Selasa, 20 Julai 2010

Impian Seperti Rama-rama

Ketika kecil dahulu, aku sering menangkap belalang di padang berhampiran rumahku. Kadang kala rama-rama yang terbang di sekitarku juga akan menjadi mangsa tangkapanku. Bukanlah apa sangat yang aku lakukan apabila menangkap serangga-serangga itu, hanya membuat pemerhatian terhadap serangga-serangga ciptaan ALLAH itu sahaja. Aku sering perhatikan keadaan kakinya, kepak dan sayapnya, bentuk mukanya, dan sebagainya yang bagi aku sangat menarik untuk aku perhatikan dan 'kaji' tentang ciptaan itu...

Pernahku terbaca dalam sebuah blog berkaitan kuasa minda (blog dalam Bahasa Inggeris) yang memetaforakan perihal rama-rama tersebut, dan inginku kongsikan bersama di sini dalam bentuk penerangan dan huraiku yang tersendiri.


Rama-rama adalah seperti impian. Ia sangat cantik, dan pelbagai bentuk, rupa, dan warna. Digambarkan cantik, bentuk yang pelbagai, dan warna yang indah itu adalah seperti impian manusia. Memang setiap daripada kita mempunyai impian yang pelbagai. Bukan sahaja jika dibandingkan antara setiap manusia, malah dalam diri seorang individu sahaja sudah ada pelbagai jenis 'rama-rama'. Itulah sikap manusia yang memang terlalu banyak benda dan perkara yang menjadi impiannya.


Cuba anda bayangkan jika anda ingin menangkap rama-rama di padang bersebelahan rumah anda. Bolehlah anda menangkapnya dengan mudah sahaja dengan hanya menggunakan tangan kosong? Jika boleh, tahniah! Anda memang hebat! Namun sebanyak mana rama-rama yang mampu anda tangkap dengan tangan kosong tersebut? Dua? Tiga? Sepuluh?


Jika anda mampu menangkap hingga 10 ekor sekali pun, rasanya rama-rama itu sudah tentu tidak lagi sempurna kecantikannya kerana anda terpaksa memegang rama-rama tersebut dengan kuat di sebelah tangan anda sementara tangan yang satu lagi digunakan untuk menangkap rama-rama seterusnya. Lantaran itu, sebenarnya kita memerlukan alat untuk menangkap. Alatan yang diperlukan sudah pastilah jaring dan bekas untuk mengisi rama-rama tersebut.


Gambaran ini menunjukkan setiap impian yang kita mahukan (rama-rama yang banyak di padang) boleh kita miliki dengan syarat kita perlu ada alatan untuk mendapatkannya. Apakah alatan yang diperlukan untuk mendapatkan setiap impian kita itu. Alatan yang diperlukan adalah ilmu, pengetahuan, dan pengalaman. Adanya perkara-perkara ini maka mudahlah kita mencapai impian yang didambakan.


Namun, cuba fikirkan pula; rama-rama yang banyak di padang itu boleh terbang untuk melarikan diri jika ada manusia yang mendekatinya. Malah keadaan padang yang terbuka luas itu membolehkan rama-rama tersebut boleh pergi ke arah mana sahaja yang diinginkan. Jadi, bagaimana cara untuk kita mendapatkannya dengan mudah? Caranya ialah, cuba kita banyakkan kawasan padang itu dengan tanaman pokok-pokok bunga yang segar, cantik, dan mewangi. Keadaan ini akan menarik perhatian rama-rama untuk datang hampir ke kawasan padang tersebut. Maka mudahlah untuk kita menangkapnya kerana banyak rama-rama yang bertebaran di situ.


Gambaran ini menunjukkan bahawa setiap usaha yang dilakukan untuk mencapai impian itu, selain menggunakan alatan yang ada (ilmu, pengetahuan, dan pengalaman) kita juga perlu menggunakan hukum tarikan. Hukum tarikan dalam metafora ini adalah bunga yang digambarkan sangat cantik untuk menarik perhatian rama-rama yang mendatang. Jika kita mampu untuk menarik kejayaan itu dekat dengan diri kita, maka lebih mudahlah impian dan kejayaan itu kita kecapi.


Sama-samalah kita fikirkan tentang situasi ini...

Kuasai minda anda, pasti anda akan berjaya menguasai kehendak dan kejayaan anda.

Tanamlah 'bunga' bermula dari sekarang...

Just do it!

Kebanyakan daripada kita sering tertanya-tanya tentang kejayaan dan kegemilangan atas kehendak masing-masing. Malah ada yang masih tercari-cari bagaimana caranya untuk berjaya seperti orang lain. Keadaan ini sebenarnya bukanlah suatu misteri yang terlalu aneh untuk difikirkan.

Rahsianya ada pada diri kita sendiri. Rahsianya ada pada bagaimana diri kita mengimpikan sesuatu dan melaksanakan usaha untuk mencapai impian tersebut.

RAHSIANYA...

Bukan apa yang kita lakukan, tetapi bagaimana cara yang kita lakukan.

Pelajar sekolah yang inginkan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan sering tertanya-tanya bagaimana untuk berjaya seperti si anu dan si anu...(?)

Jadi mereka terus berusaha dan belajar sama seperti yang dinyatakan oleh si anu dan si anu tentang bagaimana mereka berjaya.

Memang sudah semestinya untuk berjaya dalam pelajaran pastilah dengan belajar bersungguh-sungguh. Itulah yang dilakukan oleh kebanyakan pelajar, iaitu dengan belajar bersungguh-sungguh. Namun mereka tertinggal satu situasi dan perkara yang sangat penting itu bagaimana caranya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh itu. Situasi ini menggambarkan bagaimana pelajar telah belajar 4 atau 5 jam sehari di rumah, namun hasilnya masih lagi seperti mereka tidak belajar apa-apa, atau jika bertambah pun, hanya sedikit sahaja..!

Hal ini mungkin disebabkan mereka kelihatan belajar di rumah, namun cara mereka belajar tidak betul atau tidak kena dengan caranya. Sambil belajar mungkin mereka diselubungi dengan angan-angan, mungkin mereka asyik memikirkan tentang hal itu dan hal ini, mungkin mereka terganggu dengan pelbagai masalah peribadi, dan sebagainya. Hal inilah yang menyebabkan 'mereka melakukan sesuatu, tetapi tidak kena dengan caranya'.

Ingatlah, untuk mencapai kejayaan, bukan apa yang kita lakukan, tetapi bagaimana cara kita melakukannya.

Tulisan untuk Kejayaan...

Sebelum ini sudah pernah diterangkan bagaimana tulisan mampu untuk menyatakan affirmasi diri kita. Pada hari ini akan diulas sedikit lagi tentang perihal ini.

Suatu masa dahulu saya sendiri pernah menulis sesuatu berkenaan impian saya untuk menjadi seseorang. Pada ketika itu saya selalu menulis perihal menjadi seorang guru. Catatan dan coretan itu saya baca sentiasa dan akhirnya catatan itu hilang entah ke mana akibat berubah diri daripada kanak-kanak ke remaja. Memang pada masa itu saya tidak tahu dan tidak pernah langsung tahu berkenaan kuasa minda, atau affirmasi, atau segalanya berkaitan perkara ini. Namun secara tidak terduga, ia telah membuahkan hasil apabila saya benar-benar menjadi seorang guru, kerjaya yang memang sangat saya impikan suatu masa dahulu...

Bagaimana sebenarnya tulisan ini mampu untuk mempengaruhi kejayaan kita?
Terlebih dahulu biar saya jelaskan bagaimana untuk melaksanakan aktiviti affirmasi berbentuk tulisan ini sekali lagi. Ambil sekeping kertas kecil. Tulislah impian kita sejelas-jelasnya dengan perkara-perkara yang sangat nyata. Lipat dan simpanlah tulisan impian itu dalam poket, atau dompet, atau sebagainya. Bacalah catatan tulisan itu setiap jam jika mampu, atau sekerap yang boleh, setiap hari...

Apa yang sedang berlaku ketika kita menulis dan membaca kembali catatan impian itu?
Setiap kali apabila kita membaca kembali catatan itu sekuat hati, kita sebenarnya telah 'memaksa' diri kita untuk mempercayai perkara itu benar-benar akan berlaku. Pada ketika itu juga kita telah memancarkan gelombang impian tersebut ke alam semesta. Jika kita meneruskannya secara konsisten, kita sebenarnya telah memberikan kepastian kepada gelombang-gelombang dalam alam ini bahawa gelombang yang kita pancarkan itu adalah sebenar-benarnya apa yang kita impikan. Secara tidak sedar, alam semesta akan menarik gelombang-gelombang yang sama untuk mendekat dan ini mempermudahkan kejayaan impian kita itu.

Satu perkara lagi, apabila kita membaca catatan impian tersebut berulang kali, kita telah memberitahu kepada minda separa sedar kita perkara yang kita inginkan itu. Setelah kita laksanakan perkara itu beberapa ketika, minda kita akan terus kekal dengan impian dan kehendak itu. Keadaan ini menyebabkan minda akan bekerja dan terus bekerja untuk mencapai kejayaan tersebut.

Cubalah laksanakan perkara ini...
Ia sangat mudah untuk dilaksana dan diamalkan, namun hasilannya sangat menakjubkan...