Dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Sesungguhnya DIA yang Maha Kaya dan memberi kekayaan. Dengan kelembutan kasih sayangNya, aku izinkan semua kekayaan itu mengalir dalam kehidupanku.
Dengan izin ALLAH, aku suka berada dalam rumahku yang cantik ini bersama-sama isteriku tercinta, anak-anak yang sudah berjaya dalam kehidupan, dan cucu-cucuku yang comel dan beradab.
Aku merasa sangat bersyukur dengan dalam usia ini, aku masih sihat dan cergas, dapat pergi dan balik ke surau yang aku asaskan dan melaksanakan pengimarahan pengajian agama bersama dengan jiran-jiranku yang mesra dan serasi.
Wang sentiasa ada dan melimpah ruah dalam kehidupanku, semua keperluan dan keinginanku dapat dipenuhi dengan kelebihan ini. Malah, aku sentiasa dapat menyumbangkan wang dan pendapatanku ke sekolah Ma'had Tahfiz yang berdekatan dengan rumahku ini. Sering juga aku dapat menghadiah dan menaja rakan-rakan dan saudaraku untuk menunaikan haji di Mekkah.
Setiap tahun, aku dan keluarga dapat menunaikan umrah dan setiap 5 tahun kami semua akan menunaikan haji, berkali-kali kerana kenikmatan yang penuh dan melimpah ruah ini.
Dalam usia sebegini, aku masih dapat menikmati kehidupanku dengan penuh keceriaan dan kedamaian. Masaku sentiasa cukup untuk bersama-sama dengan keluarga melancong dan berkunjung ke tempat-tempat menarik, menghayati keindahan alam ciptaan ALLAH ini.
Usiaku yang sebegini, aku bersyukur kepadaNya kerana masih dipinjamkan segala pancainderaku dengan penuh kesempurnaan. Aku masih dapat membaca al-Quran setiap hari dengan lancar dan penuh kenikmatan.
Rumah-rumah sewaku yang aku beli pada tahun-tahun yang lalu sangat memberi erti kepadaku. Wang pendapatan daripada sewa itu sentiasa melimpah ruah dalam kehidupanku ini. Malah, semua penyewaku ini sangat rapat dan mesra denganku hingga aku menganggap mereka seperti sebahagian daripada kehidupanku.
Buku-buku tulisanku juga sangat laris dan mendapat sambutan yang menggalakkan. Aku merasa sangat puas dan senang dapat berkongsi pandangan dan pendapat dalam buku-bukuku itu. Hasil royalti buku tersebut dapatlah aku tambah untuk membeli dan melabur dalam harta berbentuk emas. Hasilnya, simpanan emasku semakin bertambah dan sentiasa selamat dalam simpanan kami sekeluarga.
Ya ALLAH, aku bersyukur atas kenikmatanMu ini, aku bersyukur atas ketenangan ini, aku bersyukur atas kejayaan dan keharmonian ini.….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan