Isnin, 30 Januari 2012

Alah bisa…

Salam kasih sayang daripada KM…

Berkaitan dengan set pemikiran dalam catatan yang lalu, KM nak ceritakan sedikit tentang situasi yang berlaku kepada diri KM sendiri.  Ini juga adalah salah satu contoh bahawa minda boleh diprogramkan, dan tubuh akan menerima arahan untuk melaksanakan tugas.

Seperti yang KM ceritakan dahulu, KM kini telah bertukar tempat bertugas di sebuah sekolah lain.  Untuk ke sekolah itu, KM perlu membetulkan semula jadual tubuh KM.  Seawal selepas Subuh KM sudah perlu bersiap sedia untuk keluar ke sekolah.  Memang pada minggu pertama dan kedua, KM rasa sangat ‘terseksa’ kerana terpaksa membentuk jadual perjalanan yang baru dalam hidup.  Namun kini setelah masuk minggu yang ketiga, KM sudah menjadi biasa dengan rutin itu dan menjadi sangat seronok dan bersemangat.

Jika dahulu, untuk sampai ke sekolah KM perlu mengambil masa 45 minit.  Ini adalah kerana perjalanan ke sekolah terpaksa melalui kawasan ladang kelapa sawit yang berliku-liku, ‘melintasi’ beberapa gerombolan lembu yang tidur di tengah jalan, ‘memalit’kan najis lembu secara sengaja atau tidak sengaja, dan sebagainya.  Namun sekarang, KM sudah boleh sampai ke sekolah dalam jangka masa 30 minit sahaja.

Kenapa hal ini terjadi?  Hal ini terjadi kerana dulu KM masih baru dengan jalan dan situasi di jalanan tersebut.  Keadaan ini menyebabkan KM perlu lebih berhati-hati (kerana tidak biasa).  Namun sekarang, KM sudah boleh mula ‘memecut’ sedikit di kawasan ladang ini kerana sudah tahu dan kenal pasti kawasan yang perlu diperlahankan untuk mengelak lubang dan lembu.  Hal ini yang menjadi kebiasaan setiap hari telah membentuk satu set dalam diri bahawa kawasan ini boleh laju sikit, kawasan ini ada lubang, kawasan ini berliku, dan sebagainya.

Set pemikiran ini berlaku kerana kita melakukannya setiap hari secara berulang-ulang.  Keadaan ini menjadikan minda menerima satu bentuk perlakuan yang berterusan dan tubuh menerima sebagai satu tugas dalam diri.  Kebiasaan ini akan menjadikan kita lebih bersedia, yakin, dan tahu apa yang perlu dilakukan secara reflek dan pantas.

Benarlah kata pepatah; alah bisa tegal biasa….

1 ulasan:

  1. ye..betul KM..

    saya setuju..

    sama la..masa start keje baru kul 6.45 dah gerak ke tempat keja. Bangun kul 6. dulu rasa berat..sekarang dah biasa je..

    walaupun tak keje, mesti mata akan terjaga dengan sendiri kul 6.Nak g sane, rasa terbeban je nak drive, bila dah biasa dgn jalan tu, rasa ok2 je..

    BalasPadam