Isnin, 26 Julai 2010

Cara dan Tindakan

Membina kejayaan adalah seperti menghasilkan sebiji kek!
Untuk menghasilkan sebiji kek kita perlu tahu tentang cara penghasilannya. Kita seharusnya tahu tentang bahan yang diperlukan dan cara untuk mengadun dan membakarnya. Kita tidak boleh sama sekali sekadar mencampurkan apa sahaja bahan yang ada dan memasukkannya ke dalam ketuhar. Sebaliknya, adunan itu perlu disukat, ditentukan kuantiti dan kualitinya, dan dibakar dalam suhu dan masa tertentu. Seterusnya setelah siap perlu dihias, dipotong, dan dihidangkan. Barulah hasilannya sedap dan menarik perhatian.

Begitu juga dengan kejayaan yang kita impikan. Bukan hanya sekadar kita melaksanakan apa yang patut untuk merealisasikan impian tersebut, malah kita perlu tahu bagaimana untuk melaksanakannya, bagaimana untuk mengecapinya, dan bagaimana untuk menghargainya.

Setiap tindakan untuk mencapai kejayaan melibatkan dua perkara iaitu, cara dan tindakan. Jika kita memiliki dan mengetahui cara untuk menghasilkan sesuatu, namun tidak disusuli dengan tindakan, maka ia tidak akan berlaku. Jika kita ingin melaksanakannya namun tidak tahu bagaimana caranya, kejayaan itu juga pasti tidak akan berlaku. Malah, apa yang lebih penting adalah, cara bagaimana untuk menghasilkan kejayaan itu juga perlu ditelitikan dengan 'sukatan' yang sesuai.

Umpama orang berniaga, bukan hanya sekadar membeli bahan dagangan, mempamer dan mengiklankannya dan kemudian barangan tersebut terjual. Peniaga harus tahu bagaimana cara untuk berniaga. Pengetahuan tentang cara melayan pelanggan, tutur kata dan sosial dengan orang ramai, dan pengetahuan tentang perkiraan untung rugi juga perlu dikuasai untuk melariskan barangan jualannya. Tidak dilupa, perkara berkaitan hubungan dengan ALLAH juga harus dijaga. Jika berniaga seharian melayan pelanggan dari pagi hingga lewat malam tanpa melakukan perkara yang dituntut dalam Islam, pasti hasil dagangan itu tidak memberi keberkatan kepada kejayaan itu.

Bagi seorang pelajar pula, harus tahu bila masa yang sesuai untuk belajar, bagaimana cara untuk membuat nota yang efisien, dan tahu tentang perkara-perkara yang akan diuji. Kemudian disusuli dengan tindakan iaitu dengan melaksanakan pembelajaran, membina nota yang sesuai dan menarik, dan bersedia menghadapi peperiksaan dengan tenang. Hubungan dengan ALLAH seperti melaksanakan solat, membaca Al-Quran, menghormati ibu bapa dan guru, dan lain-lain nilai kebaikan perlu dilaksanakan. Hal ini akan membuatkan pelajar tersebut menjadi lebih tenang untuk menghadapi pelajaran dan peperiksaan mereka.

Oleh itu, untuk menghasilkan kejayaan kita perlu tahu tentang cara dan melaksanakan cara itu (tindakan) dengan baik. Jika tidak, pasti kejayaan yang diidamkan sukar untuk digapai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan