Salam kasih sayang daripada KM buat semua…
Catatan ni KM lakukan setelah selesai melaksanakan tugas di Kursus Asas Kepegawaian di sebuah kolej latihan.
Semasa dalam program tersebut, KM bertemu dengan seorang rakan yang sudah lama tak bertugas bersama. Banyak yang kami bualkan. Timbul semula cerita dan kenangan lama semasa bersama dulu.
KM bertanya kepada rakan tersebut, ‘dah ada ke (anak)?’ Sebab KM memang tau bahawa dia belum ada anak sebelum ni walaupun dah hampir 5 tahun (akhir bertemu dulu) berkahwin.
Ketika itulah dia mula bercerita tentang kisah keindahan anugerah ALLAH ini….
Ceritanya, setelah lama menunggu untuk mendapatkan cahaya mata, dan berusaha dengan pelbagai kaedah, akhirnya mereka berdua berhasrat untuk mendapatkan anak angkat. Anak yang mereka hendak dapatkan itu diuruskan oleh seorang kenalan di sempadan Siam-Kelantan. Katanya, keluarga yang hendak menyerahkan anak itu berasal dari Thailand namun telah mendapat warga penduduk tetap di Kelantan. Kerana kesempitan hidup, dan anak yang ramai, maka keluarga tersebut berhasrat untuk menyerahkan kepada sesiapa yang hendak memelihara anak mereka itu.
Memang rakan KM dan isterinya bersedia untuk menerima anak itu dengan hati yang sangat lapang. Kerana mereka memang hendakkan seorang anak, walaupun anak angkat.
Setelah mereka memelihara bayi lelaki itu hampir 6 bulan, anugerah ALLAH terlimpah kepada mereka. Isterinya disahkan mengandung….
Alangkah indahnya rasa mereka kerana akhirnya mereka akan dapat memiliki anak kandung sendiri.
Masa terus berlalu dan akhirnya mereka dikurniakan seorang anak perempuan. Bertambahlah gembiranya mereka kerana sekarang mereka sudah punya sepasang anak.
Hidup mereka semakin bahagia dan ceria apatah lagi dengan kehadiran kedua-dua anak itu yang mencuit hati. Hari berlalu, anak angkat yang mereka pelihara semakin besar dan banyak ragam. Biasalah, budak-budak baru membesar, memang banyak yang hendak dicubanya. Tetapi, bagi kenalan KM ni, ragam anak itu keterlaluan.
Kenalan KM terus bercerita yang dia dan isteri mula hilang sabar dengan anak itu. Bermula dengan mencubit, dan semakin lama, semakin teruk hukuman diberikan jika anak itu melakukan kesalahan. Hingga satu masa, kenalan KM mula memukul dengan menggunakan rotan dan sebagainya. Kasih mereka ternyata sudah berbelah bagi. Kasih mereka suami isteri lebih banyak tertumpah kepada anak kandung, dan anak angkat mula dipinggirkan.
‘Nak dijadikan cerita, suatu hari kawannya yang menguruskan untuk mendapatkan anak angkat itu datang berziarah. Terkejut dia apabila melihat anak yang diserahkan itu lebam dan berbirat akibat dirotan.
Bertanyalah kawannya itu tentang keadaan anak itu. Kenalan KM menceritakan bagaimana tidak tertanggungnya dia melayan kerenah anak angkatnya itu hingga hilang sabar dan mula memukul si kecil itu.
Kawannya itu mula merasa tidak senang hati. Dia meminta agar kenalan KM itu ubah cara mendidik anak agar lebih berhemah, dan tidak lagi memukul anak itu hingga ke tahap mendera. Kenalan KM yang merasa tidak berpuas hati mencabar kawannya agar mengambil sahaja anak angkatnya itu dan berikan sahaja kepada orang lain. Lantaran kerana terlalu tidak berpuas hati, kawannya itu membawa si kecil itu bersama-sama dengannya.
Kini mereka merasa lebih ‘bahagia’ kerana mereka hanya tiga beranak sahaja. Kehidupan diteruskan dan masa terus berlalu. Beberapa bulan selepas anak angkat itu dibawa pergi, musibah mula menimpa. Anak kenalan KM itu diserang demam kuat hingga ke tahap sawan. Pada ketika itu, kenalan KM berada dalam tugasan luar. Isterinya tidak dapat menghubunginya untuk memaklumkan keadaan itu dan memintanya pulang segera.
Anak yang diserang sawan itu dibawa ke klinik. Pihak klinik menyarankan untuk dibawa ke hospital. Ini adalah kerana anak itu sudah terlalu parah, dengan suhu badan yang tinggi, saluran kerongkong yang tersumbat dengan air muntah dan darah beku. Setibanya di hospital, anak itu sudah begitu lemah dan tidak bermaya.
Kenalan KM menceritakan, setelah dua hari ditahan di wad, anaknya menghembuskan nafas yang terakhir…
Pada ketika itu, mereka berdua mula merasa insaf dan bersalah. Pada mereka, ALLAH mengambil semula anugerahNya itu kerana mereka mensia-siakan anak angkat yang juga anugerah ALLAH kepada mereka. Keinsafan yang menjalar dalam sanubari mereka itu membuatkan mereka bertekad untuk mencari semula rakan yang menguruskan anak angkat itu dulu. Tujuan mereka hanya satu; mengambil semula anak angkat yang dibawa pergi.
Namun sayang sekali, anak itu sudah diserahkan kembali kepada ibu bapanya yang berada di Kelantan, dan kemudiannya telah dibawa ke Thailand oleh saudara mereka di sana.
Kesesalan mereka ternyata tidak tertanggung lagi hingga isterinya jatuh sakit berbulan-bulan lamanya kerana terlalu rindukan anaknya yang meninggal, dan anak angkatnya yang sudah pasti tidak dapat dikembalikan kepada mereka.
Cerita rakan KM itu terlalu menginsafkan KM. Jelas, anak-anak adalah anugerah ALLAH. Ia adalah amanah ALLAH kepada kita untuk kita jaga dan laksanakan tanggungjawab mendidik kepada mereka. Kepada yang memiliki anak, sayangilah dan lindungilah mereka sebaiknya. Andai kita mensiakan anugerah ini, pasti kita akan menyesal di kemudian hari.
sedihnye..kesian nasib anak angkatnya.tapi itulah..jika kita tak hargai anak kecil Allah akan uji kita kerana kealpaan kita tu.
BalasPadamSemoga kisah nyata ini kita jadikan panduan dan pedoman. Memang ternyata, anak adalah amanah ALLAH. Jika kita berjaya menjaga amanah ini, pasti kebaikan dan kenikmatan tertinggi akan kita rasa sama ada di dunia mahupun di sana nanti...
Padam