Salam kedamaian daripada KM buat semua.
Perkataan oh perkataan….
Dalam kehidupan kita, sentiasa kita bercakap, berbual, dan menulis. Hukum komunikasi, apabila bercakap dan sebagainya yang di atas, pasti kita akan menggunakan perkataan. Jadi perkataan memainkan perkara penting dalam komunikasi.
Perkataan yang diungkap bermula daripada pemikiran. Kita yang memikirkannya dan mengungkapkan sama ada dalam bentuk verbal atau tulisan. Jadi, setiap ungkapan itu bermula daripada pemikiran.
Jika pemikiran kita positif, maka pasti ungkapan perkataan yang digunakan juga adalah positif. Jika sebaliknya maka pasti perkataan yang kurang enak akan sentiasa diungkapkan.
‘Aduh malangnya aku hari ini….!’
‘Hari ini hari malang aku….semua perkara serba tidak kena!’
Tentu kita pernah berhadapan dengan orang yang menyatakan perkara seperti di atas. Lihatlah bagaimana daripada pemikiran mereka, mengungkapkan perkataan yang sangat negatif (malang). Percayalah bahawa apabila mereka menyatakan perkataan malang itu, menyebabkan getaran perasaan dan emosi mereka pasti berada seiring dengan getaran negatif.
Apa yang akan berlaku? Pasti sahaja mereka akan menarik lebih banyak perkara negatif dan ‘malang’ mendekati mereka. Kalau tak percaya cuba le ungkapkan….pasti di akhir hari ini kita akan merasa sangat kesal kerana merungut tentang malang yang pertama di awal pagi tadi.
Jika kita berhadapan dengan situasi ini, contohnya mendapat suatu bentuk cubaan di awal pagi, katakanlah kita terbangun lewat. Jangan terus kesal dan mengungkapkan perkataan negatif seperti di atas. Cuba kekal bertenang dan lakukan apa yang perlu. Jika terbangun lewat, segera uruskan diri. Jika perlu maklumkan ke pejabat atau sesiapa yang berkenaan, maka maklumkan tentang kelewatan kita, dan seterusnya terus bergegas ke tempat kerja atau apa yang perlu dilakukan pada ketika itu. Jangan terus keluarkan perkataan kekesalan kerana kelewatan itu.
Pemikiran kita akan jadi lebih tenang dan bersedia menghadapi keadaan di hadapan kita untuk memperbetulkan kesalahan kerana kelewatan kita tadi. Pemikiran yang tenang ini pasti akan menarik perkara yang lebih positif berbanding pemikiran negatif yang menyebabkan banyak lagi perkara buruk akan berlaku.
Jika di awal pagi itu kita lewat dan terus keluarkan perkataan negatif, maka tidak hairan jika kita akan terus ‘ditimpa’ banyak kesusahan lagi. Sudahlah lewat bangun, motosikal pula rosak di tengah jalan. Apabila sampai di pejabat, kena marah pula dengan boss. Klien yang menunggu sejak tadi juga hilang entah ke mana. Nampak tak bagaimana keadaan perkataan negatif yang dikeluarkan atas kelewatan bangun tadi menyebabkan lebih banyak perkara negatif akan berlaku.
Jika inilah yang berlaku maka kita akan sesal kerana mengeluarkan kata malang tadi, kerana kita memang memanggil malang itu untuk datang bertimpa-timpa kepada diri kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan