahanya dan menyebabkan dia mendapat lebih banyak projek yang ada kaitan dengan bantuannya. Projek ini akhirnya akan menambahkan lagi pendapatannya, dan sekali lagi dia menggunakan wang yang ada untuk terus memberi kepada yang memerlukannya. Hal ini terus berkitaran dalam kehidupannya selagi jutawan B menghargainya.

Dalam kehidupan kita juga, hal ini akan berlaku. Mungkin kita bukanlah jutawan yang dapat memberi sumbangan wang berjuta. Namun, kita boleh 'memberi' atas setiap sesuatu yang kita miliki. Sebagai contoh yang lain, jika ada rakan yang bermasalah datang berjumpa dan meminta pandangan tentang masalah itu, jika kita memberikan cadangan dan pandangan yang bernas, maka kita telahpun memberi sesuatu kepadanya. Jika cadangan dan pandangan itu dilaksanakan dan memberi kebaikan kepada rakan kita itu, pasti kita merasa puas dan mengeluarkan getaran positif ke alam semesta tanpa perlu diarahkan. Keadaan ini adalah satu contoh mudah yang mampu kita lakukan untuk menunjukkan betapa bahagianya kita menjadi diri kita.

Bahagia, bukan dengan nilai wang ringgit, tetapi bagaimana cara kita mengguna dan menghargainya.

Kereta Sport Baruku...Bahagian 2

Bagaimana agaknya keadaan tersalah letak jenis bahan bakar oleh berlaku kepada anak jutawan tersebut? Apa yang pasti, kereta sport baru itu terpaksa dibaikpulih dengan segera untuk menyelamatkannya.

Sebenarnya cerita ini adalah sebagai satu bentuk kiasan sahaja, untuk kita sama-sama berfikir tentang diri kita sendiri. Biarku terangkan sejelasnya...

Kereta sport baru itu digambarkan sebagai diri kita sendiri. Diri kita yang hebat, cantik, bergaya, anggun, cekal, berani, dan segala macam perkara yang baik-baik sebenarnya ada pada diri kita. Kita memang dilahirkan ALLAH sebagai manusia yang hebat dan cemerlang. Itulah kita, yang diibaratkan seperti kereta sport merah BMW yang baru dibeli...

Petrol dan diesel pula sebenarnya diibaratkan terhadap apa yang dimasukkan ke dalam minda kita. Jika kita memasukkan perkara positif (petrol yang diperlukan oleh kereta sport baruku) maka dapatlah kita menjadi bertambah cemerlang. Namun jika kita memasukkan perkara negatif dalam minda kita (diesel), pasti diri kita akan menjadi lemah, tidak bersemangat, dan akhirnya tewas dalam kembara perjalanan ini.

Sudahkah kalian mengerti tentang perbandingan ini?
Apa yang pasti, kereta dan diri kita adalah sama. Jenis bahan bakar dan perkara positif negatif dalam minda adalah perkara yang sama. Pandai-pandailah kita mengaplikasikannya...

Sabtu, 24 Julai 2010

Kereta Sport Baruku...

Ada seorang jutawan yang baru sahaja membelikan sebuah kereta sport mewah jenis BMW kepada anaknya. Kereta sport merah itu sangat cantik, hebat, bergaya, laju, mengagumkan, dan segala perkara hebat yang mampu diucapkan, ada pada kereta tersebut.

Sebagai anak seorang jutawan, pastilah dia merasa gembira dan bangga kerana berjaya mendapat kereta yang diidamkan. Maka bergaya sakanlah dia dengan membawa kereta mewah itu ke sana dan ke mari. Dia terus ke rumah rakan baiknya dan ke rumah awek-aweknya untuk diajak keluar bersama. Bergembiralah mereka sekalian dengan pacuan baru yang sangat mengujakan itu. Entah ke mana kereta dipandu mereka tidak peduli. Apa yang pasti adalah mereka sangat gembira dapat berkereta baru ke sana ke mari.

Sampai di suatu kawasan, tiba-tiba anak jutawan tersebut tersedar bahawa kereta barunya itu perlukan bahan bakar (petrol) kerana hampir habis. Maka segeralah dia membelokkan keretanya itu ke stesen petrol yang berhampiran.

Kad kredit dikeluarkan dari dompet dan dimasukkan ke mesin pam. Nilai ditambah, urusniaga berlaku, dan anak muda itu terus mencapai pam gas dan memenuhkan gas ke dalam tangki keretanya. Sehingga penuh dan tiada ruang lagi untuk diisi, barulah pam gas diletakkan semula di tempatnya. Terkedu seketika anak jutawan tersebut apabila melihat, pam gas yang baru diletakkan adalah gas diesel dan bukannya petroleum..!

Anak muda itu mula panik, peluh berderau di dahi.
Kawan-kawannya yang sedang asyik di dalam kereta dipanggil keluar, berbincang dan memberi pendapat. Akhirnya keputusan dibuat, mereka akan segera ke bengkel yang berdekatan untuk meminta pandangan daripada mekanik.

Enjin kereta mewah itu dihidupkan. Mengaum bunyinya dengan kuat, tidak seperti tadi. Asap hitam berkepulan keluar dari ekzos. Kereta bergerak tersengguk-sengguk, menuju ke bengkel yang berdekatan. Pergerakannya tidak selancar sebelumnya. Bunyinya tidak 'sesedap' bunyi pagi tadi. Apa yang pasti selepas 100 meter bergerak, kereta itu sudah tersadai di tepi jalan. Enjin masih hidup tetapi tidak mampu lagi bergerak.

Anak jutawan terus menghubungi kereta tunda. Kereta sport baru yang baru sahaja digunakan pagi tadi, sudah terpaksa ditunda ke bengkel yang berdekatan. Alangkah malunya..!

Sesampai di bengkel, kereta itu terpaksa diselenggara semula. Kereta itu perlu ditinggalkan di bengkel beberapa hari kerana mekanik terpaksa mengeluarkan semula diesel yang ada dalam tangki, mencuciselia semula enjin, membaiki yang itu dan menukar yang ini, dan sebagainya. Maka berlalulah anak jutawan tersebut dengan hati yang hampa.

"Oh, kereta sport baruku..."

Jumaat, 23 Julai 2010

Bersyukur

Pada hari ini, khutbah Jumaat yang disampaikan adalah berkaitan bersyukur atas nikmat ALLAH Taala.

Inginku sorotkan perihal bersyukur ini dengan ilmu kuasa minda yang aku fahami.

Bersyukur adalah satu situasi kita merasa berterima kasih kepada Pencipta kita iaitu ALLAH, Tuhan sekelian alam. Sesungguhnya Dialah yang memberikan setiap sesuatu. Atas setiap kejayaan yang kita miliki di atas muka bumi ini, sebenarnya bukanlah atas kekuasaan kita. Segalanya adalah atas milik dan kehendakNya jua. Maka sebagai seorang manusia yang beriman kepadaNya, seharusnyalah kita sentiasa bersyukur.

Apabila seseorang itu bersyukur, maka dia sebenarnya telah mengeluarkan gelombang rasa berterima kasih, gembira, seronok, dan segala nilai positif atas apa yang diperolehinya. Gelombang ini berada di alam semesta dan bergabung dengan gelombang positif yang lain yang sama frekuansinya dengan rasa yang dikeluarkan. Mengikut hukum alam, gelombang yang sama ini akan tertarik antara satu sama lain dan mendekati pemancarnya (kita yang mengeluarakan gelombang tersebut). Oleh itu, semakin banyak kegembiraan, keseronokan, dan nikmat akan mendekati kita; kesan daripada bersyukur tadi.

Hal ini ternyata kebenarannya daripada firman ALLAH sendiri iaitu ' JIKA KAMU BERSYUKUR MAKA AKAN KUTAMBAHKAN LAGI NIKMATNYA'.
Jika kita meyakini firman ini, dan jika kita menyakini hukum ALLAH yang tercipta ini, maka kita tidak akan ragu-ragu lagi tentang hal ini.

Inginku jelaskan lagi gambaran ini...
Jika kita seorang yang ceria, yang selalu mempamerkan senyuman kepada semua individu di sekeliling kita, apa yang akan kita terima? Pasti sahaja kita akan menerima juga senyuman daripada orang-orang lain yang berada di sekeliling kita. Itulah hukum alam. Apabila kita mengeluarkan gelombang kegembiraan dengan senyuman, maka gelombang itu akan menarik lebih banyak senyuman mendekati kita.
Namun jika kita seorang yang panas baran, suka memarahi orang lain di sekeliling kita, adakah anda yakin bahawa orang-orang lain yang berada di sekeliling kita akan melemparkan senyuman? Pasti sahaja tidak. Jika adapun, pasti jumlahnya sangat sedikit. Ini adalah kerana gelombang kemarahan yang kita pancarkan akan menarik rasa marah yang sama (daripada orang lain) terhadap diri kita.

Oleh itu, teruslah bersyukur atas setiap sesuatu.
Bersyukur akan mempamerkan gelombang kegembiraan yang akan menarik lebih banyak gelombang yang sama menghampiri kita.

Alhamdulillah....
Alhamdulillah....
Alhamdulillah....

Fikirkan yang Positif

Situasi 1
Aku sangat yakin aku akan berjaya. Aku tidak akan sekali-kali gagal kerana aku yakin akan kejayaan aku ini. Aku pasti tidak akan gagal lagi kerana aku telah melaksanakan semua tugasanku ini dengan cemerlang dan sangat memuaskan. Aku sangat yakin aku akan berjaya dalam peperiksaan kali ini...
Situasi 2
Aku sangat yakin aku akan berjaya dengan cemerlang. Kejayaan ini akan membuatkan aku bertambah yakin untuk meneruskan kecemerlangan dalam pelajaran aku. Setiap usaha yang telah aku lakukan membuahkan hasil yang sangat baik. Aku sangat yakin aku akan berjaya dengan keputusan yang sangat hebat dalam peperiksaan kali ini...
Kedua-dua situasi di atas aku ambil daripada kajian kesku terhadap pelajar sekolah setahun yang lalu. Kedua-duanya nampak sangat berkeyakinan untuk berjaya dalam pelajaran. Memang aku akui bahawa kedua-duanya sangat berpotensi untuk berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran. Namun, terdapat perbezaan yang jelas antara kedua-dua affirmasi yang dikeluarkan oleh mereka.
Pelajar 1 menyatakan keyakinannya untuk berjaya, dan keyakinannya bahawa dia tidak akan gagal lagi.
Pelajar 2 pula menyatakan keyakinannya untuk berjaya, dan keyakinannya untuk berjaya, dan keyakinannya untuk berjaya.
Sudahkah anda nampak apa yang inginku sampaikan?
Belum?
Baiklah, biarku jelaskan dengan nyata.
Manusia adalah makhluk ALLAH yang sangat unik. Keunikannya adalah pada akal dan fikiran yang ALLAH kurniakan berbanding dengan makhluk yang lain. Akal dan fikiran ini bukan sahaja berfungsi untuk berfikir sahaja, malah ia melaksanakan tugas yang lebih tinggi iaitu KUASA MINDA. Namun hal ini hanya 10% sahaja umat manusia yang mengetahuinya.
Otak manusia akan memancarkan gelombang dan getaran ke alam semesta. Gelombang ini samalah seperti gelombang siaran radio. Gelombang ini akan terus terpancar dan tersebar ke alam semesta sesuai dengan kehendak manusia. Apa yang paling penting berkenaan gelombang ini adalah, ia akan menarik isyarat daripada gelombang yang sama frekuansinya dengan gelombang yang dipancarkan, yang menerawang banyak di alam semesta.
Baiklah, biar kita balik semula kepada cerita 2 orang pelajar kajian kesku tadi.
Pelajar 1 telah menyatakan bahawa dia yakin akan berjaya, dan dia sangat yakin tidak akan gagal lagi kerana telah berusaha bersungguh-sungguh. Namun masalahnya pada ketika dia melakukan aktiviti affirmasi ini dia telah mengeluarkan dua gelombang iaitu berjaya, dan gagal. Alam semesta tidak tahu apa yang anda mahukan dan apa yang anda tidak mahu. Apa yang dilakukan oleh alam adalah hanya menarik gelombang yang sama untuk mendekati anda.
Dalam situasi pelajar ini, akhirnya dia telah gagal dalam peperiksaan. Malah kegagalannya sangat terus seolah-olah dia tidak pernah cemerlang langsung dalam pelajarannya. Ini adalah gambaran bagaimana kedua-dua gelombang (berjaya dan gagak) yang dipancarkannya telah lebih menjurus kepada isyarat untuk tidak gagal. Oleh kerana alam tidak memahami istilah TIDAK, maka ia terus menarik gelombang gagal untuk mendekati pelajar tersebut.
Oleh itu, cubalah terus berfikir secara positif untuk berjaya.
Fikirkan berjaya, berjaya, berjaya, dan berjaya sahaja. Jangan langsung fikirkan tidak mahu gagal, tidak mahu tertinggal, tidak mahu kehilangan, dan sebagainya. Hal ini akan menyebabkan alam gagal untuk memberi gelombang yang sebenar yang kita inginkan.
Positifkan pemikiran. Tenangkan hati, dan bersihkan hati.
Gelombang kejayaan yang baik akan terpancar daripada hati yang bersih.

Khamis, 22 Julai 2010

Kuasa Minda Mendapatkan Parking

Kuasa minda pada manusia ini adalah ciptaan ALLAH Taala. Namun, tidak ramai yang mengetahuinya. Hanya 10% manusia di dunia ini yang mengetahui dan menggunakan nikmat ini sebaiknya. Saya ulangi; 10% sahaja. Adakan anda sebahagian daripada 10% tersebut?


Oleh kerana ia (Kuasa Minda) adalah ciptaan ALLAH, maka tidak dapat disangkal lagi bahawa ia adalah salah satu nikmat ciptaan ALLAH yang diberikan kepada setiap manusia. Tidak kira sama ada manusia itu beriman atau kufur kepadaNya, nikmat itu tetap akan tertunai kepada yang menggunakannya.


Pada hari ini aku ingin menceritakan tentang kejayaan aku mengaktifkan kuasa minda untuk mendapatkan sesuatu yang agak sukar; parking di kawasan bandar. Aku tinggal di sebuah bandar kecil di Malaysia, namun oleh kerana kawasan ini bandar kecil, kesibukan dan kesesakan jalannya masih tetap terasa. Keadaan ini diburukkan lagi dengan bilangan parking yang sedikit disediakan untuk mengguna kenderaan persendirian.

Apabila hendak ke bandar atas sesuatu urusan, sering kali aku sukar untuk mendapatkan parking. Kadang kala parking yang ada jauh dari tempat urusan tersebut. Maka langkah yang perlu untuk aku lakukan adalah dengan mengaktifkan kuasa minda untuk menarik lokasi parking yang aku inginkan.

Aku akan membayangkan betapa mudahnya aku mendapat parking yang aku idamkan. Aku akan bayangkan dengan jelas untuk masuk ke lorong tempat lokasi tujuanku, aku bayangkan dengan jelas tentang bangunan tempat tujuan urusanku, aku gambarkan betapa mudahnya aku mendapat parking betul-betul di kawasan lokasi urusanku itu, keluar dari kereta dengan tenang dan penuh kesyukuran, merasai dengan penuh yakin dan rasa seronok kerana mendapat parking tersebut dengan mudah, dan terus menuju ke lokasi urusanku.

Hasilannya memang sangat menakjubkan. Aku bukan sahaja mudah mendapat parking, malah kadang kala lokasi parkingku itu betul-betul di tempat yang aku gambarkan. Malah jika tersasar sekalipun, hanya beberapa petak sahaja dari kawasan yang aku gambarkan.

Malah, apa yang lebih menarik, ada sahaja kereta yang kebetulan akan keluar untuk membolehkan aku parking di kawasan yang aku bayangkan. Betapa gembiranya rasa hatiku dengan penuh kesyukuran apabila keadaan itu benar-benar terjadi seperti yang aku visualisasikan.

Mungkin ada yang beranggapan, ia secara kebetulan. Mungkin sahaja ia kebetulan, tetapi jika aku berjaya melaksanakannya hampir setiap kali, adakah ia masih dianggap kebetulan? Ada yang berkata pula, ia adalah rezeki. Ya, memang ia adalah rezeki daripada ALLAH untuk menentukan parking itu milikku, namun bagiku ia adalah daripada daya usahaku mengaktifkan gelombang keinginanku itu ke alam semesta.

Apabila aku mengaktifkan gelombang keinginan itu, maka secara tidak langsung, getaran kemudahan mendapatkan parking itu menerawang ke alam semesta dan menarik tempat lokasi itu menjadi milikku seperti yang aku idamkan. Rezeki ALLAH itu adalah daripada usaha kuasa mindaku, dan sudah pasti aku amat bersyukur.


Semasa dalam perjalanan ke bandar, aku sudah mula memikirkan betapa susahnya untuk aku mendapatkan parking. Aku sangat yakin tentang hal itu. Sudah berkali-kali apabila ke sana, sudah pasti aku terpaksa meletakkan kereta jauh dari kawasan yang aku perlu tujui. Keadaan ini pasti akan menyebabkan aku perlu bergesa-gesa ke tempat itu dari kawasan parking.



Aku sangat pasti bahawa aku tidak seharusnya merasai tentang kesukaran itu. Ini adalah kerana aku sangat yakun bahawa kuasa minda tidak akan mengerti sama ada aku mahukan kawasan parking yang dekat dengan kawasan tersebut.

Rabu, 21 Julai 2010

Keyakinan Anda

Hukum Tarikan @ Law of Attraction (LOA) adalah semudah 3 langkah seperti yang dinyatakan dalam catatan yang lalu. Namun ada yang masih sangsi kerana kurang keyakinan terhadap kejayaan yang begitu mudah yang akan berlaku dengan hanya 3 langkah (?)

Keyakinan itu adalah penting. Keyakinan ini samalah seperti satu bentuk penipuan. Kenapa dikatakan ia satu bentuk penipuan? Kerana anda perlu untuk 'menipu' diri anda untuk meyakini sesuatu.

Katakanlah anda hendak mendapat kejayaan dalam PMR dengan keputusan 8A, maka anda perlu 'menipu' diri anda (meyakinkan diri anda) bahawa anda memang akan dapat keputusan tersebut. Tipulah diri anda seperti anda telah benar-benar mendapat kejayaan tersebut. Tipulah diri anda dengan menghadirkan perasaan gembira yang sangat mengujakan apabila mendapat keputusan tersebut. Tipu diri anda tentang kejayaan itu untuk membolehkan anda merasa yakin. Rasakan kejayaan itu sudah benar-benar berada di depan mata walaupun peperiksaan akan berlangsung 3 bulan lagi dan keputusannya akan ada 5 bulan lagi.

Namun masalahnya, ada yang menipu diri sendiri dengan merasa tidak yakin, tidak percaya, tidak pasti, dan sebagainya sama ada ia benar-benar akan berjaya atau tidak. Keadaan ini akan menyebabkan penipuan diri anda terhadap kejayaan itu terbantut. Apabila keadaan ini berlaku maka gelombang keyakinan yang anda pancarkan ke alam semesta akan keliru sama ada anda benar-benar mahukan kejayaan itu atau tidak. Keadaan ini akan menyebabkan hukum tarikan yang pada mulanya milik anda telah berhenti bekerja. Keputusannya pasti akan menyebabkan usaha anda melakukan hukum tarikan melalui tiga langkah itu akan terhenti.

Oleh itu, kuasailah minda anda untuk menguasai keadaan.

Kuasai minda anda, kuasai kejayaan anda.

Anda BOLEH melakukannya...

Bagaimana Hukum Tarikan Berlaku?

Ramai yang masih tertanya-tanya bagaimana Hukum Tarikan @ Law of Attraction (LOA) berlaku? Ramai yang masih mengsangsikannya kerana tidak ramai yang mengetahuinya secara menyeluruh. Sebenarnya, hukum tarikan adalah sama seperti hukum alam yang lain. Ia sama seperti hukum daya graviti yang tidak ada siapa lagi di dunia ini yang mempertikaikannya. Hukum tarikan adalah satu hukum alam yang sangat mudah dilaksanakan jika kita benar-benar menyakininya [sama seperti kita meyakini hukum graviti; setiap benda akan jatuh ke bumi apabila dijatuhkan dari satu tempat yang lebih tinggi].

Hukum Tarikan akan berlaku dengan 3 langkah yang sangat mudah... :)

Langkah 1

Nyatakan dengan jelas apa yang anda mahukan. Nyatakan dengan SANGAT JELAS. Jika anda seorang pelajar yang sedang menanti saat peperiksaan tidak lama lagi, nyatakan dengan jelas apakah bentuk kejayaan yang anda mahukan. Contohnya, saya pasti saya akan mendapat 8A dalam peperiksaan PMR tahun ini. Untuk merealisasikannya lagi, nyatakan juga jumlah markah yang sangat anda yakini seperti 90% untuk mata pelajaran Bahasa Melayu, 86% untuk mata pelajaran Matematik, dan sebagainya. Nyatakan ia dengan sangat jelas dalam gambaran mental anda dan keyakinan diri anda.

Pernyataan ini akan membuatkan anda menghantar isyarat kejayaan dan keyakinan anda ke gelombang di alam semesta. Gelombang keyakinan yang anda 'hantarkan' itu akan berada dalam alam semesta dan bergabung serta menarik gelombang kejayaan itu mendekati anda.

Langkah 2

Gambarkan dengan jelas apa yang anda rasai apabila menerima keputusan seperti yang anda yakini. Rasai keseronokannya, kesayuannya, kesyukurannya... Rasailah ia dengan sangat jelas.

Perasaan yang anda rasai itu mestilah sama seperti keadaan yang berlaku apabila anda benar-benar memperolehi kejayaan itu. Rasai ia dengan penuh perasaan. Gambarkan betapa gembiranya anda dan keluarga anda apabila menerima keputusan tersebut. Rasai bagaimana seronoknya anda menggenggam slip keputusan peperiksaan tersebut. Rasai dengan perasaan yang penuh keyakinan.

Langkah 3

Sediakan perasaan untuk menerima kejayaan tersebut. Apabila telah sampai masanya, teruskan keyakinan tersebut bahawa anda memang benar-benar berjaya mendapat 8A. Terimalah keputusan tersebut dengan penuh semangat dan yakin. Jangan sesekali tergambar rasa gementar dan takut jika ia tidak akan terjadi. JANGAN! Jangan sekali-kali merasa ragu-ragu tentang impian anda, sebermula dari anda melaksanakan langkah yang pertama lagi. Tetapkan dalam hati anda bahawa anda benar-benar bersedia menerima kejayaan tersebut dengan penuh yakin.

Mudah, bukan?

Semudah tiga langkah yang tidak memerlukan apa-apa halangan di hadapan, kerana anda telah benar-benar menyatakan ke alam semesta bahawa anda memang mahukan ia berlaku dan anda sudah benar-benar bersedia menerimanya.

Pengajaran dan Pengalaman Hidup

Sebagai manusia biasa, kita tidak terlepas dari memiliki pelbagai perasaan. Perasaan manusia yang pelbagai ini memang sangat unik kerana memiliki rasa suka, duka, kecewa, bimbang, dan sebagainya. Namun, perasaan-perasaan ini mampu untuk menarik hukum alam mendekati kita. Jadi berhati-hatilah pada keadaan ini...

Cuba bayangkan, ada orang yang telah mencuri kereta yang baru kita beli beberapa hari yang lalu...

Bagaimana perasaan kita?

Tentu sekali kita marah, pasti sekali kita bersedih, mesti kita akan menangis, dan yang paling penting kita akan memarahi pencuri kereta tersebut. Betul tak?

Situasi ini memang lumrah yang akan berlaku apabila sesuatu kejadian kecurian berlaku. Itu adalah sangat pasti. Namun, tahukah kita kesannya kepada perjalanan kehidupan kita seterusnya?

Ada dua perkara yang boleh dibincangkan di sini.

Perkara pertama adalah; sikap kita yang selalu menyalahkan orang lain. Dalam keadaan berduka itu pasti kita akan terus menyalahkan pencuri itu kerana mencuri kereta kita. Namun pernahkan kita memikirkan kemungkinan kita juga bersalah hingga menyebabkan kereta kita dicuri. Mungkin kita yang tidak mengunci kereta dengan kemas, atau tidak membuat kunci tambahan kepada kereta tersebut, atau mungkin kita meletakkan kereta itu di kawasan yang terlalu jauh dari pandangan orang ramai hingga mudah dicuri, dan pelbagai kesalahan lain lagi yang mungkin kita sendiri lakukan.

Berduka dan menyalahkan orang lain memang akan kita lakukan.

Namun setelah itu, cuba fikirkan kembali apa pula kesalahan yang kita lakukan yang menyebabkan keadaan ini terjadi. Jika ada, maka kita seharusnya membetulkan kesalahan itu dan tidak lagi mengulanginya pada masa akan datang. Hal inilah yang dinamakan pengalaman dan pengajaran kepada kita.

Perkara kedua yang boleh dibincangkan di sini adalah berkenaan hukum tarikan.

Jika kita sentiasa dan terus memarahi orang lain yang menyebabkan berlakunya musibah atas diri kita, pada ketika itu kita telah memancarkan perasaan marah, dendam, kebencian, dan sebagainya berkenaan perkara-perkara negatif ke alam semesta. Gelombang negatif itu pasti sahaja akan menarik lebih banyak gelombang negatif yang sama untuk mendekati kita menjadikan kita akan terus ditimpa pelbagai masalah. Keadaan inilah yang agaknya berlaku di kalangan masyarakat Melayu sehinggakan timbulnya peribahasa 'sudah jatuh ditimpa tangga'. Ini mungkin disebabkan kita yang menarik gelombang kesusahan dan kesukaran yang menyebabkan ia datang mendekati kita.

Seharusnya, setelah melepaskan sedikit rasa kesedihan atas apa yang berlaku, kita perlu cepat-cepat membetulkan kembali pemikiran kita. Kembali kepada berfikiran positif dan rasional. Banyakkan bertenang dan bersabar, dan ini semua (masalah yang berlaku) akan menjadi pengalaman dan pengajaran yang berguna kepada kita. Itupun jika kita memikirkannya....

Selasa, 20 Julai 2010

Impian Seperti Rama-rama

Ketika kecil dahulu, aku sering menangkap belalang di padang berhampiran rumahku. Kadang kala rama-rama yang terbang di sekitarku juga akan menjadi mangsa tangkapanku. Bukanlah apa sangat yang aku lakukan apabila menangkap serangga-serangga itu, hanya membuat pemerhatian terhadap serangga-serangga ciptaan ALLAH itu sahaja. Aku sering perhatikan keadaan kakinya, kepak dan sayapnya, bentuk mukanya, dan sebagainya yang bagi aku sangat menarik untuk aku perhatikan dan 'kaji' tentang ciptaan itu...

Pernahku terbaca dalam sebuah blog berkaitan kuasa minda (blog dalam Bahasa Inggeris) yang memetaforakan perihal rama-rama tersebut, dan inginku kongsikan bersama di sini dalam bentuk penerangan dan huraiku yang tersendiri.


Rama-rama adalah seperti impian. Ia sangat cantik, dan pelbagai bentuk, rupa, dan warna. Digambarkan cantik, bentuk yang pelbagai, dan warna yang indah itu adalah seperti impian manusia. Memang setiap daripada kita mempunyai impian yang pelbagai. Bukan sahaja jika dibandingkan antara setiap manusia, malah dalam diri seorang individu sahaja sudah ada pelbagai jenis 'rama-rama'. Itulah sikap manusia yang memang terlalu banyak benda dan perkara yang menjadi impiannya.


Cuba anda bayangkan jika anda ingin menangkap rama-rama di padang bersebelahan rumah anda. Bolehlah anda menangkapnya dengan mudah sahaja dengan hanya menggunakan tangan kosong? Jika boleh, tahniah! Anda memang hebat! Namun sebanyak mana rama-rama yang mampu anda tangkap dengan tangan kosong tersebut? Dua? Tiga? Sepuluh?


Jika anda mampu menangkap hingga 10 ekor sekali pun, rasanya rama-rama itu sudah tentu tidak lagi sempurna kecantikannya kerana anda terpaksa memegang rama-rama tersebut dengan kuat di sebelah tangan anda sementara tangan yang satu lagi digunakan untuk menangkap rama-rama seterusnya. Lantaran itu, sebenarnya kita memerlukan alat untuk menangkap. Alatan yang diperlukan sudah pastilah jaring dan bekas untuk mengisi rama-rama tersebut.


Gambaran ini menunjukkan setiap impian yang kita mahukan (rama-rama yang banyak di padang) boleh kita miliki dengan syarat kita perlu ada alatan untuk mendapatkannya. Apakah alatan yang diperlukan untuk mendapatkan setiap impian kita itu. Alatan yang diperlukan adalah ilmu, pengetahuan, dan pengalaman. Adanya perkara-perkara ini maka mudahlah kita mencapai impian yang didambakan.


Namun, cuba fikirkan pula; rama-rama yang banyak di padang itu boleh terbang untuk melarikan diri jika ada manusia yang mendekatinya. Malah keadaan padang yang terbuka luas itu membolehkan rama-rama tersebut boleh pergi ke arah mana sahaja yang diinginkan. Jadi, bagaimana cara untuk kita mendapatkannya dengan mudah? Caranya ialah, cuba kita banyakkan kawasan padang itu dengan tanaman pokok-pokok bunga yang segar, cantik, dan mewangi. Keadaan ini akan menarik perhatian rama-rama untuk datang hampir ke kawasan padang tersebut. Maka mudahlah untuk kita menangkapnya kerana banyak rama-rama yang bertebaran di situ.


Gambaran ini menunjukkan bahawa setiap usaha yang dilakukan untuk mencapai impian itu, selain menggunakan alatan yang ada (ilmu, pengetahuan, dan pengalaman) kita juga perlu menggunakan hukum tarikan. Hukum tarikan dalam metafora ini adalah bunga yang digambarkan sangat cantik untuk menarik perhatian rama-rama yang mendatang. Jika kita mampu untuk menarik kejayaan itu dekat dengan diri kita, maka lebih mudahlah impian dan kejayaan itu kita kecapi.


Sama-samalah kita fikirkan tentang situasi ini...

Kuasai minda anda, pasti anda akan berjaya menguasai kehendak dan kejayaan anda.

Tanamlah 'bunga' bermula dari sekarang...

Just do it!

Kebanyakan daripada kita sering tertanya-tanya tentang kejayaan dan kegemilangan atas kehendak masing-masing. Malah ada yang masih tercari-cari bagaimana caranya untuk berjaya seperti orang lain. Keadaan ini sebenarnya bukanlah suatu misteri yang terlalu aneh untuk difikirkan.

Rahsianya ada pada diri kita sendiri. Rahsianya ada pada bagaimana diri kita mengimpikan sesuatu dan melaksanakan usaha untuk mencapai impian tersebut.

RAHSIANYA...

Bukan apa yang kita lakukan, tetapi bagaimana cara yang kita lakukan.

Pelajar sekolah yang inginkan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan sering tertanya-tanya bagaimana untuk berjaya seperti si anu dan si anu...(?)

Jadi mereka terus berusaha dan belajar sama seperti yang dinyatakan oleh si anu dan si anu tentang bagaimana mereka berjaya.

Memang sudah semestinya untuk berjaya dalam pelajaran pastilah dengan belajar bersungguh-sungguh. Itulah yang dilakukan oleh kebanyakan pelajar, iaitu dengan belajar bersungguh-sungguh. Namun mereka tertinggal satu situasi dan perkara yang sangat penting itu bagaimana caranya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh itu. Situasi ini menggambarkan bagaimana pelajar telah belajar 4 atau 5 jam sehari di rumah, namun hasilnya masih lagi seperti mereka tidak belajar apa-apa, atau jika bertambah pun, hanya sedikit sahaja..!

Hal ini mungkin disebabkan mereka kelihatan belajar di rumah, namun cara mereka belajar tidak betul atau tidak kena dengan caranya. Sambil belajar mungkin mereka diselubungi dengan angan-angan, mungkin mereka asyik memikirkan tentang hal itu dan hal ini, mungkin mereka terganggu dengan pelbagai masalah peribadi, dan sebagainya. Hal inilah yang menyebabkan 'mereka melakukan sesuatu, tetapi tidak kena dengan caranya'.

Ingatlah, untuk mencapai kejayaan, bukan apa yang kita lakukan, tetapi bagaimana cara kita melakukannya.

Tulisan untuk Kejayaan...

Sebelum ini sudah pernah diterangkan bagaimana tulisan mampu untuk menyatakan affirmasi diri kita. Pada hari ini akan diulas sedikit lagi tentang perihal ini.

Suatu masa dahulu saya sendiri pernah menulis sesuatu berkenaan impian saya untuk menjadi seseorang. Pada ketika itu saya selalu menulis perihal menjadi seorang guru. Catatan dan coretan itu saya baca sentiasa dan akhirnya catatan itu hilang entah ke mana akibat berubah diri daripada kanak-kanak ke remaja. Memang pada masa itu saya tidak tahu dan tidak pernah langsung tahu berkenaan kuasa minda, atau affirmasi, atau segalanya berkaitan perkara ini. Namun secara tidak terduga, ia telah membuahkan hasil apabila saya benar-benar menjadi seorang guru, kerjaya yang memang sangat saya impikan suatu masa dahulu...

Bagaimana sebenarnya tulisan ini mampu untuk mempengaruhi kejayaan kita?
Terlebih dahulu biar saya jelaskan bagaimana untuk melaksanakan aktiviti affirmasi berbentuk tulisan ini sekali lagi. Ambil sekeping kertas kecil. Tulislah impian kita sejelas-jelasnya dengan perkara-perkara yang sangat nyata. Lipat dan simpanlah tulisan impian itu dalam poket, atau dompet, atau sebagainya. Bacalah catatan tulisan itu setiap jam jika mampu, atau sekerap yang boleh, setiap hari...

Apa yang sedang berlaku ketika kita menulis dan membaca kembali catatan impian itu?
Setiap kali apabila kita membaca kembali catatan itu sekuat hati, kita sebenarnya telah 'memaksa' diri kita untuk mempercayai perkara itu benar-benar akan berlaku. Pada ketika itu juga kita telah memancarkan gelombang impian tersebut ke alam semesta. Jika kita meneruskannya secara konsisten, kita sebenarnya telah memberikan kepastian kepada gelombang-gelombang dalam alam ini bahawa gelombang yang kita pancarkan itu adalah sebenar-benarnya apa yang kita impikan. Secara tidak sedar, alam semesta akan menarik gelombang-gelombang yang sama untuk mendekat dan ini mempermudahkan kejayaan impian kita itu.

Satu perkara lagi, apabila kita membaca catatan impian tersebut berulang kali, kita telah memberitahu kepada minda separa sedar kita perkara yang kita inginkan itu. Setelah kita laksanakan perkara itu beberapa ketika, minda kita akan terus kekal dengan impian dan kehendak itu. Keadaan ini menyebabkan minda akan bekerja dan terus bekerja untuk mencapai kejayaan tersebut.

Cubalah laksanakan perkara ini...
Ia sangat mudah untuk dilaksana dan diamalkan, namun hasilannya sangat menakjubkan...

Khamis, 15 Julai 2010

Kuasa Soalan dalam Hukum Tarikan

'Kenapalah aku ni bodoh sangat?'
'Kenapalah aku terjumpa dengan Mamat ni...?'
'Kenapalah aku ni tak kaya-kaya..?'
'Kenapalah subjek ni susah sangat..?'

Pernahkah anda mendengar soalan-soalan keluhan seperti ini daripada sesiapa di kalangan anda? Atau adakah soalan-soalan ini anda sendiri yang mengeluarkannya? Apa yang anda rasakan apabila mengeluarkan soalan-soalan seperti ini?

Apabila anda mengeluarkan soalan, anda akan menarik jawapan. Itulah sebahagian daripada hukum tarikan @ Law of Attraction (LOA). Pada ketika ini, apa sahaja yang anda fikirkan, minda anda akan menariknya, tidak kira sama ada ia betul atau tidak, dan tidak kira sama ada ia positif atau tidak.

Jika anda menyoal diri anda dengan soalan yang berkualiti, maka jawapan berkualitilah yang akan anda perolehi. Jika soalan menyakitkan hati yang anda soalkan, maka jawapan menyakitkan hatilah yang akan anda perolehi. Itulah hukum alam yang sangat simple dan mampu menarik apa sahaja yang kita fikirkan.

Cubalah mengubah persoalan dalam diri kita dengan soalan yang lebih 'berwibawa' untuk membina diri dan keyakinan yang berwibawa juga. Jika kita ingin memiliki sebuah rumah mewah, jangan biarkan persoalan dalam kepala kita berbunyi seperti ini; "mampu tak aku memperolehi rumah seperti ini..?" Cuba tukarkan persoalan itu dengan; "Bagaimanakah caranya untuk aku memiliki rumah ini..?"

Cubalah bandingkan persoalan antara keduanya.
Soalan pertam yang dikeluarkan telah menunjukkan kita bersoal tentang mampu atau tidak. Maka jawapan yang ditarik (berdasarkan LOA) pasti sahaja sama ada kita mampu atau tidak. Namun yang pasti jika kita mengeluarkan soalan mampu atau tidak ini pastilah kita ini tidak mampu, jika kita mampu sudah pasti kita tidak bersoal tentang kemampuan itu. Keadaan ini pasti akan membantukan usaha untuk mendapatkan rumah tersebut kerana sedari awal lagi kita sudah bersoal tentang kemampuan untuk mendapatkannya.

Berbanding dengan soalan yang kedua, kita menyoal tentang bagaimana cara untuk memastikan kita memiliki rumah tersebut. Keadaan ini menunjukkan beberapa situasi. Situasi yang pertama adalah kita telahpun merasa yakin dalam diri tentang kita memang mahukan rumah tersebut. Lantaran itu, kita ingin memilikinya dan bersoal tentang cara untuk memilikinya. Maka pada ketika ini LOA sudah mula bekerja atas kerana keyakinan kita menyatakan tentang keinginan untuk memiliki rumah tersebut. Situasi yang kedua, soalan yang kita ajukan adalah berbentuk permintaan positif iaitu cara untuk memiliki rumah tersebut. Maka jawapan-jawapan yang ditarik (berdasarkan LOA) adalah jawapan-jawapan yang akan memungkinkan kita memiliki rumah tersebut. Keadaan ini sebenarnya telah menarik gelombang dan hukum tarikan terhadap keinginan dan kehendak yang kita pancarkan.

Cubalah kita fikirkan kembali kenyataan yang diberikan di atas ini.
Bandingkan cara kita bersoal dengan diri kita selama ini dan lihatlah kepada kehidupan kita kesan daripada soalan yang kita pancarkan...

Selasa, 13 Julai 2010

Masa Affirmasi Terbaik

Bilakah sebenarnya masa untuk melakukan affirmasi @ pernyataan diri, yang terbaik?

Masa terbaik melakukan pernyataan diri adalah masa yang kita sendiri merasakan ia sangat sesuai dengan diri kita. Tiada masa yang sangat dititikberatkan dari segi masa dan keadaannya. Apa yang penting adalah kita dapat melakukan affirmasi dengan bersungguh-sungguh dan merasa kekal yakin dengan ucapan yang dikeluarkan itu.

Bagi diriku sendiri, pengulangan kata-kata dan ungkapan affirmasi adalah sangat penting. Oleh itu aku akan selalu melakukan pengulangan kata-kata itu hampir setiap jam. Pengulangan ungkapan ini akan membuatkan aku bertambah yakin dengan kata-kata tersebut dan membuatkan kuasa minda untuk melaksanakan hukum tarikan berlaku dengan lebih efektif.

Masa tidak penting, apa yang lebih penting adalah kekerapan dan keyakinan semasa pengucapan itu dilakukan untuk memastikan kita dapat menggetarkan rasa gelombang minda kita seiring dengan affirmasi yang dilakukan.

Affirmasi di depan cermin

Teknik ini adalah salah satu teknik affirmasi @ pernyataan diri yang selalu aku lakukan. Keberkesanannya adalah 80 - 90 % lebih daripada teknik-teknik yang dinyatakan sebelumnya. Teknik affirmasi yang dimaksudkan adalah bercakap dengan diri di hadapan cermin.
Kaedah ini menunjukkan bagaimana anda, berada di hadapan cerminn dan bercakap dengan anda. Nyatakan dengan jelas affirmasi yang ingin anda masukkan dalam pemikiran anda sambil menatap anda yang berada dalam cermin. Anda nyatakan dengan jelas apa yang anda mahu bayang-bayang anda lakukan dan secara tidak nyata keadaan ini berlaku seolah-olah bayangan dalam cermin itulah yang berkata kepada anda yang berada di luar.
"Man, kau ni semakin hebatlah. Kerja kau semakin cemerlang, berkesan, dan proaktif. Aku sangat pasti kau akan terus cemerlang dan mendapat anugerah pekerja contoh tahun ini...Man kau ni memang hebatlah..!"
Kata-kata yang anda ucapkan ini akan membangkitkan kuasa minda dan getaran rasa kehebatan dalam diri. Keadaan ini seolah-olah ada orang lain yang sedang memuji dan memberikan keyakinan kepada anda. Situasi ini pasti akan membangkitkan lagi keyakinan dan semangat anda. Pada ketika inilah kuasa minda anda akan terus diprogramkan tentang kehebatan anda, kecemerlangan anda, dan keunggulan kerja anda. Ini akan membuatkan tahap kerja dan kecemerlangan anda pasti akan meningkat dan berjaya.
Cubalah teknik ini kerana teknik ini sangat berkesan kepada saya....

Isnin, 12 Julai 2010

Bercakap dengan diri sendiri

Bercakap dengan diri sendiri, adalah juga merupakan affirmasi.
Sering kali kita berkata-kata dengan diri. Namun, kata-kata itu hanya terbit dalam lintasan fikiran dan rasa dalam hati kita sahaja. Cuba keluarkan kata-kata itu secara nyata, jangan dibiarkan hanya bermain di fikiran dan kata hati semata-mata. Sebaliknya, luahkanlah ia dengan kata-kata yang jelas dan nyata.
"Aku ini pekerja yang sangat hebat"
"Aku mencapai kejayaan cemerlang 5A dalam peperiksaan UPSR"
Cuba perhatikan ungkapan kata-kata di atas, yang diucapkan dengan jelas dan bersemangat. Apa yang akan anda rasakan apabila mengucapkannya dengan penuh yakin?
Bersemangat, bukan?
Keadaan ini adalah satu kenyataan. Semakin kerap kita berkata-kata dengan diri sendiri (affirmasi), maka semakin kuat keyakinan diri yang terbentuk dalam diri dan kekuatan minda kita...

Affirmasi dalam Tulisan

Affirmasi atau pernyataan diri juga dapat dilaksanakan dalam bentuk bertulis. Apa yang diperlukan adalah kita menulis sesuatu tentang pernyataan diri kita. Tulisan boleh dilakukan pada sekeping kertas besar dan ditampal di suatu kawasan yang sering kita lihat, seperti di depan cermin muka. Apabila setiap hari kita melihat affirmasi (dalam bentuk tulisan), maka kuasa minda kita akan berfungsi dengan lebih hebat.
Sebagai contoh, seorang pelajar menulis kata-kata affirmasi yang memberikan semangat dan membangkitkan getaran rasa kejayaan. 'Aku adalah pelajar yang hebat dan memiliki kemampuan otak yang luar biasa hebat untuk menguasai pelajaran-pelajaran aku...' Apabila ungkapan affirmasi ini sering kali disebut-sebut setiap hari, maka kuasa minda yang berada dalam diri pelajar tersebut akan bangkit dan melaksanakan tugasnya dengan menguatkan keupayaan otak dan pemikiran pelajar tersebut. Inilah yang dinamakan kehebatan kuasa minda. Kita yang membentuk dan menaikkan kuasanya tanpa perlu menggunakan alatan yang mahal atau ubat-ubatan yang belum pasti selamat.
Selain menulis pada kertas besar, kita juga boleh melakukan affirmasi bertulis ini pada kepingan-kepingan kertas kecil. Tulislah affirmasi diri masing-masing pada kepingan kertas kecil itu, dan masukkan ke dalam poket baju. Pada setiap jam, atau sekerap yang mampu, keluarkan kepingan tulisan affirmasi tersebut dan bacalah ia dengan jelas dan nyata. Perlakukan ini juga akan membangkitkan kuasa minda dengan lebih hebat lagi. Cuba anda bayangkan jika kita mampu melihat affirmasi yang membangkitkan semangat kita setiap jam dalam sehari, pasti diri kita akan menjadi sangat hebat dalam melaksanakan tugasan dan tanggungjawab seharian kita.

Selasa, 6 Julai 2010

Affirmasi

Affirmasi atau pernyataan diri adalah salah satu teknik dan kaedah untuk kita mengaktifkan kuasa minda. Hampir setiap hari dan setiap masa kita akan berkomunikasi dengan orang lain. Dalam pada itu, kita juga sentiasa berkomunikasi dengan diri kita sendiri. Kaedah berkomunikasi dengan diri sendiri ini adalah dinamakan pernyataan diri atau affirmasi. Namun harus diketahui bahawa, pernyataan diri yang positif adalah merupakan affirmasi untuk meningkatkan keupayaan mental kita dan begitu jugalah sebaliknya.
Setiap hari dalam berkomunikasi, kebanyakan pernyataan yang masuk ke benak kita adalah berkenaan perkara-perkara yang negatif. Keadaan ini sebenarnya sedikit sebanyak telah menenggelamkan potensi sedia ada diri kita. Rakan taulan malah sanak saudara di sekeliling kita mungkin boleh menghasilkan komunikasi negatif dengan kita. Perkataan seperti cemuhan, kritikan, pandangan serong, dan sebagainya adalah perkara berkaitan komunikasi negatif yang berlaku dalam kehidupan kita. Malah bukan orang luar sahaja yang sering berkomunikasi dengan jiwa negatif, diri kita juga kadang kala menghasilkan komunikasi negatif kepada diri kita sendiri...
'Aku ni tak pandai le macam dia...'
'Susah betul le subjek ni...'
'Alahai gaji lambat lagi, duit dah nak kering ni....'
Inilah sebahagian ungkapan-ungkapan komunikasi negatif yang terpancar dalam diri kita sendiri yang menghalang keberkesanan kuasa minda milik kita.
Pernah dulu dinyatakan; apa yang kita fikirkan, itulah yang akan berlaku kepada kita.
Kenyataan ini ada benarnya kerana ia adalah affirmasi kepada diri kita sendiri tentang apa yang kita inginkan. Keadaan yang selalu cenderung kepada perkara negatif telah membentuk satu getaran negatif juga kepada gelombang minda kita yang akhirnya akan menarik gelombang-gelombang negatif mendekati kita. Sebab itulah, apa yang kita fikirkan dan sebutkan akhirnya akan menjadi kenyataan secara tidak langsung kepada diri kita.
Cuba tukarkan kepada pemikiran dan pernyataan positif. Affirmasi dan ungkapan yang kita sebutkan akan menghasilkan satu bentuk gelombang dan semangat untuk terus mengejar sesuatu kejayaan, dan akhirnya ia pasti akan berhasil nanti. Jika kita menghadapi apa-apa cabaran, janganlah mengeluh... Sebaliknya tukarkan rasa keluhan itu dengan kata-kata semangat yang kita mampu untuk menghadapinya. Catatan berikutnya akan menyatakan tentang kaedah affirmasi dengan lebih mendalam lagi...