Isnin, 2 Ogos 2010

Tingkatkan Kemahiran Visualisasi Anda

Visualisasi atau gambaran mental dalam pemikiran anda adalah hak anda. Ia diberikan kepada anda secara percuma oleh PENCIPTA anda. Kemahiran yang ada pada diri setiap manusia adalah anugerah ALLAH yang tidak ternilai. Kemahiran visualisasi ini adalah gabungan daripada perkara-perkara yang perlu anda lakukan untuk menarik hukum kejayaan kepada diri anda.

Untuk mencapai kejayaan, anda disarankan, bukan sekadar mempunyai impian terhadap kejayaan tersebut, malah anda diminta untuk memvisualkannya agar ia memberi isyarat kepada alam semesta tentang apa yang anda perlukan. Visual yang anda cipta akan terpancar ke alam semesta dan menarik perkara yang sama untuk hadir kepada anda, sesuai dengan getaran gelombang yang dipancarkan itu.

Katakan anda mahukan sebuah kereta baru, jenis NAZA Citra (impian).
Cuba anda gambarkan secara terperinci tentang kereta tersebut.
Gambarkan dengan jelas tentang bentuknya, warnanya, kemasan dalamannya, kelajuannya, bunyi audio di dalamnya, dan sebagainya. Gambarkan dan rasakan keseronokannya. Anda disarankan menggabungkan semua pancaindera anda untuk menggambarkan kereta tersebut, dari segi sentuhan anda, keselesaan tempat duduknya, bunyinya, malah bau yang ada di dalamnya.
Gambarkan dengan jelas tentang semua yang ada pada kereta idaman anda itu.
Apa yang paling penting dalam visual anda berkenaan kereta tersebut adalah perasaan seronok dan rasa bersyukur anda apabila mendapat kereta tersebut. Bukan sekadar menggambarkan tentang keunikan kereta tersebut, malah anda perlu gambarkan bahawa anda memang sudah memandu kereta tersebut ke mana lokasi pertama anda akan pandunya.

Rasakan kesemuanya berkenaan kereta tersebut. Perasaan itu akan membantu anda untuk memancarkan gelombang keinginan untuk mendapatkan kereta tersebut ke alam semesta. Kesannya, ia akan 'menjelma' dalam diri anda dengan lebih mudah dan kadang kala tanpa anda sangkakan.

Visualisasi adalah hak anda. Anda berhak untuk mencipta imej kejayaan atau apa sahaja yang anda idamkan dalam minda anda. Semakin kuat imej yang berjaya anda ciptakan, semakin mudahlah untuk anda memilikinya. Lakukan visualisasi anda setiap hari, jangan ada sehari pun yang anda tertinggal untuk melakukannya atas apa sahaja alasan. Ciptaan visualisasi anda juga tidak boleh diubah-ubah. Lakukan setiap hari tentang perihal dan gambaran yang sama. Keadaan ini akan membolehkan anda meningkatkan kemahiran visualisasi anda dan mencapai kejayaan dan perkara yang anda impikan....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan