Selasa, 4 Januari 2011

Doa dan Meditasi

Salam penuh ceria…

Catatan terakhir daripada Perbaiki Diri….

Berdoa dan bertafakkur (meditasi) adalah salah satu amalan yang sentiasa dekat dengan diri kita.  Berdoa adalah seumpama hubungan kita dengan DIA tanpa batasan.  Kita boleh berkata dan memohon apa sahaja dalam berdoa.  Apa yang pasti, doa itu mengharapkan perkara-perkara yang baik.  Tak pernah pula aku mendengar doa untuk melakukan kesalahan seperti ‘selamatkanlah kami semua semasa merompak malam ni…’  Oleh itu, aku sangat pasti, doa yang dipinta adalah untuk kebaikan sahaja.

Apabila diri kita mengalami stres atau tekanan kehidupan, maka tiada jalan lain yang terbaik untuk mengurangkannya melainkan berdoa dan bermeditasi.  Apabila berdoa, perkara pertama yang berlaku adalah kita telah menurunkan getaran otak ke peringkat yang lebih tenang.  Hati dan perasaan menjadi suci dan penuh pengharapan.  Apabila ini berlaku, maka minda akan berfungsi dengan lebih baik.  Stress dan tekanan yang dihadapi akan beransur kurang dan menghilang.  Keadaan berdoa ini sama saja konsepnya dengan bermeditasi, tafakkur, atau berzikir.  Apa yang penting adalah keadaan semasa semua aktiviti ini berlaku; menurunkan getaran otak dan menjadikan diri lebih tenang.

Ahad, 2 Januari 2011

Berserah Diri…

Salam penuh kegembiraan…

Catatan ini adalah perkara keempat untuk memperbaiki diri…

hambaGambar daripada internet 

Berserah diri, bukanlah bermaksud hanya menyerah kalah kepada keadaan.  Berserah diri, adalah keadaan di mana kita telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu kejayaan.  Setelah semua usaha dilakukan, barulah kita menyerahkannya kepada ketentuan ALLAH Taala…  Dalam istilah lain, berserah diri dimaksudkan sebagai redha.

Dalam usaha untuk berserah diri, kita perlu terlebih dahulu melakukan perubahan diri untuk menuju ke arah kejayaan.  Bukan hanya sekadar masih berada ditakuk lama dan hanya berserah.  Seharusnya kita perlu sentiasa berusaha untuk berubah menjadi seorang yang lebih baik dan berjaya.

Selain itu, jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri.  Impian dan perubahan diri yang hendak dilakukan jangan terlalu tinggi hingga tidak tercapai oleh diri, atau jangan terlalu rendah hingga seolah-olah tiada perubahan yang berlaku.  Jangan terlalu memberi tekanan kepada diri sendiri seperti rasa sesal dan marah kepada diri sendiri apabila sesuatu usaha itu tidak berjaya dilakukan.

Jangan sekali-kali menghukum diri.  Jangan rasakan diri terlalu hina kerana semua itu akan memberi pengaruh kepada minda bahawa kita telah gagal.  Sebenarnya setiap kegagalan itu adalah kejayaan kerana telah menunjukkan jalan yang dilalui adalah salah dan perlu melakukan perubahan untuk terus menuju kejayaan.

Jangan fokuskan kepada kegagalan tersebut kerana minda akan menjadi lemah.  Sebaliknya fokuslah kepada jalan penyelesaian untuk kegagalan tersebut.  Minda akan menjadi lebih berkembang dan mampu untuk melakukan perubahan.

Sebaik-baik manusia adalah orang yang sanggup berusaha untuk terus berjaya.  Dan perubahan yang dilakukan, berserahlah atas setiap hasilannya kepada ketentuan ALLAH.  Jika usaha yang dilakukan itu betul dengan niat yang betul, pasti penyerahan diri kita kepadaNya akan menjadi lebih bererti…

Sabtu, 1 Januari 2011

Fokus…

Salam penuh keriangan untuk semua…

Catatan ini adalah sambungan perkara ketiga dalam catatan Perbaiki Diri…

tulisGambar daripada internet 

Minda manusia boleh menjelajah hingga ke dunia yang tidak berada di alam nyata (kecuali perkara-perkara sam’iat).  Oleh itu minda kita sangat berharga kerana ia dapat mencapai tahap impian yang sangat tinggi.

Salah satu perkara kehebatan minda terletak kepada fokus.  Apabila kita fokus kepada sesuatu, kita menumpukan sepenuh perhatian minda terhadapnya.  Apabila kita benar-benar fokus, kita akan telah meletakkan minda berada pada hasilan yang kita impikan.  Contohnya, apabila seorang pelukis fokus kepada aktiviti melukis, maka mindanya telah tergambar jelas kepada apa yang hendak dicorakkan di kanvasnya.  Itulah gambaran fokus.

Bagaimana agaknya untuk kita memiliki fokus yang baik?

Caranya, sebelum tidur, ambil sekeping kertas dan sebatang pena.  Cuba tuliskan apa sahaja perkara yang berlaku dalam kehidupan kita sepanjang hari.  Jangan tinggal satu perkara pun.  Catatan dan tulisan itu haruslah mengikut kronologi tanpa tersilap walau satu pun.  Namun, ia harus dilakukan secara terus tanpa menukar sebarang maklumat.  Sebenarnya, semasa menulis kembali apa yang berlaku itu, kita telah mengaktifkan minda untuk mengingat kembali atau fokus kepada apa yang telah berlaku. 

Mungkin pada permulaan aktiviti ini dilakukan, kita akan tertinggal sesuatu dalam catatan apa yang telah berlaku.  Atau mungkin catatan itu ditulis secara tidak kronologi (mengikut masa kejadian) kerana tertinggal sesuatu.  Tidak mengapa.  Teruskan melakukan aktiviti ini selama seminggu.  Cuba perhatikan kepada catatan kita setelah seminggu kita mengeksperimenkan aktiviti ini.  Pasti kita dapat menulis setiap perkara dalam kehidupan seharian dengan jelas dan mengikut kronologi.

Ini menunjukkan kita telah mengaktifkan minda terhadap fokus.  Banyak kebaikan jika kita berjaya melatih minda untuk fokus.  Kebaikan yang paling jelas adalah kita akan lebih berjaya, tidak kira dalam pekerjaan atau pelajaran.  Ini adalah kerana, minda kita telah berjaya dilatih untuk mengingat kembali perkara yang lalu.  Dalam hal ini, organ otak yang terletak di bahagian paling hadapan akan mengumpulkan semua kekuatan semasa aktiviti pekerjaan atau pelajaran dilaksanakan.

Cubalah aktiviti ini jika ingin melihat kesannya yang nyata…