Salam kasih sayang daripada KM buat semua…
Pagi tadi, KM ada mengikuti program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di TV1. Sebenarnya KM jarang tonton SPM. Televisyen di rumah KM pun kekadang tu macam perhiasan je, tak sempat pun nak mengadap tv sepanjang masa. Kebetulan semasa menonton SPM tu, ada seorang tetamu yang KM kenali; ustaz Mohd Fazli Abdul Manaf. Sahabat KM ni sama-sama belajar semasa di maktab di Sungai Petani dulu. Memang ketokohannya sangat terserlah. Tak sangka pula dia sekarang ni dah jadi salah seorang motivator jemputan di SPM.
KM tertarik dengan perbincangan dalam segmen tu, iaitu Asal Ada Cukuplah…
Memang sudah menjadi tabiat kita, mudah sangat berpuas hati dengan apa yang ada. Atau berpuas hati dengan pencapaian yang sekadarnya sahaja. Memang kita tidak boleh tamak, memang kita perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Namun, sebenarnya kita mampu untuk mendapat lebih daripada itu. Kenapa mesti kita merasa hanya cukup-cukup sahaja? Bukankah lebih elok jika sesuatu kejayaan itu kita perolehi dengan kadar yang maksimum?
KM suka dengan perbincangan bersama dengan ustaz Fazli tu. Katanya, kita perlu ada rasa kepuasan dalam setiap apa yang kita lakukan. Jika kita buat sesuatu itu dengan harapan cukup-cukup saja, adakah kita merasa puas? Jika kita tidak berpuas hati, adakah orang lain juga puas hati dengan apa yang kita lakukan?
Ambil contoh seorang pekerja yang bekerja di sebuah kilang membuat roti. Tugasnya adalah mengadun adunan roti tersebut. Jika dia melakukan sekadar biasa-biasa sahaja, kerana beranggapan jika dia melakukan dengan bersungguh-sungguh sekalipun, gajinya tetap sama… Adakah ada rasa kepuasan dalam dirinya semasa melaksanakan kerjanya itu? Adakah majikannya juga akan merasa berpuas hati dengan hasilan adunan yang dibuat biasa-biasa sahaja itu? Rasanya tentu sahaja dia dan majikannya itu tidak berpuas hati.
Kepuasan diri akan menyebabkan kita merasa sangat seronok semasa melakukan sesuatu. Walaupun tahap ganjaran yang kita terima sama saja, jika kita melakukan sesuatu itu secara bersungguh-sungguh atau tidak, namun kepuasan itulah sebenarnya ganjaran untuk diri kita. Melalui kepuasan itu akan lahir apa yang dinamakan pengalaman hidup. Pengalaman ini akan menjadikan diri kita lebih berharga dan akan berjaya dengan lebih cemerlang pada masa akan datang.
KM selalu melaksanakan tugas di luar. Sebagai jurulatih aktiviti pendidikan luar, memang KM merasa sangat letih dan penat. Kekadang, KM sendiri mengalami kemalangan kecil semasa aktiviti tersebut, atau badan terasa sakit-sakit bila pulang dari tugasan. Namun, semua itu rasa sangat seronok bagi KM kerana KM puas dengan apa yang KM lakukan. Minat dan semangat yang tinggi menyebabkan KM tidak langsung merasa bosan jika diarahkan untuk melaksanakan tugasan di luar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan