Selasa, 15 Mac 2011

Percaya dan Yakin ~ 3

Salam kebahagiaan buat semua…

Hari ini aku ingin menceritakan dua kisah yang pernah aku lalui yang ada kaitannya dengan ‘percaya dan yakin’.

Cerita 1

silat dengan api Gambar daripada internet

Kisah ini berlaku semasa aku kecil lagi.  Pada waktu itu umurku dalam lingkungan enam atau tujuh tahun.  Aku tinggal dan dijaga oleh datukku (kupanggil aki) kerana pekerjaan bapaku sebagai tentera yang perlu sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain secara kerap.  Memang kehidupan aku bersama dengan aki dan opah sangat bahagia.  Aku sangat dimanjakan opah…  Namun aki sangat tegas dalam mendidik.  Walaupun tegas, namun dia masih sangat lembut dan mendidik dengan cara yang berhemah.

Aki seorang guru silat dan guru Al-Quran di kampung itu.  Setiap petang kanak-kanak di kawasan itu akan memenuhi ruangan rumah untuk belajar mengaji.  Pada sebelah malamnya pula selepas Isyak membawa ke lewat malam, halaman rumah akan dipenuhi oleh anak-anak muda untuk belajar silat.  Pada ketika itu, aku belum dibenarkan belajar silat bersama-sama mereka.  Kata Aki, aku masih terlalu kecil.  Pun begitu, aku dibenarkan untuk berada di gelanggang. 

Cerita bermula apabila ada seorang guru silat (aku tidak ingat namanya dan kampungnya) datang ke rumah Aki dan mencabar Aki.  Guru silat yang angkuh itu mendakwa dia memiliki kekebalan kerana memakai sejenis tangkal dari dunia makhluk halus.  Dengan mata kepalaku ini, aku dapat menyaksikan sendiri bagaimana beberapa orang pengikutnya menetak berkali-kali seluruh badan guru silat itu.  Namun, tiada sebarang luka yang kelihatan.  Guru silat itu berkata bahawa tiada siapa dapat melukakannya walau dengan apa cara sekalipun.  Berkali-kali dia mencabar Aki untuk melakukan sesuatu agar dia terluka.  Setelah didesak dan dipaksa berkali-kali, maka Aki bersetuju untuk menikamnya.  Aku sangat pasti tentu sahaja tikaman Aki tidak berkesan apa-apa kerana kehebatan yang sudah jelas dipertontonkan tadi.

Dengan tenang aku lihat Aki membacakan sesuatu ke semangkuk air dan dicelupkan kerisnya.  Sambil ketawa angkuh, guru silat tadi meminta Aki menikamnya di mana-mana sahaja anggota badannya.  Aki lihat Aki menikam di bahagian lengan kanan guru silat itu.  Tanpa disangka, guru silat tadi menjerit dan meraung.  Keris Aki jelas terpacak dilengan guru silat itu.  Dipendekkan cerita, guru silat itu dan pengikutnya pulang semula ke tempat mereka setelah gagal dalam menunjukkan kehebatan kekebalan mereka.

Aku bertanya kepada Aki, apa yang dibaca pada mangkuk air sebelum dicelupkan keris yang digunakannya itu.  Kata Aki, dia membacakan ‘Bismillah hirrahmanir rahim’.

Cerita 2

Sewaktu mula-mula bergelar guru dahulu, aku ditempatkan di sebuah kawasan pedalaman di negeri Pahang.  Kawasan itu adalah kawasan penempatan orang Asli.  Biasanya, orang Asli di kawasan itu memang sangat kuat dengan pegangan dan kepercayaan mereka, baik dari segi corak hidup, budaya, mahupun agama.  Bagi mereka, guru-guru yang datang hanyalah sekadar orang yang akan datang dan pergi, saling bertukar ganti apabila tiba masanya.  Bukan bermaksud mereka tidak menghormati guru, namun bagi mereka guru seperti ‘orang luar’ dan mereka perlu melayan guru sebagai orang luar.

Sifat mereka yang terlalu ‘berhati-hati’ dengan ‘orang luar’ ini memang perlu untuk menghadapi cabaran kehidupan mereka yang kian terhimpit.  Namun, sikap mereka kekadang menjengkelkan.  Bagi kami, seolah-olah semuanya serba tidak kena.  Pandangan mereka kepada kami seperti datang membawa bencana kepada masyarakat mereka (tidak semua, hanya sebahagian daripada mereka berpandangan begitu). 

Suatu hari, ada sebuah keluarga mendapat musibah, anak kecil keluarga itu yang berusia 3 tahun diserang demam panas yang agak lama.  Beberapa siri perawatan dengan bersewang telah dilaksanakan hingga namun tidak memberi kesan.  Biasanya apabila bersewang dan masih tidak sembuh maka ada ritual tertentu perlu dilakukan di hutan untuk menghalau gangguan itu (mengikut kepercayaan mereka).  Bagi kami guru-guru baru di situ sudah sepakat hendak mengikut untuk melihat dengan lebih dekat upacara yang akan dilaksanakan pada malam itu.

Pada petang itu, semasa sedang berehat di hadapan rumah guru, aku terpandang beberapa orang lelaki dan perempuan sedang menghampiri rumah kami.  Semakin hampir, aku dapat kenali merekalah keluarga yang sedang bersedih itu.  Kedua suami isteri itu mendukung anak yang sedang demam dan diiringi beberapa orang jiran mereka.  Aku memang sangat terkejut kerana mereka datang ke situ untuk meminta kami (muslim) berdoa kepada ALLAH agar anak itu sembuh dan selamat semasa ritual itu yang akan dilaksanakan pada malam itu.  Kami semua saling berpandangan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Kemudian, seorang rakanku yang lebih berumur antara kami meminta kami mengambil wuduk masing-masing.  Dia membawa semangkuk air dan menyuruh kami berkumpul di hadapan mangkuk air itu.  Kami membawa bersama-sama surah Alfatihah dan berzikir.   Air itu kami serahkan kepada pasangan itu yang terus melihat perlakuan kami sejak tadi.  Air itu diminum dan disapukan ke kepala anak yang sakit itu.

Maghrib itu, sesudah aku solat, aku terdengar pasangan itu datang lagi.  Kali ini mereka datang untuk mengucapkan terima kasih.  Dengan izin ALLAH, rupanya air tawar kami tadi memang menjadi.  Walaupun kami tidak belajar sebarang ilmu perawatan, namun dengan keyakinan bahawa apa yang dilakukan itu akan memberi kesan, dan dengan kehendakNya jua, maka terhasillah air penawar yang mujarab daripada kami.

Isnin, 7 Mac 2011

Percaya dan Yakin ~ 2

Salam penuh kebahagiaan….

tangkal Gambar daripada internet

Pernah lihat tangkai dan azimat?  Pernah lihat aktiviti pemujaan di ‘kawasan keras’?  Pernah menggunakan jampi serapah?

Persoalan-persoalan di atas adalah situasi yang dikaitkan dengan budaya orang Melayu di gugusan Nusantara ini.  Mungkin suatu masa dahulu ia amat dekat dengan masyarakat kita kerana anutan orang Tanah Melayu suatu masa dahulu berkenaan animisme dan campuran agama Hindu (sebelum kedatangan Islam).  Namun, sedikit demi sedikit, situasi dan amalan di atas semakin dilupakan.  Tetapi, tidak dinafikan sekarang masih ada yang melakukan amalan kurafat seperti di atas.

Mungkin suasana ketika tahun 70-an dulu dapat memberikan gambaran kepada kita.  Pada ketika itu berlaku satu bentuk pertembungan kepercayaan dan keyakinan ketika hendak mendapatkan rawatan.  Ada satu golongan lebih percayakan bomoh dan dukun, namun ada satu lagi golongan lebih mencadangkan rawatan kedoktoran.  Pertembungan yang berlaku mungkin akan mengubah kepercayaan dan keyakinan kita kepada suatu institusi rawatan kepada rawatan yang lain.  Contohnya, apabila seseorang itu diserang suatu penyakit yang menyebabkan suhu badannya meningkat, maka bomoh akan berkata orang itu terlangkah ‘rumah’ orang bunian menyebabkan dia diserang.  Namun setelah menjalani beberapa siri rawatan bersama dengan bomoh itu dan masih belum sembuh maka dibawa pula pesakit berjumpa doktor.  Setelah diperiksa dan didiagnosis didapati bahawa orang itu terkena penyakit demam malaria.  Setelah menjalani rawatan yang ditetapkan dan dengan keizinanNya maka sembuhlah pesakit itu.  Maka pada ketika itu, keyakinan dan kepercayaan terhadap rawatan bomoh mula diragui.

Suatu situasi yang lain pula, seorang lelaki batuk tanpa henti beberapa lama.  Keadaannya bertambah parah hingga batuk mengeluarkan kahak darah.  Apabila diusul kepada rawatan doktor, tiada apa-apa penyakit yang dikesan.  Doktor hanya membekalkan ubat tahan sakit dan cadangan untuk berehat.  Setelah dibawa kepada bomoh pula, didapati bahawa lelaki itu terkena santau.  Rawatan bomoh dijalankan dan dengan keizinanNya maka sembuhlah lelaki tersebut.  Pada ketika ini pula, keyakinan terhadap doktor berkurang dan bertambahnya keyakinan terhadap perawatan jampi dan serapah.

Dua situasi di atas menunjukkan kepercayaan dan keyakinan kita boleh berubah apabila kita menghadapi sesuatu situasi.

Sebenarnya, ia ada dalam minda kita.  Apabila kita yakin kepada sesuatu perkara, tubuh akan bekerja untuk menguasai keadaan yang sesuai dengan keyakinan tersebut.  Namun, jika keyakinan dan kepercayaan itu diganggu, maka tubuh akan menolakkan dengan arahan minda.  Sama seperti situasi memakai tangkal dan azimat, jika kita meyakininya (dengan kehendak kuasa minda manusia), maka pasti tubuh akan bekerja untuk menguasai diri menjadi kebal dan sebagainya.  Namun jika kita tidak meyakininya, maka pasti kita tidak akan kebal walaupun memakai 10 tangkal di badan.  Sama seperti situasi meminum air jampi, ada yang yakin dengan jampi yang dibacakan menyebabkan penyakit yang ada hilang serta merta.  Namun jika kita meyakininya, maka pasti air itu hanya sekadar melepaskan dahaga di kerongkong…

Sabtu, 5 Mac 2011

Percaya dan Yakin

Salam penuh kasih sayang daripadaku buat semua…

gerhana Gambar daripada internet

Percaya dan Yakin, Sudahkah Anda Menguasainya?

Kepercayaan dan keyakinan adalah suatu nilai yang perlu ada dalam diri kita.  Sebagai seorang Islam, kita tentu sudah dididik sejak kecil lagi untuk membentuk kepercayaan dan keyakinan dalam diri.  Hal ini berlaku melalui didikan membentuk keimanan dan kepercayaan.  Mungkin perkara itu lebih menjurus kepada hal spiritual atau keagamaan, namun konsepnya adalah sama; membentuk keyakinan.  Apabila keyakinan sudah ada, maka perkara lain berkaitan dengannya akan dapat kita laksanakan dengan lebih mudah.  Contohnya, apabila kita yakin tentang perintah ALLAH untuk melaksanakan solat, maka pasti kita akan dapat menepati kehendak tanggungjawab itu dengan lebih mudah.

Berbalik kepada soalan tadi, ‘sudahkah anda menguasainya’?  Hal ini kurujukkan berkenaan dengan situasi dalam kehidupan kita.  Kebanyakan daripada kita menginginkan kejayaan (pelajaran dan pekerjaan), mahukan kemewahan (kewangan dan harta), mengimpikan kebahagiaan (cinta dan kasih sayang), dan pelbagai jenis impian dan keinginan yang lain.  Persoalannya, adakah kita benar-benar yakin mampu untuk memilikinya?

Melalui keyakinan dan kepercayaan bahawa kita pasti boleh mencapai apa yang kita hajatkan itu, maka pasti kita akan dapat merasakan kemanisan kejayaan itu.  Memang diakui bahawa setiap sesuatu itu tetap berlaku dengan keizinanNya jua, namun ia perlu bermula daripada diri kita sendiri.  Contohnya jika kita hendak ke utara, maka tindakan kita haruslah memandu kenderaan menuju ke jalan dan simpang untuk ke utara.  Mana mungkin jika kita membelok ke arah selatan dan berharap untuk sampai ke utara. 

Situasi ini menunjukkan tindakan dan kepercayaan kita untuk mendapat sesuatu itu perlu bermula daripada dalam diri kita sendiri.  Keyakinan untuk mencapai kejayaan akan membuatkan segala tindakan kita menjurus kepada kejayaan tersebut.  Umpama seorang budak di bangku sekolah yang inginkan kejayaan.  Apabila dia memikirkan kejayaan, mana mungkin dia akan melengah-lengahkan usaha untuk mencapai kejayaan tersebut.  Jadi, melalui keyakinan untuk berjaya itu akan membuatkan dia bangun untuk melakukan sesuatu untuk mencapai kejayaan tersebut.

Percaya dan yakin, kekadang diganggu oleh satu perasaan yang sukar untuk diterangkan.  Perasaan yang dimaksudkan itu adalah ragu-ragu.  Jika kita ragu-ragu, itu adalah merupakan masalah besar untuk mencapai kejayaan tersebut.  Umpama gambaran memandu kereta ke utara tadi….sedang selesa memandu ke utara (gambaran kepada yakin untuk berjaya) tiba-tiba kita membelok ke selatan ( gambaran kepada ragu-ragu ), maka pasti hasilnya kita tidak akan sampai ke utara.

Sudahkah anda menguasai keyakinan dan kepercayaan anda untuk berjaya?