Salam kasih sayang daripada KM buat semua…
Hari ini, KM ingin menyampaikan sebuah pantun yang KM baca daripada sebuah blog…
Kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga…
Kalau kecil kurang berbekal, jangan disebut hendak berjaya…
Rangkap di atas menunjukkan bahawa hidup ini perlukan pengalaman. Pengalaman akan membentuk ilmu secara semulajadi kepada diri kita. Apabila ilmu sudah terbentuk, maka bolehlah kita menjadi semakin yakin untuk berjaya dalam kehidupan ini.
Apabila KM berbicara tentang pengalaman, maka KM cuba untuk mengimbau apakah pengalaman KM tentang kehidupan ini yang akan menjadi panduan kepada kehidupan masa akan datang. Apa yang KM pernah lalui adalah sebuah jangka masa kehidupan di kotaraya besar Kuala Lumpur suatu ketika dulu semasa bekerja di sebuah syarikat pembinaan. Kemudian, setelah menjadi guru, KM pernah juga bertugas di kawasan pedalaman di Pahang.
Sekarang, KM dapat merasakan kedua-dua pengalaman kehidupan di dua dunia berbeza ini menjadikan KM lebih terbuka. Keterbukaan ini hasil daripada pengalaman memerhatikan bagaimana manusia hidup di bandar dan di desa.
Jiwa KM terasa tersentuh sesekali apabila melihat kehidupan masyarakat yang hidup melarat di kampung, dan rasa bersemangat melihatkan kegigihan masyarakat yang hidup di bandar besar.
Apa yang penting, sama ada kita hidup di bandar atau desa, kehidupan ini perlu ada ilmu dan pengalaman. Ilmu akan memberi panduan tentang betul atau salah, pengalaman pula akan memandu kita untuk melaksanakan tindakan yang perlu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan