Isnin, 4 Februari 2013

Fokus…

Salam kedamaian daripada KM buat semua….

fokus

Gambar hiasan daripada internet

Berbicara tentang fokus, pasti kita hanya ingat kepada fokus fizikal iaitu mata.  Memang, mata memainkan peranan penting apabila kita fokus kepada sesuatu.  Namun, ada satu bentuk fokus yang lebih besar dan luas iaitu fokus dengan menggunakan minda dan emosi.

Seperti mana yang kita maklum, minda adalah elemen terpenting dalam diri kita.  Mindalah yang menggerakkan setiap elemen lain seperti mata, mulut, dan anggota fizikal lain untuk melakukan sesuatu.  Andai minda tertutup, maka pasti perkara-perkara lain juga akan tertutup.

Mari kita lakukan sedikit latihan fokus minda.  Ambil suatu barang, contohnya buku.  Cuba buat pemerhatian mendalam kepada buku tersebut; kulit luarannya, rekaletak muka depannya, ketebalannya, warnanya, dan sebagainya berkenaan buku tersebut.  Ambillah masa lebih kurang 5 minit untuk mengambil sepenuh maklumat berkenaan buku tersebut.

Apabila sudah berpuas hati, letakkan buku tersebut.  Sekarang pejamkan mata, dan bayangkan apa yang anda ingat pada buku tersebut.  Andai anda dapat membayangkan buku tersebut sejelas-jelasnya, maka anda telah berjaya melatih fokus minda anda.  Teruskan membayang buku tersebut (namun jangan terlalu memaksa pada awal latihan) hingga anda berjaya nampak warna buku tersebut.  Ya, kita mampu nampak warnanya walaupun mata kita terpejam.  Itulah kehebatan fokus minda.

Jangan ambil masa terlalu lama untuk berada dalam latihan fokus ini (dalam keadaan mata terpejam).  Kita mungkin perlu ambil masa yang lama untuk melatih diri membiasakan fokus minda.

Apakah kebaikannya melakukan fokus minda ini?

Pertama sekali, pasti sahaja ia akan membentuk kekuatan diri untuk mengingat sesuatu dengan lebih jelas dan tepat.  Hal ini sangat baik kepada pelajar sekolah yang sedang berusaha untuk menghadapi peperiksaan.  Dengan melakukan latihan fokus ini, kita akan ‘menguatkan’ minda kita untuk menerima sesuatu maklumat.

Kebaikan kedua, minda kita bukan sahaja ‘kuat’, malah kita juga akan dapat mengawal minda untuk membahagikan maklumat yang penting dan tidak penting.  Pada kebiasaannya, setiap maklumat yang kita terima akan disimpan dalam kotak memori dalam otak.  Kotak memori akan mengasingkan maklumat yang selalu digunakan dan yang jarang digunakan.  Maklumat yang jarang digunakan akan ditolak ke belakang dan maklumat yang biasa diulang akan berada di hadapan kotak memori. 

Contohnya, apabila berjumpa dengan seseorang yang biasa kita temui suatu masa dahulu, kekadang kita perasan mukanya tetapi tidak ingat siapa dia.  Setelah beberapa ketika barulah kita ingat dengan jelas siapa dia, di mana kita berjumpa dengannya, dan sebagainya.  Ini menunjukkan memori yang berada di bahagian belakang kotak memori mula dibawa ke hadapan.

Dengan melakukan latihan fokus, kita akan dapat mengawal memori itu dengan lebih cepat.  Kita akan dapat membawa memori lama datang ke hadapan kotak memori dengan lebih cepat dan berkesan.

Ikuti sambungan catatan KM nanti berkenaan fokus emosi…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan