Khamis, 27 Mei 2010

Apa yang anda mahukan...?

Apa yang sebenarnya anda mahukan dalam impian anda?
Adakah ia benar-benar satu impian, atau khayalan semata-mata, atau hanya mengikut dan meniru kehendak seperti orang-orang yang berada di sekeliling anda?
Kita boleh mengetahui sama ada kehendak kita itu benar-benar satu impian yang kita ingin realisasikan, atau hanya mainan perasaan dengan cara menjawab tiga kali pertanyaan berkenaan keadaan yang diimpikan itu.
Contoh :-
Apa yang anda impikan?
Saya ingin menjadi seorang yang kaya.
Kenapa anda ingin menjadi seorang yang kaya?
Kerana saya ingin memiliki banyak wang dalam kehidupan ini.
Kenapa anda ingin memiliki banyak wang?
Kerana saya ingin membantu sanak-saudara saya yang susah, dan orang-orang lain di sekeliling saya.
Kenapa anda ingin membantu sanak-saudara yang lain?
Kerana tidak mahu anak-anak mereka terganggu dalam pelajaran mereka untuk mencari kejayaan dalam kehidupan masa akan datang.
Melalui soalan-soalan di atas, anda akan dapat melihat bagaimana kita berjaya menjawab soalan itu dengan penuh yakin. Jika kita berjaya menjawabnya dengan yakin, maka pasti kita dapat menghantar isyarat yang jelas ke minda kita bahawa itulah yang sebenarnya kita mahukan. Keadaan ini akan mengaktifkan minda berkenaan dengan kehendak dan impian itu. Minda akan terus bekerja untuk merealisasikannya.
Inilah cara bagaimana minda orang-orang yang telah berjaya bekerja. Minda mereka benar-benar tahu apa yang tuannya mahukan. Ini akan memudahkan minda melakukan fokus terhadap perkara tersebut dan menggerakkan anggota-anggota tubuh yang lain untuk bekerja bersama-sama untuk mencapai impian tersebut.
Bagaimana jika kita tidak berjaya menjawab soalan secara bertiga itu?
Ini menunjukkan apa yang kita mahukan itu bukan sebenarnya yang kita impikan. Mungkin itu hanya ikut-ikutan daripada orang lain. Orang lain nak kaya, kita pun nak kaya, orang lain pakai kereta Honda, kita pun nak pakai, tetapi apa yang kita impikan itu sebenarnya bukan kehendak yang memang kita mahukan. Ini akan menjejaskan kejayaan kuasa minda, kerana minda berjaya mengesan bahawa hal itu bukan satu yang kita mahukan.
Hati-hati dengan cara kita berfikir.
Hati-hati dengan impian.
Teruskan menyoal diri dan berfikir....

Isnin, 24 Mei 2010

Visualisasi (3)

Tips 3
Bina Vision Board

Jika kita berasa agak sukar untuk melakukan visualisasi secara terus, maka kita boleh membina vision board untuk menarik perhatian minda kita kepada perkara-perkara yang ingin divisualisasikan. Kaedah ini sangat berkesan kerana lama kelamaan, minda akan terarah kepada perkara yang selalu 'disuapkan' kepadanya dan menjadi satu perkara yang kukuh baginya.

Vision board ialah papan visi yang memaparkan apakah kehendak dan keingainan kita. Pada kebiasaannya, vision board ini dilakukan pada sekeping poster yang sederhana besarnya dan diletakkan pada tempat yang paling mudah untuk kita lihat. Namun, ada juga yang melakukan vision boardnya pada background komputer peribadinya. Terpulang kepada kita tentang bagaimana dan di mana vision board ini ingin diletakkan. Apa yang pasti ia akan mampu untuk mendidik kita melakukan visualisasi dengan lebih baik.

Caranya, ambil sekeping poster yang sederhana besar. Lekatkan poster itu dengan gambar-gambar menarik yang kita impikan seperti rumah banglo, kereta Honda terbaru, wang berjuta, itu...ini...
Pastikan gambar yang diletakkan itu adalah benar-benar yang kita impikan. Pastikan juga gambar yang dilekat itu mampu memberi rangsangan yang menarik kepada kita. Contohnya gambar kereta yang dilekatkan itu haruslah gambar kereta yang cantik, menarik, masih baru, bukannya gambar kereta yang sudah buruk, kusam warna gambarnya...

Apabila sudah siap vision board itu haruslah dilekatkan di suatu sudut yang selalu dapat kita perhatikannya. Contohnya di depan cermin muka di rumah kita. Hari-hari kita akan mengadap cermin muka itu, bukan? Maka setiap hari jugalah kita akan dapat menatap vision board kita itu. Keadaan ini akan merangsang minda kita berkenaan gambar-gambar yang dilihat. Rangsangan itu akan memberi isyarat kepada minda bahawa perkara-perkara itulah yang kita impikan. Maka, minda akan melaksanakan tugasnya untuk menuju ke arah tercapainya setiap perkara itu. Semakin kerap kita menatap vision board kita, semakin kuatlah semangat dan kuasa minda bekerja. Oleh itu sentiasalah menatapnya, impikannya, dan rasai emosinya apabila setiap kali kita menatap vision board tersebut...

Sabtu, 22 Mei 2010

Visualisasi (2)

Tips 2
Bervisualisasi ketika berada dalam keadaan tenang

Bervisualisasi adalah cara untuk anda berkomunikasi dengan minda anda. Oleh itu, untuk berkomunakasi dengan baik dan berjaya, anda dan minda anda perlu berada dalam keadaan yang sangat tenang. Pada kebiasaannya, anda disarankan untuk melakukan sedikit ritual meditasi untuk meringankan gelombang minda anda (agar lebih tenang) Anda juga boleh mendapatkan ketenangan itu dengan mendengar alunan muzik klasik, atau muzik meditasi yang boleh didapati di pasaran. Pada ketika ini juga, rentak pernafasan juga harus teratur, tidak terlalu pantas dan tidak terlalu perlahan, untuk memastikan badan dan minda benar-benar berada dalam keadaan tenang.

Cara yang biasanya saya lakukan adalah dengan melakukan zikir. Berzikir adalah salah satu cara untuk menenangkan badan dan minda, serta merendahkan gelombang getaran minda. Melalui berzikir, kita akan melakukan sebutan yang berulang-ulang. Ini merupakan salah satu kaedah untuk merendahkan gelombang getaran minda. Selain itu, alunan zikir yang didengar dalam diri kita sendiri itu boleh menjadi 'muzik' yang dapat menenangkan minda. Zikir juga dapat mengatur alunan nafas yang teratur, jika dilakukan secara berkala dan telah dibiasakan. Namun, pastikan berzikir secara perlahan, dan mengamalkan alunan zikir yang tenang dan mudah disebut. Ini untuk memastikan kita dapat lebih fokus kepada penyebutan dan alunannya.

Kenapa kita perlu berada dalam keadaan tenang sebelum bervisualisasi?
Ini adalah kerana, gelombang getaran minda yang tenang akan dapat mengalirkan gelombang keinginan kita itu ke alam semesta dengan lebih berkesan. Pada kebiasaannya, tahap alpha dan theta adalah tahap getaran gelombang yang terbaik dan berkesan untuk melaksanakan tugasnya itu