Salam kedamaian buat semua….
Berbicara tentang fokus, pasti kita akan faham bahawa fokus memerlukan penumpuan dan perhatian yang kuat. Andai kita leka dan fikian menerawang, pasti kita bukanlah orang yang fokus.
Fokus tentu sahaja melibatkan perkara yang penting. Sama ada belajar, bekerja, melakukan sesuatu yang rumit, malah memandu sekalipun, pasti kita perlu faham dan perlu untuk melakukan apa yang dikatakan fokus.
Namun, sejauh mana kita mampu untuk melatih diri untuk fokus? Bagaimana pula caranya untuk kita fokus kepada sesuatu?
Ada satu teknik latihan fokus iaitu teknik titik hitam. Teknik latihan ini KM dapat daripada salah seorang kenalan KM yang belajar berkenaan sains minda manusia suatu masa dahulu. KM pernah cuba teknik ini, memang agak sukar pada mulanya, namun apabila sudah berjaya, kita akan dapat lihat kesannya dengan jelas kepada tahap fokus kita.
Caranya…
Ambil sekeping kertas, gunakan marker pen untuk buat satu ‘titik’ pada kertas tersebut. Kemudian, lekatkan kertas tersebut pada dinding.
Langkah seterusnya adalah perkara yang akan mencabar fokus kita. Duduk lebih kurang 2 meter daripada dinding yang terdapat titik hitam tadi. Keadaan duduk terpulang, namun harus santai. KM memilih untuk duduk secara bersila. Tenangkan pemikiran kita dan cuba bernafas dengan teratur dan tenang.
Perhatikan kepada titik hitam tersebut. Jangan fikirkan apa-apa, hanya pada titik hitan itu sahaja. Fokus betul-betul kepada titik hitam itu sahaja, dan pemikiran kita juga harus ‘nampak’ hanya titik hitam itu sahaja. Jangan lihat terlalu lama, cukup dalam tempoh masa 5 minit untuk satu sesi. Andai kita terfikirkan perkara lain selain titik hitam itu, maka berhentilah. Kerana kita tidak berjaya. Cuba ulang semula dengan jangka masa yang baru.
Nampak seperti mudah, bukan? Namun, percayalah bahawa bukan titik hitam itu yang menjadi apa yang perlu difokuskan. Sebaliknya adalah bagaimana cara kita hilangkan semua pemikiran kita terhadap perkara lain, selain hanya titik hitam itu sahaja.
Kaedah ini bukan semata-mata untuk meminta kita melihat kepada titik hitam itu. Apa yang penting adalah kita mengawal minda kita untuk fokus kepada satu perkara sahaja.
KM lakukan latihan ini sebanyak 3 kali seminggu sahaja. Dan dalam masa dua bulan, barulah KM benar-benar berjaya fokus kepada titik hitam itu tanpa memikirkan perkara lain selama 5 minit. Benar, 5 minit tidak menerawang kepada perkara lain, hanya fikirkan tentang fokus titik hitam sahaja.
Andai anda dapat melakukan teknik ini, pasti anda akan dapat lihat sesuatu yang ‘istimewa’ pada titik hitam itu bila anda benar-benar berjaya melakukannya. Apakah keistimewaannya? KM tidak mahu nyatakan di sini kerana anda harus mencubanya sendiri.
Selepas anda benar-benar berjaya melakukan teknik ini, pasti anda akan lebih berjaya untuk fokus kepada perkara-perkara lain yang anda lakukan. Perkara yang paling hebat KM rasakan setelah berjaya fokus adalah ketika melakukan solat. Memang terasa kelainannya….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan