Salam kasih sayang daripada KM buat semua.
Memang sudah lama benar KM tidak dapat menulis di sini. KM umpama baru sahaja bertapa memperhambakan diri kepadaNya selama sebulan yang lalu dan alhamdulillah KM kini dapat kembali semula ke sini untuk menulis dan mencoret sesuatu untuk ingatan KM.
Pertamanya, agak terlewat untuk KM ucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin, andai selama KM menulis di sini, ada yang terguris hati dek tulisan KM untuk mungkin tidak berbahasa.
Sempena suasana hari raya yang masih berbaki ini, KM hendak ceritakan tentang keseronokan dan kebahagiaan. Kata orang, kanak-kanaklah golongan yang paling seronok dan bahagia bila tiba hari raya. Betul, KM setuju dengan pandangan itu. Memang golongan kanak-kanak ini akan menjadi insan yang paling seronok dan bahagia semasa menyambut hari raya. Kenapa? Kerana mereka tidak pernah runsing dan berdukacita. Mereka faham erti menyambut hari raya. Mereka sentiasa menjadikan apa yang mereka hendak lakukan itu sentiasa seronok dan bahagia, walaupun terpaksa berjalan berbatu-batu untuk beraya di setiap rumah dalam kampung.
Bagaimana pula dengan kita? Bagi orang dewasa, ada yang seronok dan bahagia, dan ada juga sebaliknya. Kerana mereka menjadikan kesulitan dan kerunsingan hidup untuk menutup keseronokan di hari raya.
Sewajarnya, kita kembali semula kepada pengertian hari raya. Hari raya adalah hari kemenangan kerana kita telah berjaya menjalankan perintahNya selama sebulan. Memang kita diminta untuk berhari raya; berseronok dan berbahagia di hari raya kerana kemenangan itu. Oleh itu, sewajarnyalah kita sentiasa merasa gembira dan seronok pada hari raya kerana ini akan membuatkan kita menjadi seronok dan segar kembali.
Dan apa yang lebih baik adalah, jika kita dapat kekalkan keseronokan itu dan sentiasa rasa bahagia selepas ini dan selamanya. Perasaan positif seperti ini akan menjadikan kita sentiasa bertenaga dan berbahagia dalam kehidupan. Ini akan menjadikan diri kita sentiasa bersemangat dan berdaya juang yang tinggi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan