Ahad, 15 September 2013

Kuasa Percaya…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua.

percaya

Gambar daripada internet

Kuasa percaya adalah kuasa yang datang dari dalam minda.  Dalam Islam sendiri, kuasa percaya diperkukuhkan dengan rukun Iman.  Kita dididik dan diasuh untuk mengakui apa yang ada dalam rukun Iman, walaupun kita tidak pernah lihat dan berjumpa dengan semua yang dituntut dalam rukun itu (kecuali kitab Al-Quran yang ada dalam bentuk cetakan)

Apa yang KM hendak huraikan di sini adalah, kepercayaan itu sebenarnya membentuk sesuatu yang sangat hebat dalam tindakan dan perlakuan tubuh badan kita.

Mungkin pernah kita dengar ada orang kata; klinik tu bagus, klinik ni kurang bagus.  Ungkapan ini merujuk kepada keserasian ubat yang diterima oleh orang yang mengungkapkan itu.  KM pernah bertanya, kenapa ungkapan itu dinyatakan sedemikian.  Katanya, bila pergi ke klinik A, makan ubat yang diberi sampai habis, tak sembuh juga.  Bila ke klinik B je, sekali makan terus kebah.

Ungkapan dan kepercayaan yang menyatakan klinik B lebih bagus ini menyebabkan apabila seseorang itu (yang percaya dalam mindanya) pergi ke klinik A dan mendapatkan ubat, pasti tidak sembuh.  Walhal ubat yang diberi di klinik A dan klinik B adalah ubat dari jenis yang sama.  Kenapa hal ini terjadi?  Ini adalah kerana kuasa percaya yang ada dalam minda menyekat keyakinan bahawa ubat yang dibeli di klinik A akan sia-sia manakala ubat di klinik B yang mujarab.

(Harus diingat bahawa sembuh atau tidak bukan kepada ubat tersebut tetapi kepada ALLAH yang memberi penyakit dan menyembuhkannya)

Suatu masa dahulu, KM pernah mengajar di pedalaman Pahang, sebuah kampung kecil yang terpencil.  Komuniti di situ adalah orang Melayu (mengikut ceritanya keturunan pejuang yang melarikan diri daripada penjajah suatu masa dahulu dan membuat penempatan di pinggir hutan) dan sedikit orang Asal.

Orang Asal di situ sangat kuat berpegang kepada keyakinan kuasa tok batin mereka.  Malah, bukan hanya dari segi pentadbiran sahaja kuasa tok batin, sebaliknya hingga kepada urusan merawat jika ada yang sakit.  Suatu hari, datang sepasang suami isteri orang Asal bersama anak kecil mereka.  Anak kecil itu menangis dan kelihatan sangat lemah.  Kata pasangan itu, anak mereka demam dan sakit sudah lama.  Sudah dirujuk kepada tok batin tetapi masih belum sembuh.

Jadi apa yang mereka mahu?

Mereka datang ke rumah guru (tempat KM dan rakan-rakan tinggal) untuk mendapatkan nasihat.

Rakan KM berseloroh bahawa KM pandai buat ‘air tawar’ untuk menyembuhkan penyakit yang ringan-ringan.  Terperanjat KM bila mereka bersungguh-sungguh merayu agar dibuatkan air tawar bagi menyembuhkan penyakit anak mereka itu.  KM mati akal, sebab KM tak pandai seperti yang dinyatakan rakan KM itu.  KM cuba menolak dengan baik namun pasangan itu bermatian merayu untuk KM melakukan sesuatu.

KM tak dapat mengelak lagi.  KM ambil segelas air dan bacakan sesuatu, air itu KM beri minum kepada anak kecil itu dan bakinya KM basahkan muka dan badannya.

Keesokan harinya, pasangan itu datang lagi dan membawa pisang dan ubi.  Agak banyak juga pisang dan ubi yang mereka bawa.  Mereka mengucapkan terima kasih kepada KM kerana anak mereka sembuh setelah minum air tawar KM itu.  Kelihatan mereka sungguh ‘bersyukur’ kerana anak mereka sembuh kembali.

Setelah pasangan itu pulang, rakan KM bertanya, apa jampi yang KM baca hingga begitu ampuh air tawar semalam?  Sememangnya rakan KM itu juga teruja kerana dia pun tahu KM bukanlah seorang ‘perawat’.  Jawab KM, hanya bacakan surah Al-Fatihah.

KM percaya bahawa Al-Fatihah memang sebuah surah yang mampu merawat.  Kepercayaan KM yang sangat tinggi itu menyebabkan air tawar KM ‘menjadi’.  Begitu juga dengan pasangan itu, mereka percaya sebenar-benarnya bahawa air tawar KM itu memang mujarab, dan akhirnya dengan kehendakNya jualah anak kecil itu sembuh.

Nampak tak bagaimana kuasa percaya bertindak dan menjadi?  Jika kita percaya dengan sebenar-benar percaya, maka apa yang kita percaya itu pasti akan terhasil.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan