Salam kasih sayang daripada KM buat semua….
Minda separa sedar perlukan arahan untuk bertindak. Maka kita perlu memberikan arahan kepadanya, untuk minda melakukan tugasannya. Tetapi harus diingat, arahan yang betul akan menghasilkan kesan yang baik dan positif, dan begitu juga sebaliknya.
Arahan itu datangnya daripada apa yang kita fikirkan. Jika kita berfikiran baik, positif, matang, dan menuju ke arah perkara yang mulia, maka sebenarnya kita telah memberi arahan kepada minda. Minda separa sedar akan menerima arahan tersebut dan melaksanakan tugasannya selaras dengan apa yang kita fikirkan.
Contoh kepada pelajar, jika kita fikirkan kesulitan, kesusahan, kebosanan, dan sebagainya dalam sesuatu mata pelajaran; maka adakah anda rasa yang anda akan berjaya cemerlang dalam mata pelajaran tersebut? Pasti sahaja jawapannya tidak. Kerana, anda telah mengarahkan kepada minda bahawa mata pelajaran itu sukar untuk dikuasai. Maka, minda akan menerimanya sebagai suatu yang susah untuk dicapai. Minda akan bertindak balas untuk menutup semua laluan maklumat untuk dikuasai dalam mata pelajaran tersebut, hasilnya kita akan gagal.
Contoh yang berlaku kepada diri KM sendiri, baru-baru ini ada sambutan besar yang KM perlu selaraskannya. Ramai yang membangkang untuk melaksanakan sambutan itu kerana kerja-kerja yang perlu dilakukan nampak sukar dan membazir sahaja (pada pandangan mereka). Namun, KM cuba pujuk dan minta mereka fokuskan kepada bidang tugasan masing-masing untuk melakukan sambutan ini.
KM cuba bawa rakan-rakan KM untuk mengarahkan minda mereka masing-masing menyatakan bahawa kita mampu untuk melakukannya. Dan alhamdulillah, segala kesulitan seperti dipermudahkan. Program dapat dilaksanakan dengan jaya dan cemerlang.
Berbicara tentang kesulitan, memang ia ada di mana-mana. Namun, bagaimana cara untuk kita menghadapinya adalah berbeza. Ada yang menyerah kalah begitu sahaja. Jika ini berlaku, sebenarnya kita hanya mengarahkan minda untuk berhenti berfikir. Sebaliknya, jika kita katakan kesulitan itu adalah perkara yang hadir untuk menguatkan kita, maka pasti ada jalan penyelesaian yang hadir secara ‘tidak sengaja’ untuk menyelesaikannya.
Kenapa kelihatan ia hadir secara tidak sengaja? Kerana minda separa sedar menerima arahan daripada cara kita berfikir. Berfikiran positif dan kuat untuk menjayakan sesuatu itu akan mengarahkan minda separa sedar untuk menyelesaikan masalah yang ada.
Awasi cara pemikiran kita.
Sentiasalah tenang dan berfikiran terbuka, pasti kita akan berjaya mengarahkan minda separa sedar kita melakukan tugasnya dengan lebih baik
Tiada ulasan:
Catat Ulasan