Selasa, 4 Oktober 2011

Perkara Yang Paling Dibenci; Menipu dan Tertipu…

Salam kasih sayang….

Pernah tertipu?  Atau pernah menipu?  Apapun keadaan sama ada anda menipu atau tertipu, kena pastikan bahawa ia adalah perkara yang paling dibenci dalam diri.  Jika anda suka menipu, berhentilah daripada tabiat itu.  Ini kerana, ia akan merosakkan segalanya daripada kepercayaan, perhubungan, ataupun persahabatan.  Bagaimana pula jika kita tertipu?  Ini juga harus menjadi pengajaran agar kita menjadi lebih berhati-hati di kemudian hari dan berwaspada kepada si penipu tersebut…

harimau

Gambar daripada internet 

KM terbaca sebuah cerita menarik berkenaan tertipu ini.  Ceritanya berkenaan seekor harimau yang gagah dan angkuh yang menjadi raja di sebuah rimba.  Semua haiwan takut dan gentar akan kegagahan harimau itu.  Suatu hari, sang harimau memanggil sang kancil (haiwan yang digambarkan sangat cerdik).  Bertanya sang harimau, apakah yang paling hebat ada padanya untuk menggagahkan lagi dirinya.  Maka sang kancil berkata, bulu yang cantik, misai yang melentik, dan ekor yang menarik.  Sang harimau berfikir tentang hal yang dinyatakan oleh sang kancil itu.  Memang benar, bulunya yang menyerlah itu adalah perkara yang sangat digentar oleh haiwan lain.  Andai ada sahaja terpandang kelibatnya, pasti sudah bertebaran melarikan diri.  Misai yang panjang juga penting untuk menunjukkan kegagahannya.  Ekor yang meliuk lentok juga penting untuk mengawal pergerakannya semasa berburu.

Kemudian sang harimau bertanya pula, apakah yang menunjukkan kelemahannya?  Jawab sang kancil, taring yang kuning, dan kuku yang lusuh.  Sang harimau berfikir pula tentang hal itu.  Kemudian dia mengangguk-angguk tanda bersetuju…Memang, taringnya yang kuning akan menunjukkan seolah-olah dia tidak berupaya, tidak cantik, dan kurang menyerlah.  Kuku yang lusuh pula seharusnya diganti dengan kuku yang lain, yang lebih baru dan baik.

Lalu sang harimau melepaskan sang kancil dan mula berhias diri.  Harimau itu mengurut-urut misainya, membelai bulunya, dan melentik-lentikkan ekornya.  Memang nampak harimau itu sangat cantik dan menarik.  Kemudian dia mula membuang taringnya yang kuning dan berkarat itu dan kukunya yang lusuh.  Nah, sekarang aku akan menjadi haiwan yang lebih dihormati dan digeruni!

Sang harimau keluar berburu.  Namun setiap buruannya berjaya melepaskan diri.  Ini adalah kerana, setiap kali dia berjaya menangkap haiwan yang hendak diburu, dia tidak berjaya mencengkam dan merobek haiwan tersebut kerana sudah tidak bertaring dan berkuku lagi.  Barulah sang harimau sedar bahawa dia sudah tertipu oleh sang kancil.

Cerita ini adalah cerita genre kanak-kanak.  Cerita yang menggunakan unsur haiwan namun diasimilasikan kepada kehidupan manusia.  Namun, banyak perkara yang dapat kita pelajari daripada cerita-cerita seperti ini.  Andainya kita ini seperti harimau (ketua) yang dihormati, namun tertipu oleh kancil (orang berjawatan kecil)…tentu malu jadinya.  Lantaran itu, kita harus sentiasa mengkaji sama ada sesuatu cadangan itu memberi kebaikan atau keburukan yang nyata, bukan hanya sekadar menerima cadangan itu kerana kita sentiasa dibodek dan dikipas…

5 ulasan:

  1. Kita kena tau kelemahan dan kelebihan diri sendiri..Jgn percayakan orang lain krn x ramai yg ikhlas dlm memberi pendapat...ade yg berniat menjatuhkan,ade juga yg memuji membabi buta utk mengambil hati...


    * boleh x syorkan 1 buku motivasi utk saya?

    BalasPadam
  2. cerita kana-kana sebenarnya banyak pengajarannya. tapi makin tua kita pun makin terlupa....

    BalasPadam
  3. *kanak-kanak - asyik typo aje. hihi~

    BalasPadam
  4. gadisBunga...
    Cerita digambarkan untuk memberi pengajaran dan pendidikan secara halus. Cerita yang mengandungi pengajaran lebih mudah diterima oleh minda, berbanding nasihat berjela-jela...

    BalasPadam
  5. Cik Shinju...
    Lantaran itu, kita perlu ada sahabat yang boleh jadi cermin kepada kita, memberi gambaran kebaikan dan memberi teguran ikhlas atas kesilapan.

    Buku motivasi yang bagaimana diperlukan?
    Kalau perlukan buku motivasi yang santai, saya cadangkan buku HM Tuah seperti Jangan tidak-tidak, atau Biar betul-betul...

    BalasPadam