Selasa, 17 September 2013

I Love U…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua….

ilu

Gambar daripada internet

Ungkapan I love U memang sinonim dengan orang bercinta.  Kata-kata I love U ini menjadi sangat merangsangkan jiwa dan perasaan.  Bak kata pujangga, rasa seperti ‘berbunga-bunga’ bila ada yang mengungkapkan kata-kata itu kepada kita, apatah kita juga punya perasaan yang sama dengannya.

Namun, pernahkah kita faham bahawa setiap kali kita rasa sayang dan suka kepada seseorang itu, sebenarnya kita menarik dan menciptakan perasaan yang sama kepada orang itu.  Maksudnya, bila kita sayangkan seseorang, maka orang itu juga pasti akan lebih sayang kepada kita.

Sebab itu orang yang bercinta sanggup ‘bergayut’ di telefon berjam-jam, tak makan pun tak apa.  Kerana mereka sedang menarik perasaan yang sama antara satu sama lain.

KM ada satu kes yang boleh dibincangkan berkenaan perkara ini, berkenaan orang yang mabuk bercinta.  Suatu masa dahulu, kenalan KM ini sibuk sangat bercerita tentang cinta barunya.  Tiap-tiap hari ceritanya hanya berkisar tentang si gadis yang digilakannya itu.  Tiada yang buruk dan cacat pada gadis itu.  Almaklum, mereka sama-sama bercinta dan saling mencipta dan menarik perasaan yang sama antara satu sama lain.

Namun, suatu ketika mereka berdua bergaduh.  Bagi KM, ini perkara biasa bagi orang yang bercinta.  Bergaduh dan kemudian berdamai, akan membuatkan perasaan mereka lebih terbuka antara satu sama lain.  Masalahnya, pergaduhan yang kecil itu mereka besar-besarkan.  Tiada yang mahu mengalah antara mereka.  Apa yang berlaku?  Jika dulu, mereka saling mencipta dan menarik perasaan yang sama iaitu CINTA.  Namun kini, mereka telah mencipta dan menarik perkara yang baru iaitu saling membenci.

Hal ini adalah hakikat.  Bila kita sukakan seseorang maka kita memancarkan perasaan itu dan sampai kepada orang yang kita suka.  Ini mencipta gelombang yang saling menarik antara mereka.  Namun, bila salah seorang daripada mereka memulakan sengketa, maka mereka mencipta perasaan marah dan benci.  Perasaan negatif ini juga akan memancarkan gelombangnya dan sampai kepada orang yang dituju.  Ini membuatkan orang di sana juga merasakan perasaan yang marah dan benci kepada kita.

Andai tiada yang mahu mengalah antara mereka, pasti perasaan cinta itu tadi semakin hilang dan akan diganti dengan perasaan yang baru iaitu perpisahan.

Segalanya bermula dari dalam diri kita.  Kita yang memancarkan apa yang kita rasa.  Andai kita tidak pandai mengawalnya, maka kita akan kehilangan cinta…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan