Kuasai Minda Anda
Kuasai Minda untuk menguasai Hukum Tarikan
Jumaat, 16 Mei 2014
Doa buat guru...
KM akui memang sudah lama KM tak dapat menulis di sini. KM sekarang sedang bergelut dengan dua program besar di peringkat negeri dan kebangsaan. Justeru, KM terpaksa melupakan seketika untuk menulis di sini.
Namun begitu, entah bagaimana KM mendapat kekuatan sedikit hari ini untuk mencoret sesuatu, lantaran sana sini orang sibuk mengucapkan Selamat Hari Guru, jadi ingatan KM jadi kaku seketika kepada kenangam-kenangan dulu.
Ribuan terima kasih KM ucapkan kepada semua guru yang pernah mengajar KM. Semoga ALLAH balas semua jasa cikgu-cikgu dengan rahmat dan keampunanNya.
Sabtu, 5 April 2014
Tenaga Pemikiran
Salam penuh kasih sayang daripada KM buat semua.
Pemikiran kita adalah tenaga, itulah yang akan KM huraikan hari ini.
Setiap benda memiliki tenaga tersendiri. Tidak kira sama ada benda hidup atau benda bukan hidup; tetap mempunyai tenaga yang telah dipinjamkan oleh ALLAH. Malah, cara pemikiran kita juga mempunyai tenaga.
Sebelum ini pun KM sudah pernah huraikan bahawa pemikiran kita akan menghasilkan gelombang. Gelombang ini akan keluar dari ruang aura diri kita dan akan menarik gelombang yang sama untuk bersamanya. Jika kita fikirkan perkara baik, maka gelombang baiklah yang akan keluar, dan menarik perkara baik juga mendekati kita. Sebab itu KM selalu ingatkan, JAGA PEMIKIRAN kita.
Mari kita buktikan pemikiran mempunyai tenaga…
Kumpulkan ahli kumpulan kita (rakan setugas, atau ahli keluarga). Kemudian kita nyatakan sesuatu yang sedih dan bermasalah. Perhatikan apa yang akan berlaku selepas itu. Perkara pertama, kita akan nampak kesedihan dalam wajah ahli kumpulan kita. Hal ini sahaja sudah membuktikan bahawa pemikiran yang kita keluarkan tadi sudah mempunyai tenaga dan membentuk kesedihan dan masalah kepada orang lain. Perhatikan lagi kepada tindakan mereka selepas itu. Pasti sahaja kita akan dapat lihat mereka tidak bermaya dan melakukan tugasan dengan lemah dan tidak bersemangat. Nampak tak bagaimana tenaga mereka menjadi kurang dan tidak bersemangat.
Cuba kita lakukan keadaan yang sama namun dengan situasi yang berbeza; berikan kata-kata semangat atau harapan yang positif. Pasti sahaja apa yang akan dapat kita lihat sangat berbeza. Ahli kumpulan kita akan menjadi lebih cergas, bersemangat, dan dapat melakukan tugasan dengan lebih sempurna. Kenapa ini berlaku? Kerana kita telah memberi ‘tenaga’ dalam pemikiran kita dan disalurkan kepada ahli kumpulan kita.
Contoh:
“Kalau ayah dan ibu lihat prestasi pelajaran kamu semakin naik, kita akan melancong cuti penggal nanti” kata seorang ayah kepada anaknya.
Agak anda, bagaimana motivasi, semangat, dan jiwa di anak apabila mendapat corak pemikiran seperti ini daripada seorang ayah? Percayalah bahawa anak itu akan menjadi lebih rajin, bersemangat, dan tekun. Bukan sekadar untuk menuntut janji si ayah, sebaliknya timbul semangat baru yang tidak dapat dipastikan arah datangnya.
Segalanya ada dalam minda kita….
Khamis, 3 April 2014
Jarum dan Benang, Pernafasan Kita…
Salam kedamaian buat semua…
Mari kita sama-sama lakukan eksperimen hari ini. Ambil sebatang jarum dan seutas benang. Pegang jarum di tangan kanan dan benang di tangan kiri. Sekarang, cuba masukkan benang ke dalam lubang jarum tersebut. Berjaya? Tahniah! OK sekarang keluarkan semula benang dari lubang jarum.
Sekarang, kita lakukan sekali lagi eksperimen ini iaitu memasukkan benang ke dalam lubang jarum. Namun, kali ini cuba perhatikan pula kepada corak pernafasan kita.
Apa yang dapat anda simpulkan dengan cara bernafas anda semasa anda memasukkan benang ke dalam jarum? Bagaimana rentak pernafasan anda? Lajukah atau tenangkah?
Dalam beberapa siri ujian yang KM lakukan kepada 5 orang responden KM, corak pernafasan mereka semasa memasukkan benang ke dalam lubang jarum, SANGAT TENANG. Mereka seolah-olah ‘menahan’ nafas semasa proses memasukkan benang tersebut.
Sebenarnya inilah corak pernafasan semasa kita sedang fokus kepada sesuatu yang kita lakukan. Jika kita berada dalam keadaan tenang, maka kekuatan fokus kita akan menjadi lebih besar dan hebat. Makanya, jika kita sudah tahu itulah corak pernafasan semasa kita fokus, apa kata jika kita ‘meniru’ corak pernafasan itu supaya kita menjadi lebih fokus. Proses induktif-deduktif ini sebenarnya boleh dilakukan untuk mendapatkan hasil yang sama.
Fokus akan mengakibatkan pernafasan menjadi tenang, dan pernafasan menjadi tenang juga akan menjadikan kita lebih fokus.
Segalanya ada dalam minda kita….