Salam kedamaian daripada KM buat semua…
Gambar daripada internet
Tentu sahaja anda tahu, atau memiliki akaun facebook (FB). Hari ini, KM hendak berbicara berkenaan FB. KM bukanlah pengguna tegar FB. Bagi KM, akaun FB itu KM gunakan untuk mendapatkan khabar berita daripada rakan-rakan dan kenalan sahaja…
Kebanyakan daripada pengguna FB, menulis atau mencatatkan apa yang berlaku dalam kehidupan seharaiannya. Malah, perasaan dan emosinya juga dipaparkan pada ruangan catatan FB tersebut.
Apa yang KM hendak nyatakan adalah, setiap catatan kita di ‘dinding’ FB itu adalah gambaran tentang siapa diri kita.
KM merasa sedikit sedih dan kesal kepada orang yang menulis tentang kesusahan, kesedihan, dan kegagalannya dalam FB. Dari satu segi, mungkin dia berkata untuk meluahkan perasaannya sahaja agar menjadi lebih lega, namun jika kerap kali mengungkapkan perkara berkenaan dengan kegagalan, pasti itu suatu yang tidak kena.
Apa yang lebih menyedihkan, ada di kalangan remaja yang masih berada di bangku sekolah mengungkapkan rasa kekecewaannya dalam dunia percintaannya di FB. Mereka yang sepatutnya menumpukan perhatian kepada pelajaran, rupanya telah merasa dan melalui liku-liku dunia percintaan. Jika mereka gagal dalam perasaan, maka mereka mulalah mengungkapkan kesedihan mereka di FB. Jika bahagia sekalipun, bagi KM tidak wajar mereka mewar-warkannya di FB kerana bukan masanya mereka sibuh dengan bercinta di usia muda.
Apa yang ditulis di FB biasanya melambangkan diri kita. Jika kita selalu menulis tentang kejayaan, perkara-perkara yang berkaitan dengan semangat, dan ulasan yang dapat memberi manafaat, pasti kita dilihat sebagai seorang yang hebat.
Tetapi, jika catatan yang dibuat berkaitan dengan kesusahan dan kegusaran sepanjang masa, maka pasti kita ini melambangkan diri yang lemah dan sentiasa tewas.
Apa yang kita ungkapkan sebenarnya datang daripada dalam diri kita. Kita ungkapkan kejayaan, maka semangat kejayaan akan menjadi lebih tinggi dalam diri. Jika kita mengungkapkan tentang kesusahan, maka pasti kita menjadi lebih tidak bersemangat.
Apa yang lebih membimbangkan, ungkapan negatif itu akan menarik lebih banyak perkara negatif untuk hadir dalam diri kita…
Oleh itu, sentiasa tenang dalam diri. Jaga pemikiran dan perasaan. Jangan terlalu kerap menulis catatan berkenaan kegagalan, sebaliknya tuliskan perkara-perkara yang dapat membina dan menaikkan semangat dalam diri.
Salam hormat daripada KM…
Tiada ulasan:
Catat Ulasan