Salam kasih sayang daripada KM buat semua…..
Sewaktu KM menulis ni, KM baru balik dari Tak Bai. Pengalaman pertama KM ke sana bersama dengan beberapa orang kenalan untuk menguruskan satu ‘misi’ penting. Alhamdulillah, ‘misi menyelamat’ berjaya dengan bantuanNya.
Semasa berada di sana, KM sempat dibawa ke pasar pagi. Pasar di sana lebih kurang sama macam pasar pagi di sempadan Kelantan-Thai. Barangan jualan seperti pakaian, toto, hiasan rumah, dan buah-buahan menjadi bahan jualan utama. Bahasa yang mereka gunakan juga adalah bahasa Melayu dialek Kelantan, tetapi ada juga ungkapan-ungkapan berbaur dengan bahasa Siam.
Apa yang KM hendak ceritakan adalah, semasa KM berjalan-jalan di pasar tersebut, KM tertarik kepada seorang perempuan berusia pertengahan yang sedang menjual barang jualannya. Mukanya agak ‘keruh’ dan sedih; kening terangkat tinggi, tiada senyuman, dan ‘merayu-rayu’ kepada pelanggan yang lalu lalang untuk membeli jualannya. Ternyata, kurang sambutan jualannya itu…
Berbeza dengan seorang wanita lain yang berada selang beberapa kedai dari tempat wanita pertama tadi. Jualannya sama saja dengan jualan wanita pertama. Tetapi, wanita kedua ini nampak lebih ramah, dan riuh mempromosikan barangannya. Dan ternyata, dia lebih mendapat perhatian daripada pelanggan yang lalu lalang di situ.
KM berfikir, alangkah eloknya kalau wanita pertama tadi juga sepertinya. Besarkan jiwa, buang jauh-jauh perasaan dan wajah sedihnya itu walaupun pelanggan tidak berminat untuk membeli di kedainya. Kenapa? Kerana dengan wajah sedihnya itulah, pelanggan kurang berminat untuk mendekatinya.
Mungkin dari satu segi, ada yang beranggapan bahawa wajah sedih ini sesuai untuk menarik perhatian dan simpati daripada pembeli. Mungkin ada yang rasa tersentuh untuk membantu wanita itu kerana melihat dia sedih, dan perlu dibantu. Namun, sebenarnya anggapan itu tidak benar. Kesedihan akan membuatkan kita tidak bersemangat. Pembeli yang lalu lalang di situ juga pasti tidak tertarik kerana ‘kesedihan’ wanita itu.
Bandingkanlah kedua-duanya tadi, jika pembeli seperti saya yang berhasrat untuk ‘jalan-jalan dulu’ sebelum membeli, pasti akan lebih tertarik kepada wanita kedua kerana keramahannya, dan keseronokannya melayan pelanggan yang hadir ke situ.
Inilah yang KM maksudkan dengan jiwa yang besar. Jiwa besar yang dimiliki oleh wanita kedua itu sebenarnya telah membuatkan kita rasa tertarik kepadanya dan membeli, walaupun asalnya kita hendak membantu wanita pertama…..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan