Ahad, 25 Julai 2010

Makna Kebahagiaan

Apakah makna kebahagiaan bagi anda?
Adakah punyai wang berjuta dalam akaun membolehkan anda bahagia?
Atau punya kereta mewah, ada bahagia?
Atau punya status sosial yang tinggi anda akan bahagia?
Atau punya rupa paras yang cantik menawan menandakan anda bahagia?

Kebahagiaan tidak terletak pada semua itu.
Kebahagiaan adalah apabila anda mensyukuri dan menghargai setiap yang anda miliki.

Bersyukur adalah perkara yang paling mudah untuk merasaka anda menghargai apa yang anda miliki. Wang yang berjuta dalam akaun namun anda masih merasa tidak cukup, maka anda pasti belum bahagia kerana ketidakcukupan itu. Kereta mewah milik anda yang meluncur laju di jalanan belum memadai bagi anda apabila tiada rasa syukur dan puas kerana memilikinya. Segala yang anda ada jika tiada nilai syukur dalam diri adalah perkara yang membuatkan anda merasa masih belum bahagia.

Kenapa agaknya sesuatu perkara baik dan hebat sering berlaku kepada orang yang hebat?
Hal ini adalah kerana, orang yang hebat itu sentiasa merasa bersyukur dengan apa yang dia ada. Kesyukuran ini menyebabkan getaran rasa gembira dalam dirinya. Kegembiraan dalam diri akan terpancar ke alam semesta dan menarik lebih banyak kegembiraan mendekati diri.

Mari sama-sama kita ambil contoh dua orang jutawan sebagai satu gambaran untuk memahami situasi ini...
Jutawan A punyai wang yang banyak dalam bank. Wang yang banyak itu kadang-kala menyusahkan hidupnya kerana dia sering memikirkan bagaimana agaknya wang itu dihabiskan oleh anak-anaknya, atau memikirkan bagaimana agaknya wang itu hilang apabila dirombak atau disamun apabila mengeluarkannya, atau dia sering memikirkan bagaimana wang itu nanti tertinggal tanpa boleh dibawa MATI! Semua gambaran kegelisahan ini menyebabkan jutawan A sentiasa tidak tenang. Keresahannya terpancar ke alam semesta dan menarik lebih banyak masalah datang mendekati jiwanya...

Jutawan B pula sering menderma ke pertubuhan sosial dan rumah-rumah anak yatim. Kegembiraan dan rasa seronok menyelubungi jiwanya apabila dapat membantu orang-orang yang tidak berkemampuan. Hal ini ditambahkan lagi apabila orang-orang yang menerima bantuan daripadanya mendoakan kesejahteraan kepada dirinya. Rasa gembira jelas terpancar dalam dirinya menyebabkan gelombang keseronokan keluar daripada dirinya ke alam semesta. Gelombang positif dan bahagia ini menyebabkan dia menarik lebih banyak kegembiraan dalam dirinya. Kemungkinan, hasil bantuannya menyebabkan ada pihak yang menghargai usahanya dan menyebabkan dia mendapat lebih banyak projek yang ada kaitan dengan bantuannya. Projek ini akhirnya akan menambahkan lagi pendapatannya, dan sekali lagi dia menggunakan wang yang ada untuk terus memberi kepada yang memerlukannya. Hal ini terus berkitaran dalam kehidupannya selagi jutawan B menghargainya.

Dalam kehidupan kita juga, hal ini akan berlaku. Mungkin kita bukanlah jutawan yang dapat memberi sumbangan wang berjuta. Namun, kita boleh 'memberi' atas setiap sesuatu yang kita miliki. Sebagai contoh yang lain, jika ada rakan yang bermasalah datang berjumpa dan meminta pandangan tentang masalah itu, jika kita memberikan cadangan dan pandangan yang bernas, maka kita telahpun memberi sesuatu kepadanya. Jika cadangan dan pandangan itu dilaksanakan dan memberi kebaikan kepada rakan kita itu, pasti kita merasa puas dan mengeluarkan getaran positif ke alam semesta tanpa perlu diarahkan. Keadaan ini adalah satu contoh mudah yang mampu kita lakukan untuk menunjukkan betapa bahagianya kita menjadi diri kita.

Bahagia, bukan dengan nilai wang ringgit, tetapi bagaimana cara kita mengguna dan menghargainya.

1 ulasan:

  1. Terima kasih dgn catatan ini, ia satu info yang sangat baik. Betul kebahagian bukanya terletak pada harta yang bertimbun, tapi rasa sentiasa bersyukur dgn apa yang kita miliki. Alhamdulillah.

    BalasPadam