Ada 3 orang pengembara yang tersesat di padang pasir. Sudah beberapa lama mereka hilang arah, dan bekalan mereka juga sudah semakin sedikit. Hanya tinggal sebuku roti yang kecil sahaja yang masih berbaki.
Mereka saling bertelagah untuk mendapatkan roti tersebut, namun tiada keputusan tentang siapakah yang layak untuk memakannya. Akhirnya, seorang daripada mereka mencadangkan agar mereka tidur sahaja pada malam itu. Sesiapa di antara mereka yang mendapat mimpi@alamat yang baik, akan dapat makan roti yang sedikit itu.
Keesokan paginya, pengembara pertama mula bercerita;
‘Aku bermimpi yang aku sudah tua, terlalu tua. Dalam mimpi itu, aku tidak langsung dapat melihat kamu berdua. Di sekeliling aku hanyalah penduduk kampung yang tunduk dan patuh kepadaku.
Rupanya aku ini akan menjadi seorang ketua di kemudian hari dan hidupku panjang. Jadi, ini menandakan aku wajar mendapat roti itu untuk meneruskan kehidupan ini dan dapat mencari jalan selamat keluar dari kesesatan ini’
Pengembara kedua pula bercerita;
‘Aku bermimpi didatangi seorang tua yang warak. Beliau berkata yang aku ini akan menjadi seorang pemerintah yang hebat, bukan setakat di kampung malah memerintah sebuah negara yang besar dan mewah.
Ini menunjukkan yang akulah layak untuk memakan roti itu untuk meneruskan kehidupan ini dan dapat mencari jalan selamat keluar dari kesesatan ini’
Pengembara ketiga hanya diam membisu. Dia tertunduk dan membatu.
‘Ceritakanlah apa mimpimu semalam kepada kami. Agar dapat kita membuat keputusan mimpi siapa yang paling hebat, dan dapat menentukan siapa yang layak untuk roti ini’, ujar pengembara pertama dan kedua kepada pengembara ketiga yang masih diam.
‘Aku tidak bermimpi apa-apa!’ kata pengembara ketiga.
Pengembara pertama dan kedua tersenyum senang kerana sekarang hanya tinggal mereka berdua sahaja untuk menentukan siapa yang patut mendapat roti itu.
‘Tetapi…’ pengembara ketiga bersuara…
‘Izinkanlah aku menceritakan sesuatu… Semalam, aku langsung tak dapat tidur. Bukan sekadar untuk bermimpi yang hebat-hebat seperti kamu berdua, malah untuk tidur seketika pun aku tidak mampu.
Ini adalah kerana aku memang jarang bermimpi semasa tidur, apatah lagi perutku yang terlalu lapar.
Oleh kerana aku tidak lagi dapat menahan kelaparanku, maka aku telah makan roti itu semasa kamu berdua sedang nyenyak tidur.
Begitulah ceritaku….’ kata pengembara ketiga.
Pengembara pertama dan kedua : ?????!!!!!!
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Cerita ini KM baca dalam sebuah buku motivasi yang dikarang oleh seorang ilmuan hebat Indonesia. Sengaja KM hendak kongsikan dalam catatan ini kerana ada beberapa perkara yang dapat dibincangkan.
Pertama; dalam kehidupan kita ini, kita tidak terlepas daripada menghadapi masalah. Namun, dalam usaha untuk menyelesaikan masalah itu, kita mungkin terpaksa meninggal dan menindas rakan kita sendiri yang telah sekian lama bersama dengan kita. Itu adalah salah satu kekurangan yang tidak sepatutnya kita lakukan.
Kedua; kita sibuk membangga diri (seperti pengembara pertama dan kedua) untuk menunjukkan kitalah yang paling hebat. Namun kehebatan itu belum tentu akan berlaku, ia mungkin hanya khayalan sahaja.
Ketiga; hanya orang yang bertindak sahaja yang akan berjaya. Pengembara ketiga terus bertindak. Dia tidak sekadar mengharapkan mimpi, sebaliknya bertindak untuk makan roti tersebut. Memang kelihatan pengembara ketiga mengkhianati rakannya, namun itulah keadaan yang berlaku. Andai mimpinya juga sama hebat, namun keputusan pasti belum memihak kepadanya untuk mendapatkan roti tersebut.
Sama-sama kita fikirkan….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan