Salam kedamaian daripada KM buat semua, semoga kita semua sentiasa sihat dan bersedia untuk bertindak.
Kata seorang sifu;
Seorang yang bertindak lebih baik daripada 100 orang yang tidak bertindak.
Seorang yang bertindak 100 kali walaupun gagal lebih baik daripada 100 orang yang tidak bertindak walaupun sekali.
KM teringat ungkapan sifu ini kerana suatu situasi yang berlaku semasa KM menguruskan aktiviti pendidikan luar beberapa ketika dahulu.
Pada ketika itu, ada ekspedisi berakit. Kebiasaannya, jika aktiviti di air ini, pengawasan dan standard prosedurnya sangat ketat dan diambil berat. Itu adalah salah satu etika yang KM dan pasukan KM pegang dengan jelas apabila melaksanakan aktiviti pendidikan luar.
Kami berakit selama 3 hari. Bermula eskpedisi selepas sarapan pagi, kami akan berhenti untuk makan tengah hari di lokasi yang ditetapkan dan selepas Zohor akan diteruskan perjalanan. Hingga sampai pula ke lokasi seterusnya. Biasanya, kami sebagai jurulatih pendidikan luar telah pun kenal pasti lokasi untuk berhenti kerana kami akan lakukan tinjauan awal sebelum program berlangsung.
Semasa tiba di lokasi kedua untuk penempatan sementara, kelihatan ramai peserta sudah mula letih. Maklum saja, sudah hampir seharian kami berada dalam air, berhadapan dengan beberapa lokasi lubuk dan kawasan air berpusar. Jadi apabila sampai di lokasi untuk penempatan sementara, peserta mula mendirikan khemah untuk berehat, ada yang memasak untuk makan malam, dan ada juga yang duduk saja. (Letih sangat le agaknya tu)
KM ajak seorang rakan untuk buat tandas sementara. Biasanya tandas sementara ini bukanlah keperluan utama, tetapi mengenangkan kami ada peserta perempuan yang mungkin tidak selesa, jadi KM cadangkan untuk membina sebuah tandas sementara itu.
Kami mula mencari lokasi yang sesuai. Apabila bertemu dengan lokasi yang sesuai, kami mula menggali. Malang sekali, kawasan itu penuh dengan batu kelikir bercampur pasir sungai. Ini menyebabkan usaha untuk menggali agak sukar. Apabila lubang mula sedalam sekaki setengah, KM mengambil keputusan untuk menghentikan penggalian. Ini kerana air mula keluar dari lubang yang KM gali. Ini menunjukkan kawasan itu ada resapan dari air sungai. Ternyata kawasan itu tidak sesuai untuk dijadikan tandas.
Kami beralih ke tempat lain pula. Beberapa lokasi yang kami gali terjadi perkara yang sama. Kami sudah semakin letih dan hampir untuk membatalkan untuk mengadakan tandas sementara ini. Namun KM pujuk rakan KM itu, untuk lakukan sekali sahaja lagi pada lokasi terakhir. Dan lokasi terakhir ini rupanya memang sesuai. Tiada lagi air resapan keluar hingga memenuhi lubang yang digali. Setelah siap lubang sedalam 5 kaki, kami mula memasang dinding tandas dengan menggunakan kanvas yang sedia ada.
Apabila balik ke kem, kami ditanya oleh ketua kami berkenaan ketiadaan kami. KM menyatakan apa yang telah KM lakukan. Pada ketika itu terdengar sindiran dan usikan daripada beberapa orang rakan yang lain tentang usaha kami itu. Kata mereka, tak perlu bina tandas, kita hanya bermalam semalaman sahaja. Tapi bagi KM usaha itu wajar dilakukan kerana peserta perempuan yang ada akan lebih selesa untuk membuang air.
Malam itu, secara tidak disangka, salah seorang pegawai dari jabatan hadir ke lokasi untuk memantau. Beliau dan beberapa orang pembantunya sampai ke lokasi melalui jalan darat. Ketika inilah semuanya bermula… Pegawai itu memaklumkan perlu untuk membuang air kerana sakit perut. Dia bertanya, adakah ‘buang’ di sungai sahaja? Nampak dia agak kurang selesa. Ketua ekspedisi memaklumkan yang ada tandas sementara disediakan. Dan jelaslah bahawa pegawai itu rasa sangat bersyukur.
Walaupun tandas sementara itu tidak seselesa tandas lain yang ada di luar, namun tandas itu ternyata sangat berguna di saat pegawai itu tiba. Ternyata, tindakan KM dan rakan KM itu tepat dan tidak sia-sia kami berusaha untuk menyiapkannya walaupun berhadapan dengan beberapa masalah pada awalnya.
Inilah yang menyebabkan KM teringat kembali ungkapan sifu KM itu tadi; seorang yang bertindak lebih baik dari 100 orang yang tidak bertindak, dan seorang yang bertindak 100 kali walaupun gagal lebih baik dari 100 orang yang tidak bertindak walaupun sekali.
Setuju..lebih baik bertindak jangan cara menunggu.menunggu bkn satu tindakan.do it.
BalasPadam