Salam kedamaian daripada KM buat semua….
Bila muncul sahaja tahun baru, ramai yang mula memasang azam. Ada azam baru, ada azam lama, ada azam lama yang diberi pembaharuan, dan ada azam lama yang entah sampai bila akan terlaksana.
Itulah hakikat kebanyakan daripada manusia. Kerana, kita dimomokkan untuk berazam setiap munculnya tahun baru. Hal ini memang elok dari satu segi, kerana ia membina satu bentuk semangat dalam diri untuk melakukan perubahan yang baik dalam kehidupan. Namun, berapa ramai yang azamnya berjaya dilaksanakan. Andai ada yang berjaya melaksanakan azam ke tahap 50%, itu sudah cukup untuk dikatakan berjaya.
Mat Jenin; seorang watak dalam cerita penglipur lara masyarakat Melayu. Mungkin anak-anak zaman sekarang sudah tidak kenal dengan Mat Jenin dengan angan-angan dan azamnya itu. Seorang rakan KM berkata, watak Mat Jenin digambarkan kepada orang Melayu yang hanya pandai berazam dan berangan-angan, namun tiada hasil yang berjaya diperolehi. Bagi KM pula, watak Mat Jenin ini bagus, kerana ia memberi pengajaran kepada kita.
Memang penceritaan masyarakat Melayu dahulu penuh dengan pendidikan, pengajaran, kritikan sosial, dan sindiran. Andai kita mengambil pengertian negatif sahaja, maka Mat Jenin hanya sekadar watak kosong dungu yang menggambarkan orang Melayu. Tetapi jika kita mengambil watak Mat Jenin sebagai positif, pasti kita akan nampak pengajaran di sebaliknya yang akan memberi manafaat kepada kita.
Berangan-angan, dan berazam seperti yang digambarkan dalam cerita Mat Jenin itu tidak salah sebenarnya. Ia sama seperti yang dilakukan oleh orang kita untuk melakukan azam tahun baru. Namun, kesalahan yang dilakukan oleh Mat Jenin adalah, angan-angan dan azamnya itu terlebih daripada lingkaran realiti kehidupannya. Sewajarnya dia lebih menfokuskan kepada satu bentuk angan-angan dan azam dahulu, laksanakan hingga berjaya dan terusnya membina angan-angan dan azam yang lebih mencabar.
Hanya itulah kesalahan Mat Jenin. Andai kata Mat Jenin melaksanakan terlebih dahulu angan-angannya untuk memetik kelapa dan menjual. Hasilannya akan dibeli dua ekor ayam dan mula membiaknya, cukup sampai disitu(!), pasti akhirnya dia akan berjaya juga memeluk si puteri raja.
Lantaran itu, pernah dahulu KM katakan bahawa, azam bukan sekadar di tahun baru. Ia boleh dilakukan bila-bila masa sepanjang tahun. Cuba letakkan azam yang realitistik terlebih dahulu pada awal tahun (andai anda masih mahu melakukan azam tahun baru) dan kemudian mula membina fokus untuk mencapainya. Kemudian, apabila sudah berjaya, teruskan untuk berazam dan berangan untuk mencapai sesuatu yang lain pula, rentetan kepada azam yang pertama tadi.
Jangan terus-terusan berazam dan berangan untuk mencapai sesuatu yang terlalu jauh untuk digapai. Bila sesuatu yang boleh direalisasikan terlebih dahulu. Kemudian kembangkan ia hingga menjadi sesuatu yang sangat gah dalam kehidupan kita. Jangan jadi seperti Mat Jenin si penglipurlara yang hanya pandai berazam, jadilah Mat Jenin Moden yang pandai merancang, memfokus, dan melaksanakan azam tersebut.