Khamis, 3 Oktober 2013

Tarikan tidak sengaja…

Salam kemakmuran daripada KM buat semua.

Kita telah maklum bahawa dengan getaran dan frekuansi yang sama, kita akan menarik perkara yang sama mendekati kita.  Jika kita pancarkan getaran positif, maka perkara positiflah yang akan hampir dan bersatu dengan diri kita.

Dalam kehidupan ini, apabila ditanya; apakah yang kita mahukan?  Positif atau negatif?  100% pasti kita akan jawab kita mahukan perkara positif.  Namun, percaya atau tidak ianya sangat sukar untuk kita lakukan kecuali kepada orang yang telah benar-benar bersedia.  Ia tidak susah namun perlu latihan dan terus dengan latihan untuk kekal positif dan menjauhkan negatif.

Kenapa dalam usaha mahukan perkara positif sentiasa ada dengan kita, namun masih ada perasaan negatif?  Ini adalah kerana kita sentiasa berada dalam lingkungan dua getaran ini.  Hanya kita yang patut berusaha untuk menguatkan lingkaran positif untuk terus kekal bersama dengan kita.

Tarikan tidak sengaja bermaksud, kita secara tidak sengaja menarik perkara yang kita tidak mahukan dalam diri.  Ini jelas menunjukkan walaupun kita sentiasa berusaha untuk positif, namun secara tidak sengaja kita akan tetap berhadapan dengan perkara negatif.

KM berika suatu contoh yang mungkin biasa kita alami…

Semasa sedang memandu, tiba-tiba ada sebuah kereta memotong kita dengan lagak yang berbahaya.  Apa perasaan kita pada ketika itu?  Pasti sahaja kita akan merasa marah.  Nah, pada ketika ini, jika kita tidak mengawalnya pasti lingkaran negatif ini akan menjadi lebih besar, dan padahnya akan membawa kepada perkara negatif yang lebih banyak.

Andai jika semasa kita marah akibat sikap pemandu tadi, kita pun akan menekan minyak dengan lebih kuat untuk mengejar kereta tersebut (satu bentuk perkara negatif telah terjadi).  Kita bukanlah berniat untuk mengejar kereta itu, namun itu adalah tindakan refleks seperti cuba memprotes kepada pemandu tadi.

Sedang kita memecut tiba-tiba kita ditahan oleh seorang polis trafik dengan motosikal perondanya (sudah dua perkara negatif hadir dalam diri kita).

Kita mungkin bertindak mempersoalkan penahanan tersebut.  Kita mempertikaikan kenapa tidak ditahan sahaja kereta yang berada di hadapan kita sedangkan kereta itu yang memandu dengan berbahaya tadi.  Mungkin terjadi pertelingkahan kecil dengan polis itu tadi kerana polis itu menyatakan yang dia tidak nampak kesalahan kereta tadi sebaliknya yang dia nampak adalah tindakan kita memecut (Nah, sudah tidak perkara negatif berlaku kerana bertengkar)

Akhirnya kita disaman kerana memandu dengan laju (Sudah empat perkara negatif terjadi kepada kita)

Bermula dengan tidak sengaja kita menarik perkara negatif kesan pemanduan orang lain, akhirnya kita yang menerima empat perkara negatif lain berlaku dalam diri kita.

Memang hal ini sekadar contoh, namun ia benar-benar berlaku jika kita tidak mengawal cara pemikiran dan perasaan kita  tadi.

2 ulasan:

  1. iman_xara... perkara ini akan terus terjadi dan berterusan kalau kita tidak pandai mengawal cara pemikiran kita.

    BalasPadam