Salam kasih sayang buat semua…
Gambar daripada internet
Ada seorang kenalan KM mengeluh dan merungut tentang gajinya. Katanya, aku seorang pekerja yang kuat bekerja. Sampai awal ke tempat kerja, tidak melengahkan kerja, sentiasa menyiapkan kerja sebelum dateline, tidak mengular apatah lagi menggunakan masa bekerja dengan melayari FB dan sebagainya. Tapi gajiku hanya RM1200. Pada pandanganku, gaji ku tidak setimpal dengan usaha dan pengorbanan serta komitmen aku dalam bekerja. Aku sewajarnya memiliki gaji RM3000 dengan usaha aku ini….
Begitulah rungutannya kepada KM. Tersenyum KM mendengar kata-katanya….
KM memang bersetuju. Ada kalanya kita merasa seperti ditidakkan dengan beberapa keadaan. Maksudnya, orang yang bekerja kuat, dan kerja berat, gajinya sedikit sahaja berbanding dengan orang yang pandai membodek dan mengipas. Tapi percayalah, orang seperti kenalan KM itu sememangnya mendapat gaji RM3000, dan bukannya RM1200.
Memang, dia hanya menerima gaji berbentuk wang RM 1200 sahaja, namun gajinya berjumlah RM 1800 lagi itu ALLAH telah tukarkan kepada perkara-perkara lain. Antaranya, anak-anaknya semuanya berjaya dalam pelajaran. Kenalan KM itu juga sentiasa sihat, jarang sangat KM lihat dia sakit dan MC. Rumah kecil tempat dia dan keluarganya tinggal juga sentiasa damai dan sentosa.
Berbanding dengan seorang lagi kenalan KM yang gajinya mencecah RM3500, namun KM lihat dia selalu bermasalah. Anak-anaknya kurang menghormati orang tua, dan lebih tepat lagi biadab! Kereta mewahnya sudah dua kali berlanggar. Walaupun kerosakkannya kecil sahaja, namun tetap perlukan wang untuk membaikinya. Malah, rumahnya sudah beberapa kali dimasuki pencuri.
Apa maknanya ini? Ini menunjukkan, gajinya yang tinggi itu bukan miliknya. Dan sesungguhnya ALLAH telah menariknya semula dalam bentuk yang lain.
Tidak salah kita memiliki kekayaan. Kekayaan adalah milik ALLAH dan DIA menjanjikan kekayaan itu kepada sesiapa yang berusaha, dan kepada sesiapa yang dikehendakinya. Namun, biarlah kekayaan itu datang dengan penuh kerahmatan. Pasti kekayaan itu akan kekal, malah melimpah ruah lagi.
Dan, tidak hina sebenarnya orang yang memiliki kemiskinan. Kemiskinan bukan hukuman ALLAH kepada kita. Mungkin kita belum cukup berusaha, atau masanya belum tiba untuk kita keluar dari kemiskinan itu. Pun begitu, jika kita tetap yakin dan bersangka baik, pasti kemiskinan itu bukan kesusahan bagi kita.
Lihat sahaja orang dulu, yang kerjanya hanya membanting tulang mengerjakan sawah sekangkang kera, namun masih mampu untuk memberi pendidikan kepada anak-anak hingga ke universiti. Bukankah itu suatu yang mustahil jika kita fikirkannya? Namun, ia tetap berusaha dan berjaya melaluinya. Nah, sekarang dia sudah selesa duduk bermain dengan cucu-cucunya, tenang dan damai sahaja…..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan