Khamis, 21 Februari 2013

KM, teman, dan cermin….

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

KM selalu mengingatkan diri KM untuk sentiasa menjadi yang terbaik.  Muhasabah diri penting untuk membangunkan potensi diri.  Namun, kekadang kita lalai dan lupa untuk muhasabah dan menilai diri kita.  Lantaran itulah, kita perlukan orang lain untuk menilai dan memberi pandangan tentang diri kita di mata mereka.

Dalam erti kata yang lain, ada masanya kita perlukan rakan, sabahat, atau pasangan hidup untuk menyatakan kesalahan diri kita jika kita ada melakukan kesalahan.

Andai ada yang dapat menyatakan kesalahan diri kita dengan jujur dan ikhlas, maka terimalah ia dengan hati terbuka.  Cepat-cepat muhasabah diri tentang kebenaran kata-kata dan teguran itu.  Jika benar kita salah, maka perbetulkan segera.  Jangan saluti diri dengan keegoan hingga kita menutup mata dan telinga sekiranya kita ditegur.

Untuk memastikan kita ditegur dengan ikhlas, maka kita perlu ada orang yang baik-baik di sekeliling kita.  Orang yang baik yang menjadi teman itu pasti akan dapat memberi teguran yang nyata kepada diri kita.  Jika teman-teman di sekeliling kita hanya pandai membodek sahaja, maka pasti kita akan lebih tersasar dalam melakukan kesalahan dan kesilapan.

Untuk mendapat dan memastikan teman di sekeliling kita itu adalah teman yang baik, maka nilaikan diri kita.  Adakah kita baik dengan mereka?  Jika kita juga ada menyimpan dendam dan iri hati kepada teman di sekeliling kita, pasti mereka juga akan bersikap begitu kepada kita.  Dalam kata lain, pasti mereka juga adalah teman yang tidak baik kepada kita.

Pernah dalam satu sesi muhasabah diri, KM ambil sebuah cermin dan lihat diri KM.  KM ambil masa beberapa minit untuk melihat diri KM sendiri dalam cermin tersebut.  Bukan bercermin untuk lihat keindahan KM, atau jerawat batu yang timbul, tetapi bercermin untuk melihat dan menilai diri KM sendiri.

Bila KM senyum, pasti bayangan wajah KM dalam cermin itu juga tersenyum kepada KM.  Begitu juga sebaliknya.  Inilah gambaran kita dengan teman-teman di sekeliling kita.  Jika kita mudah tersenyum kepada mereka, pasti mereka akan mudah tersenyum kepada kita juga.  Dan begitu juga sebaliknya.

Oleh itu, KM ingatkan diri KM untuk sentiasa baik dengan semua orang di sekeliling KM, agar mereka juga baik dengan KM hingga ke tahap dapat memberi pandangan, teguran, dan nasihat berguna kepada KM.

Rabu, 20 Februari 2013

DELETE untuk pemikiran negatif ~ 2

Salam kasih sayang….

Menyambung bicara KM pada catatan yang lalu,

Kenapa KM katakan perlu sebut ‘delete’, stop, berhenti, dan sebagainya ketika pemikiran kita menjurus kepada perkara negatif?  Ini adalah kerana, bila kita sebut dengan kuat, jelas, dan tegas, maka kita menghantar isyarat kepada minda bahawa kita tidak mahukannya.

Pada ketika inilah, minda akan berhenti memikirkan perkara negatif dengan serta merta.  Ya, serta merta!

Ketika itu juga, bertindaklah segera dengan menukar mood pemikiran daripada negatif kepada positif.  Dalam masa yang sama, beristighfarlah.  Jika pemikiran masih lagi menjurus kepada perkara negatif, kuatkan lagi semangat untuk menghentikannya dengan memperbanyakkan istighfar.  Pasti selepas itu kita akan menjadi lebih tenang dan damai.

Perhatikan di jalan raya, ketika kita memandu laju dan sampai ke kawasan yang agak berbahaya.  Ketika itu pasti kita akan memandang kepada papan tanda amaran tentang kawasan itu berbahaya.  Adakah kita terus memecut?  Pasti sahaja papan tanda itu memberi isyarat kepada minda dan kita semakin berhati-hati selepas daripada itu, terutama sekali ketika berada di kawasan tersebut.

Secara peribadi, KM kurang senang dengan papan tanda seperti itu.  Memang papan tanda amaran seperti itu baik untuk memberi ingatan kepada pemandu, tetapi dalam masa yang sama, ia menggalakkan pemandu-pemandu untuk memikirkan bahawa kawasan itu bahaya dan tidak selamat.  Pemikiran pemandu-pemandu itu akan menyebabkan tarikan frekuansi yang tinggi bahawa kawasan itu bahaya, dan akhirnya akan menyebabkan lebih banyak kemalangan berlaku di kawasan itu.

Pun begitu, ia adalah perlu untuk terus memperingatkan kepada pemandu untuk terus dan lebih berhati-hati di kawasan tersebut.

Sepatutnya, apabila berada di kawasan itu, secara tidak langsung pasti kita akan memikirkan perkara negatif; kemalangan.  Cuba sebutkan dengan kuat, jelas, dan tegas kepada diri kita; DELETE.  Kemudian, tukarkan mood negatif itu kepada positif dengan memikirkan bahawa kita selamat dan sentiasa berwaspada di kawasan tersebut.

Jika semua pemandu dapat melakukan perkara ini, maka pasti frekuansi negatif bahawa kawasan tersebut bahaya akan bertukar kepada kawasan tersebut adalah selamat dan lebih berhati-hati ketika melalui kawasan tersebut.

Selasa, 19 Februari 2013

DELETE untuk pemikiran negatif…

Salam kedamaian…

Kerap kali KM ingatkan kepada diri KM, jaga cara pemikiran.  Jangan biarkan pemikiran negatif berlegar-legar dalam minda dan akhirnya menguasai minda KM.  Minda yang sudah dikuasai dengan pemikiran negatif akan menyebabkan kita memancarkan frekuansi negatif dan akhirnya menarik lebih banyak perkara negatif datang dalam kehidupan kita.

Bagaimana jika tiba-tiba kita tetap memikirkan perkara negatif?  Tentu sahaja (walau diusahakan untuk sentiasa berfikiran positif) akan ada masanya pemikiran negatif hadir dalam benak kita dan mengganggu kita.  KM juga biasa berlaku begitu.

Apa yang perlu kita lakukan? Dan apa yang biasanya KM lakukan untuk menghentikan pemikiran negatif daripada bermain di fikiran KM.

Biasanya KM akan sebut dengan kuat dan jelas; DELETE! Dan seterusnya KM akan memikirkan perkara yang positif bagi mengganti pemikiran negatif yang KM ‘delete’ tadi.

Ada baiknya, bila kita sudah tersedar semula, kita perbanyakkan istighfar.  Perkara-perkara negatif ni biasanya berpunca daripada hasutan iblis dan syaitan, yang selalu mengganggu manusia dengan bisikan jahatnya itu.  Jadi, bila kita sudah tersedar, terus sahaja beristighfar banyak-banyak.

INGAT, bila pemikiran negatif mula datang kepada kita:

  1. Sebutkan ‘delete’, batal, stop, dan sebagainya untuk menghentikan pemikiran negatif itu.
  2. Perbetulkan semula cara pemikiran daripada negatif kepada positif.
  3. Istighfar.

Ahad, 17 Februari 2013

Sibuk sangat ke…?

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Agak lama juga KM tidak dapat menulis di sini.  Perkara biasa apabila kita sibuk, atau terlalu sibuk, maka kita perlu mendahulukan perkara yang perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sempat untuk melakukan perkara-perkara lain.

Apapun, KM tidak mahu menyalahkan kesibukan ini.  Kesibukan bermakna KM sedang dan akan melakukan suatu tugasan yang diberikan.  Memang dalam kehidupan kita, akan terikat dengan perkara tugasan yang menjadi tanggungjawab kita.  Oleh itu laksanakanlah ia dengan sebaik mungkin.

Jangan salahkan masa.  Masa selama 24 jam yang ALLAH kurniakan itu sudah cukup sebenarnya untuk menguruskan kehidupan manusia.  Cuma, terpulang kepada kita bagaimana untuk menguruskan masa.

Pada KM, kekuatan semangat dan mengurus masa yang betul akan menjadikan tugasan dan tanggungjawab itu dapat disempurnakan dengan keizinanNya.  Jika kita tidak dapat menguasai kedua-dua perkara ini pasti tugasan itu akan menjadi beban kepada diri kita.

Sabtu, 9 Februari 2013

Fokus Emosi…

Salam kedamaian buat semua…

Catatan ini adalah sambungan kepada penerangan berkenaan Fokus…

Dalam catatan yang lalu, KM telah terangkan bagaimana pentingnya kita melakukan fokus terhadap impian.  Teruskan melakukan fokus yang baik terhadap impian yang baik dalam diri kita.  Pasti, sedikit demi sedikit ia akan mendekati kita dan akhirnya impian itu menjadi kenyataan.

Selain itu, emosi juga harus difokuskan kepada perkara yang sama.  Apa yang KM maksudkan dengan fokus emosi?  Fokus emosi adalah aliran perasaan kita yang seiring dengan impian.

Contohnya, jika kita memfokuskan kepada usaha untuk mendapatkan sebuah rumah, maka emosi kita juga harus seiring dengan fokus yang dilakukan.  ‘Ciptakan’ perasaan yang teruja untuk memiliki rumah tersebut.  Sentiasa ingat, dan rasakan kegembiraan untuk memilikinya.

Masalah yang ada ialah, kekadang kita terperangkap dengan emosi yang tidak stabil.  Ada kalanya kita merasa bimbang, ragu-ragu, dan tidak yakin untuk memiliki rumah kita.  Sebab itulah, emosi juga harus dikawal dan difokuskan kepada perkara yang menjurus kepada impian tersebut.

Sebenarnya, emosi yang ada dalam diri kita lebih kuat dan hebat kuasa tarikannya berbanding usaha fizikal.  Ini bermaksud, jika kita berusaha secara bersungguh-sungguh dalam satu hal, namun ada rasa ragu-ragu dan bimbang dalam diri, maka usaha yang kita lakukan itu hanya sia-sia sahaja. 

Lantaran itu, berusahalah untuk mengawal emosi.  Pastikan kita memiliki fokus emosi yang sama dengan apa yang kita fokuskan.

Jumaat, 8 Februari 2013

Zikir menenangkan hati…

Salam kasih sayang daripada KM buat semua…

Nampaknya, minggu ni pun KM tidak dapat menulis dengan konsisten.  Ini adalah kerana KM sedang sibuk melaksanakan persiapan awal untuk perkhemahan negeri.  InsyaALLAH, bila semuanya ‘dah tenang, KM akan menulis kembali.

Hari ini KM cuma hendak berbicara sedikit berkenaan zikir.  Bukanlah hanya pada hari Jumaat sahaja kita berzikir, bukan!  Namun, biasanya kita akan lebihkan amalan zikir pada hari Jumaat.  Terutama sekali kepada penduduk di Pantai Timur yang bercuti pada hari Jumaat, tentu ada peluang untuk berzikir panjang selepas solat Subuh.

Kenapa berzikir?  Apa kebaikan dan kesannya kepada diri?

Sebenarnya banyak kelebihan dan kesannya kepada diri kita.  Namun apa yang penting, apabila berzikir kita akan menjadi tenang dan lebih tenang daripada biasa.  Ini adalah kerana, berzikir (yang pastinya menyebut, memuji, dan membesarkan ALLAH dan RasulNya) akan ‘menghubungkan’ kita kepada ALLAH.

Zikir itu terlalu luas dan pelbagai.  Buatlah mana yang terkenan di hati.  Malah, zikir yang paling kerap kita ucapkan itu adalah sesuatu yang berkesan di hati.

Isnin, 4 Februari 2013

Fokus…

Salam kedamaian daripada KM buat semua….

fokus

Gambar hiasan daripada internet

Berbicara tentang fokus, pasti kita hanya ingat kepada fokus fizikal iaitu mata.  Memang, mata memainkan peranan penting apabila kita fokus kepada sesuatu.  Namun, ada satu bentuk fokus yang lebih besar dan luas iaitu fokus dengan menggunakan minda dan emosi.

Seperti mana yang kita maklum, minda adalah elemen terpenting dalam diri kita.  Mindalah yang menggerakkan setiap elemen lain seperti mata, mulut, dan anggota fizikal lain untuk melakukan sesuatu.  Andai minda tertutup, maka pasti perkara-perkara lain juga akan tertutup.

Mari kita lakukan sedikit latihan fokus minda.  Ambil suatu barang, contohnya buku.  Cuba buat pemerhatian mendalam kepada buku tersebut; kulit luarannya, rekaletak muka depannya, ketebalannya, warnanya, dan sebagainya berkenaan buku tersebut.  Ambillah masa lebih kurang 5 minit untuk mengambil sepenuh maklumat berkenaan buku tersebut.

Apabila sudah berpuas hati, letakkan buku tersebut.  Sekarang pejamkan mata, dan bayangkan apa yang anda ingat pada buku tersebut.  Andai anda dapat membayangkan buku tersebut sejelas-jelasnya, maka anda telah berjaya melatih fokus minda anda.  Teruskan membayang buku tersebut (namun jangan terlalu memaksa pada awal latihan) hingga anda berjaya nampak warna buku tersebut.  Ya, kita mampu nampak warnanya walaupun mata kita terpejam.  Itulah kehebatan fokus minda.

Jangan ambil masa terlalu lama untuk berada dalam latihan fokus ini (dalam keadaan mata terpejam).  Kita mungkin perlu ambil masa yang lama untuk melatih diri membiasakan fokus minda.

Apakah kebaikannya melakukan fokus minda ini?

Pertama sekali, pasti sahaja ia akan membentuk kekuatan diri untuk mengingat sesuatu dengan lebih jelas dan tepat.  Hal ini sangat baik kepada pelajar sekolah yang sedang berusaha untuk menghadapi peperiksaan.  Dengan melakukan latihan fokus ini, kita akan ‘menguatkan’ minda kita untuk menerima sesuatu maklumat.

Kebaikan kedua, minda kita bukan sahaja ‘kuat’, malah kita juga akan dapat mengawal minda untuk membahagikan maklumat yang penting dan tidak penting.  Pada kebiasaannya, setiap maklumat yang kita terima akan disimpan dalam kotak memori dalam otak.  Kotak memori akan mengasingkan maklumat yang selalu digunakan dan yang jarang digunakan.  Maklumat yang jarang digunakan akan ditolak ke belakang dan maklumat yang biasa diulang akan berada di hadapan kotak memori. 

Contohnya, apabila berjumpa dengan seseorang yang biasa kita temui suatu masa dahulu, kekadang kita perasan mukanya tetapi tidak ingat siapa dia.  Setelah beberapa ketika barulah kita ingat dengan jelas siapa dia, di mana kita berjumpa dengannya, dan sebagainya.  Ini menunjukkan memori yang berada di bahagian belakang kotak memori mula dibawa ke hadapan.

Dengan melakukan latihan fokus, kita akan dapat mengawal memori itu dengan lebih cepat.  Kita akan dapat membawa memori lama datang ke hadapan kotak memori dengan lebih cepat dan berkesan.

Ikuti sambungan catatan KM nanti berkenaan fokus emosi…

Jumaat, 1 Februari 2013

Bersyukurlah…

Salam kasih sayang di pagi yang penuh rahmat ini.

Sudah agak lama KM tidak menulis di sini.  Ini adalah kerana KM sedang sibuk menguruskan satu aktiviti pendidikan luar yang agak besar pada tahun ini.

Pada pagi ini dalam SRJ, KM hendak mengulas sedikit lagi berkenaan Nikmat Bersyukur…

Seperti yang kita fahami, bersyukur adalah satu perkara yang sangat indah.  Andai kita memahami konsep bersyukur, pasti kita tidak akan lekang daripada merasakan syukur kepada ALLAH Taala.  Ini kerana, bersyukur ada kaitan dengan nikmat yang dikurniakanNya kepada kita.

Seharusnya dalam kehidupan ini, kita mendidik diri untuk sentiasa bersyukur.  Walau apa keadaan sekalipun, teruskan rasa bersyukur kerana setiap sesuatu itu pasti ada nikmatnya.

Andai kita terjatuh dari tangga, bersyukurlah, kerana kita hanya terjatuh dan sakit-sakit sahaja, bukan jatuh dan terus meninggal.  Hal ini harus kita rasakan juga sebagai nikmat, iaitu nikmat masih hidup walaupun telah ditimpa kemalangan.  Memang agak sukar untuk kita didik diri kita merasakan ‘nikmat’ sebegini, namun itulah hakikatnya.

Andai kita kemalangan, bersyukurlah, kerana kita hanya cedera atau kenderaan kita rosak, bukan kemalangan dan terus meninggal.

Andai kita ditimpa musibah kecurian, bersyukurlah, kerana kita mungkin hanya kehilangan barangan yang dicuri sahaja.  Mungkin nilai kerugian akibat kecurian itu hanya RM5000 dan kita masih ada simpanan lain untuk meneruskan kehidupan.  Pun, kita harus bersyukur kerana kita masih ada rezeki lain walaupun rezeki RM5000 bukan lagi rezeki kita.

Memang agak sukar untuk kita lakukan rasa bersyukur ini apabila ditimpa kesukaran.  Namun yakin dan percayalah bahawa, pasti ada nikmat yang dijanjikan ALLAH.