Jumaat, 11 Januari 2013

BMW

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Untuk SRJ hari ini, KM utarakan kata-kata seorang ilmuan agama; dalam hidup ini bukan sekadar kita inginkan kereta BMW, malah haruslah bersifat dengan BMW itu

B – Bersyukur.  Ini adalah perkara penting dalam hidup.  Andai dalam hidup, kita tidak pernah merasa bersyukur dengan segala nikmat yang ada, maka kita sebenarnya angkuh kepadaNya.  Ini adalah kerana, setiap sesuatu yang kita miliki, tetap datangnya daripada ALLAH Yang Maha Kuasa.

M – Memaafkan.  Sifat memaafkan orang lain adalah sifat terpuji.  Dengan memaafkan kesalahan orang kepada kita, maka kita telah menunjukkan bahawa kita berhati mulia, malah jauh daripada dendam dan kesumat di dalam hati. 

W – Wawasan.  Tetapkan matlamat, cita-cita, impian, angan-angan tentang sesuatu yang baik.  Pasti kita akan berjaya memilikinya dengan usaha dan keyakinan bahawa wawasan itu memberi kebaikan kepada kita dan orang lain.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Seorang pekerja yang bekerja dengan tekun dan berhemah, namun sering kali dipandang rendah oleh majikannya.  Entah kenapa, si majikan seakan-akan hanya memandang kerja yang dilakukan oleh ‘anak buah’nya sahaja yang hebat dan memberi kejayaan kepada syarikat.  Padahal, ‘anak buah’ boss hanya banyak mengular, dan pandai berpura-pura di hadapan si majikan.

Si pekerja yang hebat ini cuba aplikasikan BMW dalam dirinya.  Dia bersyukur kerana walaupun usahanya tidak dihargai, namun dia tetap ada pekerjaan yang tetap, punya imbuhan gaji yang padan dengan usahanya.

Si pekerja ini juga sering memaafkan majikannya yang memang jelas bersikap berat sebelah.  Bagi pekerja ini, ‘kesalahan’ majikannya yang tidak menilai kerjanya dengan adil pasti akan dibalas oleh Maha Majikan (ALLAH Taala).

Si pekerja terus tekun melaksanakan tugasannya sesuai dengan matlamat dan wawasan untuk meningkatkan kejayaan syarikat.  Walaupun hatinya kekadang sakit kerana tidak diendahkan oleh majikan, namun tidak sedikit pun melunturkan semangatnya untuk bekerja.

Situasi di atas memang berlaku.  Namun, apakah yang akan dirasai oleh pekerja tersebut jika dia terus tekun dengan BMWnya itu?  KM tiada jawapan yang pasti, namun pasti sahaja pekerja itu akan terus cemerlang dalam usahanya.  Apa yang pasti, pekerja itu akan menjadi pekerja yang terus bersemangat untuk melaksanakan tugasannya kerana syukur, sifat pemaaf, dan berwawasan yang ada dalam dirinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan