Jumaat, 16 Ogos 2013

Malik bin Dinar…

Salam kedamaian buat semua….

 taubat2

Hari ini KM hendak ceritakan semula sebuah cerita tentang ahli sufi yang KM dengar dari sebuah ceramah.  Ceritanya berkenaan seorang yang selalu melakukan maksiat, namun akhirnya bertaubat dan menjadi ahli sufi yang terkenal.

Ada seorang lelaki hebat bernama Malik bin Dinar.  Dia selalu melakukan kejahatan dan maksiat.  Tiada lagi maksiat dan kejahatan yang belum pernah dia lakukan, semuanya sudah biasa dilakukannya dengan penuh keangkuhan.  Salah satu kejahatan yang paling utama adalah meminum arak.  Arak umpama air utama untuk dia minum seharian.  Benarlah seperti mana yang diingatkan oleh Rasulullah bahawa arak adalah ibu segala maksiat; apabila minum arak pasti lebih banyak maksiat akan dilakukan.

Malik mempunyai seorang anak kecil yang sangat comel.  Kekadang, Malik jadi insaf akan keadaan dirinya yang sentiasa melakukan maksiat apatah lagi bila melihat ke dalam mata anaknya yang sangat disayanginya itu.  Anaknya seolah-olah meminta agar Malik insaf dan bertaubat daripada melakukan maksiat.  Alhamdulillah, akhirnya Malik mendapat kesedaran dan meninggalkan segala maksiat yang pernah dilakukan, hanya kerana terlalu sayangkan anaknya.

Ketentuan ALLAH, usia anaknya tidak panjang.  Anak kecil yang Malik Dinar sangat sayang itu meninggal dunia, meninggalkan diri ayah yang masih terlalu muda dalam bertaubat.  Keadaan ini menyebabkan Malik bin Dinar memberontak.  Dia seolah-olah menyalahkan ALLAH kerana ‘mengambil’ anaknya.  Dan sejah hari itu, Malik Dinar kembali melakukan maksiat, kembali dalam meminum arak.

Pada suatu hari, Malik bin Dinar pergi ke kedai menjual arak, untuk membeli dan meminum arak di situ (mungkin gambarannya seperti kelab malam atau pub pada masa kini).  Setibanya di situ, dia minum arak dengan sangat banyak tanpa henti.  Akibat terlalu banyak minum, Malik akhirnya pengsan di kedai itu.  Semasa Malik pengsan itulah, kejadian yang benar-benar akan menginsafkannya berlaku.

Dia seolah-olah ‘dibawa’ ke alam roh.  Nyawanya seolah-olah telah dicabut dari badannya semasa dia pengsan dan dibawa ke sana.  Di suatu tempat yang asing, dia berjalan dan terus berjalan tanpa hala tujuan.  Tiba-tiba dia ternampak seekor ular besar sedang menuju ke arahnya.  Malik bin Dinar terus berlari, dan ular itu pula terus mengejar dan mengekorinya.

Malik Dinar terus berlari di bumi yang asing baginya itu.  Tiba-tiba dia ternampak seorang lelaki tua yang bertongkat sedang melalui kawasan itu.  Dia berlari dan menjerit meminta tolong daripada lelaki tua itu.  Malangnya lelaki tua itu tidak dapat membantunya kerana lelaki itu sangat tua dan lemah.

Malik bin Dinar terus berlaku dan akhirnya sampai ke sebuah taman yang cantik.  Di situ, dia ternampak anaknya yang meninggal dulu sedang duduk bersama-sama dengan ramai kanak-kanak lain.  Malik terus menjerit dan meminta tolong daripada anaknya itu.  Akhirnya ular yang mengejar Malik hilang apabila anak Malik datang dan menghalaunya.

Bersyukur Malik kepadaNya.  Pada ketika itulah, Malik bin Dinar bertanya kepada anaknya, di mana mereka berada?  Anaknya menyatakan mereka berada di taman syurga.  Anaknya (yang meninggal kecil dan tidak melakukan apa-apa kesalahan) telah ditempatkan di situ sambil menunggu hari kiamat untuk kembali bersama ibu dan bapanya.

Bertanya Malik; siapa ular besar yang mengejarnya?  Anaknya berkata bahawa ular besar itu adalah dosa-dosa yang dilakukanya.  Semakin banyak dosa dilakukan di dunia, semakin besarlah ular yang akan mengejar dan menyeksa kita di sana nanti.

Bertanya Malik; siapa pula orang tua tadi?  Anaknya berkata bahawa orang tua itu adalah amalan kebaikan Malik semasa di dunia.  Oleh kerana amalannya hanya sedikit, maka orang itu digambarkan hanya sekadar seorang tua yang lemah dan bertongkat, yang tidak mampu untuk menolong menghalang ular (dosa) untuk menyeksa dan mengazab kita.

Seketika kemudian, Malik bin Dinar tersedar semula daripada pengsannya.  Dan dari semenjak itu, Malik benar-benar bertaubat dan menginsafi segala kesalahan dan kemaksiatan yang dilakukan.  Dia benar-benar menjadi ahli ibadat yang memperhambakan dirinya hanya kepada ALLAH semata-mata.

Bagaimana pula dengan diri kita?  Adakah kita cukup bersedia untuk kembali ke ‘sana’?  Cukupkah sudah amalan dan bekalan kita?  Di hari yang mulia ini, marilah sama-sama kita menginsafi diri…ingatan buat diri KM yang kerdil ini……

Tiada ulasan:

Catat Ulasan