Salam kasih sayang daripada KM buat semua.
Dalam kehidupan kita ini, yang biasa berurusan dengan pelbagai orang, tentu kita akan berjumpa dengan bermacam-macam jenis ragam manusia. Ada yang mudah bersosial, ada yang tidak. Ada juga yang moody, dan ada yang steady. Hari ini KM nak berbicara tentang sikap manusia dan kesannya kepada kuasa minda yang kita tarik kepada diri kita sendiri…
Dalam banyak ragam manusia ini, mungkin kita biasa bersua atau terpaksa bersua dengan manusia yang hanya pentingkan diri sahaja. Sikap pentingkan diri ini boleh dari segi pemikiran, mahupun tindakan. Dalam kata lain, hanya dia sahaja yang betul dan orang lain semuanya salah. Keadaan ini pasti lebih membebankan jika orang itu adalah seorang ketua atau pemimpin. Hal ini menyebabkan semua pandangan dan pendapat orang lain (walaupun bernas) namun akan ditolak mentah-mentah dan menerimapakai pendapat ‘dia’ walaupun ada pendapat dan tindakan itu memang tidak masuk akal.
Apa yang KM hendak utarakan adalah sikap ini seolah-olah menyusahkan dan membebankan orang lain. Harus diingat bahawa, apabila kita memiliki sikap membebankan orang lain, pasti kita akan menarik sesuatu yang membebankan juga kepada diri kita. KM maksudkan begini; apabila kita menyusahkan hidup orang lain, pasti hidup kita juga akan menjadi susah dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang datang tanpa diduga. Ini adalah kerana orang yang kita bebankan itu pasti tidak suka kepada kita dan (andai lebih buruk lagi) akan menyumpah seranah di belakang kita. Keadaan inilah yang akan memancarkan rasa tidak senang dan negatif kepada diri kita.
Pandangan KM; jika kita memudahkan urusan dengan orang lain, pasti orang itu akan merasa sangat gembira dan bersyukur. Perasaan ini akan memancarkan rasa seronok, damai, dan ketenangan kepada orang. Apa yang lebih jelas adalah apabila orang yang kita permudahkan itu akan mendoakan kesejahteraan kita semua. Bukankah ini akan menjadikan hidup kita lebih damai dan menyenangkan?
Fikir-fikirkanlah….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan