Jumaat, 30 September 2011

Khutbah Jumaat

Salam kasih sayang…

Seperti biasa, topik catatan pada hari ini adalah berkaitan SRJ…

Pada hari ini KM minta kita semua memusatkan kepada salah satu perkara penting dalam solat Jumaat iaitu khutbah.  Kenapa agaknya khutbah Jumaat penting dan menjadi salah satu perkara wajib dalam solat Jumaat?  Jika mahukan jawapan daripada KM, mudah sahaja….  Solat Jumaat adalah sejenis solat yang sangat istimewa.  Ia adalah solat mingguan yang wajib dikerjakan secara berjemaah.  Andai ada yang melakukan solat Jumaat secara berseorangan di rumah, pasti sahaja tidak sah dan tidak sempurna solatnya.

Solat Jumaat adalah solat yang memberi rasa perpaduan dan kekuatan, dan memberi ilmu kepada kita semua.  Hanya sehari dalam seminggu, kita semua akan duduk bersama untuk mendengar khutbah, dan kemudiannya mendirikan solat bersama-sama.  Jadi, dalam hal ini terdapat dua perkara iaitu mendirikan solat secara berjemaah dan dapat membentuk perpaduan di kalangan kita, dan mendengar khutbah untuk mendapat sedikit nasihat dan ilmu.

Khutbah Jumaat bukan hanya sekadar memberi ingatan agama.  Apa sahaja cabang ilmu dapat disampaikan melalui khutbah Jumaat.  Andai berada di dalam peperangan sekalipun dan khatib berkhutbah tentang semangat perjuangan membela agama, maka tetap ia dikira sebagai sebuah khutbah yang baik.  Khutbah yang baik adalah membicarakan tentang hal ehwal semasa dan kaitannya dengan diri kita sebagai seorang muslim.  Ini akan menjadi nasihat dan panduan kepada semua ummat Islam yang sedang mendengar khutbah tersebut.

Pada KM, lebih suka dan berminat mendengar khutbah yang disampaikan secara spontan.  Khutbah spontan ini bukanlah bermakna spontan seluruhnya.  Khatib masih membuat catatan ringkas berkenaan isi khutbah yang hendak disampaikan, dan kemudiannya menyampaikan khutbah dengan ulasannya yang tersendiri.  Keadaan ini menjadikan khutbah khatib itu menjadi lebih natural dan menarik perhatian, berbanding dengan hanya membaca teks secara meleret-leret.

Rabu, 28 September 2011

Kamu Tidak Akan Gagal…

Salam kedamaian buat semua…

SELAGI KAMU TIDAK BERPUTUS ASA, KAMU TIDAK AKAN GAGAL!

ombak besar Gambar daripada internet

Dalam kehidupan kita ini, tidak terlepas daripada menghadapi cabaran.  Cabaran hidup adalah satu bentuk masalah.  Namun, jangan fikirkan ia sebagai satu MASALAH.  Semakin kuat kita memikirkan ia sebagai masalah, maka semakin banyaklah masalah yang akan hadir dalam hidup kita.  Sebaliknya, fikirkan ia adalah CABARAN.  Sesuatu cabaran itu adalah lebih positif kepada pemikiran manusia.  Cabaran berbeza dengan masalah.  Cabaaran adalah sesuatu yang datang memberikan rintangan kepada kita dan ia akan mendewasakan diri dan pemikiran kita.

Jika kita menghadapi cabaran, janganlah mudah untuk berputus asa.  Teruskan mencari jalan penyelesaian kepada cabaran itu dan jadikan ia sebagai sesuatu yang memberi kekuatan dan semangat kepada kita.  Selagi kita tidak berputus asa, maka kita tidak akan gagal.  Mungkin dalam sesuatu keadaan kita akan menghadapi cabaran yang sangat hebat dan sukar untuk kita lalui.  Namun, cuba teruskan dengan beberapa cara penyelesaian.  Jika kita menyerah kalah, maka cabaran itu telah mengagalkan kita.  Namun, jika kita meneruskan usaha untuk mengadapinya, pasti kejayaan akan bersama kita.

Dalam kuasa pemikiran dan minda manusia pula, apabila kita meneruskan usaha untuk berjaya, maka kita telah membina kekuatan yang sangat hebat dalam minda.  Kekuatan inilah yang akan memberikan ‘ilham’ kepada kita untuk merancang dan merencana tindakan-tindakan yang perlu kita laksanakan untuk menghadapi masalah tersebut.  Semakin kuat kuasa minda kita, semakin banyak ‘ilham’ yang akan datang untuk menunjukkan jalan.

Dan ingatlah bahawa; ilham itu sebenarnya datang daripada ALLAH Taala untuk menjadi panduan kepada kita….

Ahad, 25 September 2011

Arah Pusingan Tawaf…

Salam kasih sayang daripada KM.

Beberapa hari lalu, KM telah ‘bercuti’ setelah sekian lama melaksanakan tugasan tanpa mengambil apa-apa cuti rehat.  Dalam kembara KM di sebuah lokasi perkhemahan, KM bertemu dengan sejenis pokok melilit.  KM tidak ingat apa nama pokok yang dinyatakan oleh rakan KM yang bertindak sebagai penunjuk jalan itu.  Namun, ada sesuatu yang menarik berkenaan pokok ini yang membuatkan KM terfikirkan sesuatu.

Apa yang menarik perhatian KM adalah bentuk lilitan pohon itu dan susur pautnya berlingkar dalam bentuk arah lawan jam, dalam erti kata yang lain adalah dalam bentuk pusingan tawaf.  KM cuba kenal pasti beberapa pohon melilit yang ada di sekitar kawasan itu.  Memang benar, semuanya dalam keadaan pusingan tawaf.

Adakah semua pokok melilit akan berkeadaan seperti itu?  KM tidak pasti…  Tetapi KM merasakan sangat indah keadaan lilitan itu dan ingin menyelidiki keadaan ini dengan lebih lanjut.  Maksudnya, KM ingin berusaha untuk melakukan pemerhatian kepada mana-mana pokok yang melilit, sama ada semuanya berkeadaan pusingan tawaf atau hanya sebahagian daripadanya sahaja.

Rabu, 21 September 2011

Rehatkan diri…

Salam kasih sayang buat semua…

Esok KM bercuti.  Saja memohon cuti rehat khas.  Bermula dari awal tahun hingga ke hari ini, baru sehari (esok) KM akan bercuti dalam erti kata cuti dalam masa orang lain meneruskan kerja.  KM akan bertolak ke lokasi perkhemahan hari ini untuk merehatkan minda dan diri.  InsyaALLAH, balik nanti KM akan meneruskan catatan di sini.

Ahad, 18 September 2011

Pandangan Mata…

Salam ceria daripada KM buat semua…

Kata orang; ‘dari mata turun ke hati….’

Kata KM; ‘dari mata turun ke hati, naik semula ke minda’…

Kenapa KM tambahkah ayat di atas?  Kerana, ungkapan biasa; dari mata turun ke hati, ada kaitannya dengan perasaan.  Kononnya, apabila mata sudah bertentangan mata, maka hati mula bergelora.  Awas, jangan mudah terperangkap dengan cinta pandang pertama..!  Kerana minda perlu diutamakan lebih dari segalanya.  Bukan mata atau hati yang perlu membuat keputusan, sebaliknya mindalah yang perlu diutamakan.  Tanya semula dalam diri kita, buat keputusan yang terbaik, bukan hanya berserah kepada gelora jiwa yang mudah terpedaya…

muka 1

Gambar ni KM lukis menggunakan paint…KM memang tak pandai melukis, tapi rasanya memang jadi dah muka orang, ye tak?

Apa yang KM nak nyatakan di sini adalah cara atau kaedah terbaik untuk kita memerhati muka seseorang semasa berkomunikasi.  Semasa berkomunikasi, memang kita digalakkan untuk bersemuka.  Ini adalah untuk memastikan komunikasi itu berlangsung secara berkesan dan memberi impak yang diharapkan.  Namun begitu, komunikasi antara lelaki dengan perempuan haruslah ada landasannya yang wajar, jangan hingga menimbulkan fitnah di kemudian hari.

Bagaimana cara terbaik untuk kita menatap wajah seseorang semasa berkomunikasi?  Ada beberapa keadaan yang harus diberi perhatian.  Antaranya adalah sejauh mana kita mengenali seseorang itu, dan apakah topik komunikasi yang dibicarakan.  Untuk catatan kali ini, KM akan nyatakan keadaan jika seseorang itu baru kita kenali.  Mungkin di lain masa, KM akan jelaskan pula apabila seseorang itu sudah kenal lama dan sebagainya.

Bagi seseorang yang baru kita kenali, kita haruslah cuba bersemuka dengannya.  Kenali namanya dan perhatikan apakah keistimewaan yang ada di waahnya.  Contohnya jika seseorang itu ada tahi lalat di pipi, atau rambutnya yang bercacak-cacak, atau dagunya berlekuk, dan sebagainya.  Cuba sebut nama orang itu semasa berkomunikasi contohnya ‘Rahman berasal dari mana?’  Penggunaan awak, mungkin boleh digunakan di lain masa.  Ini adalah kerana, dengan memerhatikan keunikan wajah seseorang, dan menyebut namanya semasa komunikasi berlangsung, akan membolehkan kita mengingati individu itu dengan lebih baik.  Hal ini sangat berguna kepada seseorang yang sering berurusan dengan ramai orang dan memerlukan komunikasi selanjutnya pada masa akan datang.

muka 2

Rajah 1

Semasa berkomunikasi dengan seseorang yang baru kita kenali, cuba perhatikan kedua-dua matanya.  Gerakkan pandangan mata kita dari mata kanan ke mata kiri individu itu secara perlahan dan perhatikan matanya satu persatu.  Selang selikan pandangan matanya dalam beberapa kali dan kemudian berhenti di tengah-tengah antara anak panah itu lebih kurang di atas batang hidungnya.  Setelah beberapa ketika pandangan mata dihentikan di tengah-tengah garisan anak panah itu, lakukan kembali gerakan mata kita ke matanya secara berselang seli seperti tadi.  Lakukan beberapa ketika lagi dan berhenti semula di tengah-tengah seperti tadi.

Perlakuan ini haruslah dilakukan serentak semasa komunikasi berlangsung.  Ia mungkin agak sukar dilakukan pada permulaan kerana kita asyik memikirkan untuk menggerakkan pandangan dan dalam masa yang sama melaksanakan komunikasi.  Namun setelah beberapa ketika kita melaksanakannya, kita akan mula merasa selesa.

Apakah kebaikan pandangan mata ini dilakukan seperti yang disaran?  Kelebihannya adalah orang yang lawan komunikasi dengan kita itu akan menumpukan lebih perhatian semasa kita sedang berbicara.  Kita seolah-olah telah ‘memukau’nya untuk berkomunikasi dengan kita, malah mungkin apa sahaja saranan kita akan diturutinya.  Biasanya kaedah ini sangat digunapakai oleh orang yang ingin menjual sesuatu barangan kepada kita.  Jika kita berjaya menyesuaikan diri dengan cara pandangan ini, kita akan berjaya melakukan komunikasi dengan lebih berkesan dengan seseorang walaupun baru sahaja kita kenali.

Pada catatan yang lain, KM akan nyatakan pula teknik pandangan jika individu itu sudah rapat dan biasa dengan kita….

Sabtu, 17 September 2011

Sakit jiwa…

Salam kedamaian buat semua…

Hari ini, KM berkelapangan untuk ke pasar.  Setelah sekian lama tidak ke pasar (kecuali ke pasar malam) maka hari ini KM ke pasar Dungun.  Hasrat di hati nak cari bahan mentah untuk memasak Nasi Daging.  Baru-baru ni, sewaktu pulang ke kampung (akhir Ramadhan), KM tak berkesempatan untuk menikmati nasi ini, mungkin kerana bulan puasa hingga menyebabkan ramai pengusaha yang tidak menyediakannya kerana lebih tertumpu kepada masakan lauk-pauk atau kuih-muih.

Semasa di pasar Dungun tadi, KM terdengar suasana sedikit kecoh.  Datangnya kekecohan ini daripada seorang yang kurang siuman @ gila.  Kasihan pun ada, marah pun ada.  Apa tidaknya, dia bertindak mengganggu orang ramai yang berada di situ.  Bermula dengan menegur semua orang yang lalu lalang, dan apabila tiada respon dia mula ‘naik angin’.  Kata-kata kesat dan kotor mula dihemburkannya kepada orang ramai yang ada di situ.  Mujurlah lelaki kurang siuman itu hanya bising-bising sahaja tanpa menggunakan gangguan berbentuk fizikal.  Jika tidak, pasti lebih kecoh lagi.

KM hanya memerhatikan lelaki itu dari jauh.  Penampilannya biasa sahaja, lengkap berpakaian.  Namun kerana tindakannya yang meracau dan bertempik, menyebabkan semua orang senang untuk mengenalpasti bahawa dia adalah orang kurang siuman.  Satu yang menarik perhatian KM adalah dia merepek dengan tema Hari Malaysia…!  Dia berbicara seorang diri tentang kemerdekaan negara.  Menyanyi-nyanyi lagi patriotik ‘Inilah Barisan Kita’ dan ‘Saya Anak Malaysia’, diselang seli dengan lagu-lagu jiwang era 80-an.  Suaranya sedap dan ada gaya, tapi sayang….

KM terfikir, apakah agaknya yang dia rasa sekarang?  Apa sebenarnya yang bermain di mindanya?  Kasihan….memang kasihan.

Minda dikurniakan ALLAH kepada kita semua.  Namun, bagi orang seperti lelaki itu, minda sudah tidak dapat berfungsi sepenuhnya.  Ini adalah akibat gangguan saraf atau kerosakan yang berpunca daripada masalah luaran atau dalaman.  Mungkin jika diubati, lelaki itu atau siapa sahaja yang menderita sakit jiwa masih boleh dibantu.  Namun tidaklah keseluruhannya.  Minda yang rosak perlu diperbaiki orang diri kita sendiri.

Suatu masa dahulu, semasa KM pernah bertugas di Kuala Lipis, ada seorang perempuan yang kurang siuman.  Dia berkeliaran di bandar Lipis, terutama di kawasan stesen bas dan stesen kereta api.  Perempuan itu yang dikenali dengan panggilan Ana Lipis (dengar kata sudah meninggal beberapa tahun lalu) mempunyai sejarah silam penderitaan jiwa yang sangat teruk.  Kerana terlalu memikirkan masalahnya dan akibat tekanan yang sangat hebat menyebabkan dia menjadi gila.

Suatu ketika, KM pernah terserempak dengan Ana Lipis di stesen kereta api (pengangkutan ke tempat bertugas menggunakan kereta api), dan KM dapati dia sedang minum sebungkus air teh yang dijumpainya di tong sampah.  KM sangat sedar bahawa teh itu memang sudah basi melalui warnanya yang sudah berubah dan sifat plastik yang agak kotor.  Namun dengan selamba Ana meminumnya dengan tenang sambil bernyanyi riang.  Jika kita (manusia biasa) meminumnya, tentu akan disusuli dengan muntah atau sakit perut beberapa ketika setelah meminum air itu, namun tidak seperti orang-orang yang kurang siuman.  Memang ada yang cuba menegah Ana untuk minum air itu dan menawarkan memberi air yang lebih baik, namun dia menolaknya.  Dia (golongan kurang siuman) berada dalam dunianya sendiri, yang tidak dapat difahami oleh orang lain.

Jaga diri, jaga minda, dan jagalah jiwa kita.  Jika kita berada dalam kesedihan, kesepian, kemurungan, atau apa sahaja masalah; luahkanlah kepada seseorang.  Jangan biarkan tekanan itu membarah dalam diri hingga kita hilang arah……

Apa yang KM tahu, orang yang sakit jiwa ini berpunca daripada masalah kerosakan saraf luaran iaitu akibat mengambilan alkohol, dadah, atau kecederaan kemalangan.  Faktor luaran ini mampu kita elak jika kita mengamalkan gaya hidup yang betul.  Kerosakan minda juga boleh berpunca daripada dalaman iaitu jiwa yang sentiasa tidak tenang.  Keadaan jiwa yang tidak tenang ini yang bersarang sekian lama dalam diri seseorang akan menyebabkan fungsi otaknya terganggu.  Lantaran itulah, KM selalu berusaha untuk menenangkan minda.  Minda yang tenang akan mengaktifkan kerasionalan diri.  Minda yang sering terganggu akan menyebabkan kesedihan melampau, kemurungan, dan akhirnya mungkin akan menyebabkan kerosakan saraf dalam otak.  Inilah yang berlaku sakit jiwa @ kurang siuman @ gila yang berpunca dari dalam diri manusia itu sendiri.

Jumaat, 16 September 2011

Tanaman Herba

Salam kedamaian buat semua….

herbaGambar daripada internet 

Hari ini adalah hari beristirehat buat KM.  Setelah hampir 8 bulan bertungkus lumus bersama dengan anak-anak di sekolah yang hendak menduduki peperiksaan UPSR (baru sahaja berakhir kelmarin), maka hari ini berpeluanglah KM untuk berdamaian di internet.

Seharian KM menelusuri laman-laman web dan blog berkenaan tanaman herba.  Memang banyak ciptaan ALLAH dari segi tumbuhan yang menjadi kebaikan kepada kita semua.  Semasa melakukan bacaan berkenaan tanaman herba ni, ada yang biasa KM temui pokoknya dan menikmati khasiatnya, dan ada tumbuhan dan tanaman herba yang tidak pernah KM temui.

Apa yang penting di sini adalah, kesedaran kita berkenaan tanaman dan tumbuhan ini.  ALLAH jadikan setiap sesuatu itu dengan kebaikannya tersendiri, dan tidak sia-sia.  Hanya kita yang mahu atau tidak mahu untuk memerhati, mengkaji, dan menerima kebaikan itu sebaik mungkin.

Bercakap berkenaan dengan herba, fikiran KM tertumpu kepada sebuah syarikat bumiputera Islam iaitu HPA.  Mungkin anda semua juga pernah mendengarnya.  KM memang sudah beberapa tahun bersama dengan syarikat ini.  HPA (Herba Penawar Alwahida) menumpukan ubatan herba pada permulaan penubuhannya.  Kemudian, terus berkembang kepada keperluan harian yang lain seperti keperluan peribadi, makanan, produk kecantikan dan sebagainya.  Apa yang penting adalah semua bahan yang digunakan untuk menghasilkan produk adalah daripada bahan yang halal terutama berkaitan herba yang biasa terdapat di negara kita.

Sehingga ke saat ini, KM telah menggunakan produk HPA untuk hampir keseluruhan keperluan harian, bermula dengan jagaan diri hinggalah ke sabun pencuci.  Ini adalah kerana KM sangat yakin dengan bahan yang digunakan dalam penghasilan produk.  KM doakan agar HPA akan terus berkembang dan dapat memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Daripada pengamatan KM, pasaran di Pantai Timur masih belum meluas.  Ini mungkin kerana permintaan yang tinggi tetapi penawaran barangan yang terhad.  Berbeza jika KM balik ke Penang, yang barangan sentiasa cukup di sana (mungkin kerana lebih dekat dengan Perlis dan Kedah yang menjadi negeri pengilang produk HPA).  Sebab tu, bila KM balik ke kampung pada kelapangan cuti, KM akan beli barangan HPA untuk keperluan di sini.  Mungkin HPA perlu membina lebih banyak kilang di sebelah Pantai Timur untuk memenuhi keperluan permintaan di sebelah sini pula.

Apa yang pasti, produk herba memang mendapat sambutan yang tinggi.  Ini berpunca daripada kefahaman dan kesedaran pengguna tentang kesan sampingan yang akan berlaku jika menggunakan ubatan kimia secara berterusan.  Herba adalah ciptaan ALLAH Taala.  Terdapat banyak kebaikan yang ada padanya yang masih belum kita temui sepenuhnya. 

Mandi Di Awal Pagi…

Salam kedamaian daripada KM.

Siri Renungan Jumaat pada kali ini KM nak utarakan berkenaan amalan di pagi Jumaat.  Pada pagi Jumaat, kita dianjurkan untuk mandi dan membersihkan diri.  Kemudian dianjurkan untuk berpakaian yang bersih dan cantik.  Ada yang mengatakan pakailah pakaian berwarna putih kerana warna ini lebih disukaiNya.  Tidak dilupakan pakailah wangi-wangian.  Pada pagi Jumaat juga kita diminta untuk memotong kuku dan bercukur.

Berkenaan mandi di pagi Jumaat ini, kita diminta untuk mandi sebelum masuknya Subuh.  Bermakna, kita diminta untuk bangun lebih awal dan mandi sebelum azan dilaungkan.  Terdapat banyak kebaikan jika kita berjaya mengamalkan mandi sebelum Subuh ini (tidak semestinya hanya pada hari Jumaat sahaja).  Antara kebaikannya adalah :

  1. Tidak terkena penyakit asma (lelah)
  2. Terhindar daripada angkara jahat seperti sihir.
  3. Tubuh badan menjadi sihat.
  4. Wajah bercahaya.
  5. Doa mudah dimakbulkan.
  6. Wajah menjadi awet muda.

Kepada yang tidak sempat mandi di awal pagi tadi, khususnya terjaga selepas waktu Subuh, bolehlah memulakan amalan ini selepas daripada ini.

Khamis, 15 September 2011

Emosi Mempengaruhi Pemikiran, Atau Sebaliknya..?

Salam kasih sayang daripada KM.

Persoalan; emosi yang tidak stabil (berada dalam keadaan cemas, susah hati, sedih) akan mempengaruhi tindakan kita.  Adakah emosi akan mempengaruhi pemikiran kita?  Atau pemikiran yang seharusnya mempengaruhi emosi?

Jika persoalan ini diajukan kepada KM, maka KM akan katakan, seharusnya pemikiranlah yang berkuasa untuk mempengaruhi emosi dan perasaan kita. 

Memang KM akui, apabila kita berada dalam keadaan yang tertekan, maka emosi yang tidak stabil ini akan mempengaruhi pemikiran kita.  Inilah yang akan berlaku dan menyebabkan kita bertindak di luar jangkaan.  Ada yang hanya menangis sepanjang hari (teringat cerita Ibu Mertuaku), ada yang bertindak melulu seperti marah kepada semua orang yang ada di sekeliling, malah yang lebih tragis, ada yang bertindak untuk membunuh diri.  Adakah dengan melakukan semua tindakan ini akan menstabilkan semula emosi itu?  Jawapannya tentu sekali tidak.  Kita bukan menstabilkan emosi itu, sebaliknya memburukkan lagi keadaan dengan tindakan-tindakan itu.

Seharusnya, kita berusaha untuk bertenang.  Apabila bertenang, pemikiran akan berada di atas daripada emosi.  Apabila pemikiran sudah rasional, emosi dapat didamaikan seketika.

Seperti biasa, KM akan mencadangkan agar kita tidak fokus kepada masalah yang dihadapi hingga menyebabkan emosi kita terganggu.  Sebaliknya, cuba fikirkan jalan penyelesaian.  Dengan memikirkan kepada jalan penyelesaian, kita akan fokus kepada tindakan yang hendak dilakukan untuk menyelesaikan masalah.  Ini akan membuatkan pemikiran kita bekerja untuk menyelesaikan masalah, bukannya untuk mencipta lebih banyak masalah.

Dalam Islam sendiri menganjurkan untuk kita beristighfar.  Istighfar bukan hanya apabila mengenangkan kesalahan yang dilakukan.  Istighfar boleh dilakukan apabila kita ditimpa masalah.  Cuba beristighfar dan ia akan menenangkan perasaan kita.  Apabila perasaan dan emosi sudah bertenang, barulah minda dapat bekerja dengan lebih rasional.

Hari Terakhir…

Hari ini adalah hari terakhir peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah.

Selepas daripada hari ini, mungkin KM ada sedikit ruang dan peluang untuk menulis dengan lebih kerap di sini.  Mungkin..!

KeMUNGKINan ini adalah berpunca daripada perancangan aktiviti selepas peperiksaan yang telah pun siap disusunatur.  Memang banyak aktiviti yang akan dilaksanakan selepas daripada peperiksaan penting ini.  Jika dahulu, murid-murid ini diperah dan dikerah untuk menumpukan perhatian kepada akademik, selepas daripada ini adalah masa untuk meneruskan pembelajaran dalam aktiviti pendidikan luar pula.

Apapun, diharap segalanya berjalan dengan lancar dan memberi kebaikan kepada semua…

Selasa, 13 September 2011

Selamat Berjuang….

Salam kemakmuran buat semua…

Bermula pada hari ini hingga ke hari Khamis, peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan berlangsung.  Ujian ini adalah peperiksaan awam yang pertama dalam siri-siri peperiksaan di Malaysia.

Didoakan semoga semua calon UPSR di seluruh Malaysia dapat menjawab dengan tenang dan penuh keyakinan.  Semoga kejayaan milik anda semua…

Ahad, 11 September 2011

Perjalanan Menjadi Bintang ~ 2

Salam kejayaan buat semua.

Sambungan kepada catatan yang lalu, KM ingin cadangkan 5 langkah untuk mencipta kejayaan menjadi ‘bintang’ (super hebat).

1.  Jika kita inginkan kejayaan, binalah impian yang besar.

Impian yang besar akan menjadikan kita lebih bersemangat.  Impian yang besar akan menjadikan kita lebih fokus untuk mencipta sesuatu kejayaan itu.  Suatu masa dahulu, Tuan Guru KM pernah berkata, jadilah seperti tupai yang melompat dari dahan ke dahan.  Apabila ia (tupai) melompat, ia tidak akan melompat ke dahan yang rendah.  Sebaliknya ia akan berusaha untuk melompat ke dahan yang tinggi.  Ini adalah fitrah tupai.  Andai kata tupai itu tersilap langkah dan tidak berjaya mendarat ke dahan yang tinggi itu, sekurang-kurangnya ia tidak terus jatuh kerana di bawah daripada dahan tinggi itu masih ada dahan rendah yang dapat dituju.

Daripada perumpaan gambaran ini KM dapat simpulkan bahawa apabila kita mengimpikan sesuatu, cuba impikan kejayaan yang besar.  Andai kita tidak mampu mencapainya, sekurang-kurangnya kita masih berjaya mencapai kejayaan yang lebih kurang daripada impian itu.  Namun, jika kita terus berjaya mencapai kejayaan besar itu, maka ia adalah satu keuntungan kepada kita.

2.  Tuliskan impian itu.

Menulis impian adalah sesuatu yang berkait rapat dengan minda.  Apabila kita menulis, kita terus memberi isyarat kepada minda terhadap apa yang kita mahukan.  Ini akan memberi gambaran jelas kepada minda dan minda akan bersedia untuk melaksanakan tugasnya mencapai kejayaan tersebut.

3.  Tetapkan tempoh masa.

Dengan menetapkan tempoh masa, kita sekali lagi memberi isyarat kepada minda terhadap apa yang kita impikan.  Menetapkan tempoh masa haruslah realistik dan bersesuaian dengan impian itu untuk dicapai.  Andai kata kita menetapkan masa itu tidak sesuai, maka pasti kita tidak berjaya untuk mencapainya.  Begitu juga jika tempoh masa terlalu panjang, maka kita akan lebih leka dan lalai untuk melaksanakan apa yang sepatutnya dilakukan.

4.  Buat perancangan.

Perancangan harus dilakukan.  Walau apapun projek atau kerja yang hendak dilakukan, ia harus ada perancangan.  Dengan adanya perancangan, maka minda akan lebih fokus.  Cuba lihat kepada aktiviti kita seharian.  Jika ada perancangan, maka perjalanan aktiviti menjadi lebih teratur dan bersistematik.  Ini akan menyebabkan tindakan kita berfokus kepada apa yang perlu dilakukan dan apa yang tidak perlu dilakukan dalam kehidupan.

5.  Hadapi halangan.

Seperti mana yang KM sebelum ini, setiap kejayaan pasti ada halangan.  Namun, jangan difokuskan kepada halangan itu.  Sebaliknya fokus kepada tindakan untuk menghadapi halangan itu.  Dengan mencari jalan penyelesaian, maka kita akan dapat menghadapi halangan itu.  Cuba gunakan teknik pemikiran yang kritis dan kreatif untuk mengenalpasti halangan dan jalan penyelesaiannya.

Sabtu, 10 September 2011

Perjalanan Menjadi Bintang

Salam kemakmuran buat semua.

Setiap daripada kita pasti mahukan kejayaan.  Kejayaan adalah perkara subjektif.  Ia meliputi pelbagai perkara yang melibatkan keunggulan dan kemenangan terhadap sesuatu.  Jika kita seorang peniaga, kejayaan yang kita impikan tentu sahaja keuntungan hasil daripada perniagaan tersebut.  Ditambah dengan keupayaan untuk mengembangkan perniagaan itu menjadi industri yang lebih besar.  Mungkin itulah kejayaan yang diidamkan bagi seorang peniaga.  Andai kita seorang pelajar, kejayaan mungkin berkaitan dengan kecemerlangan dalam pelajaran dan peperiksaan.

Sukarkah untuk mencipta kejayaan?

Kejayaan akan menjadi sukar jika kita memikirkannya sebagai suatu yang sukar.  Namun, kejayaan akan menjadi mudah jika kita memudahkannya dalam pemikiran kita.  Memang diakui, untuk menjadi bintang dan mengecap kejayaan itu pasti ada halangan.  Namun jangan jadikan halangan itu sebagai pemusnah kepada kejayaan.  Seharusnya, halangan itu menjadi cabaran agar kita menjadi lebih matang dan bersedia untuk menghadapi kejayaan itu.

Jika kita sentiasa memikirkan kesukaran, maka minda hanya memfokuskan kepada kesukaran dan halangan itu.  Ini akan menyebabkan minda disumbat dengan pelbagai kesusahan, kemustahilan, kemunduran dan sebagainya.  Hal ini akan menyebabkan minda membeku dan sukar untuk mencari jalan penyelesaian kepada kesukaran itu. 

Cuba kita fikirkan kejayaan itu sebagai suatu yang menyeronokkan.  Ini akan menjadikan minda lebih hebat dan bersedia.  Keseronokan untuk berjaya akan membuatkan minda berkembang.  Walau apapun halangan dan cabaran yang mendapat, kita pasti akan berusaha untuk menyelesaikannya kerana fokus kita kepada kejayaan, bukan kepada masalah.

Jumaat, 9 September 2011

Renungan Jumaat…

Salam kedamaian buat semua…

Hari ini, KM akan memulakan satu siri catatan berkenaan hari Jumaat.  InsyaALLAH jika diberikan kekuatan daripadaNya, akan KM catatkan perkara dan amalan yang baik pada setiap hari Jumaat untuk tatapan dan amalan kita semua.

Siri Renungan Jumaat kali ini KM mulakan dengan amalan berselawat.  Selawat adalah satu bentuk doa dan puji-pujian kepada Baginda Rasulullah s.a.w.  Melalui berselawat, kita mengucapkan pujian dan berdoa selamat untuk Baginda.  Amalan ini mungkin tidak asing bagi kita.  Ini adalah kerana kita memang akan sentiasa berselawat kepada Baginda, sekurang-kurangnya semasa bersolat.  Pun begitu, amalan berselawat ini memang sangat tinggi hikmahnya.

Jadikan amalan berselawat ini sepanjang masa.  Melalui berselawat, kita akan sentiasa ingat dan kasih kepada Baginda.  Telah ALLAH janjikan, kepada orang yang sentiasa berselawat (maksudnya sentiasa ingat kepada Rasulullah) akan diberikan bantuan dan syafaat semasa berada di alam kubur dan semasa hari pembalasan.

Ironinya seperti ini, apabila kita sentiasa ingat dan puji kepada seseorang, maka kita akan disayangi oleh orang itu.  Tiada kira sama ada orang itu rakan, apatah lagi jika orang itu majikan kita.  Ini akan mengukuhkan hubungan dua hala antara kita dengan orang yang selalu kita puja itu.

Andainya orang itu orang biasa, sudah memberi kebaikan kepada kita dengan adanya hubungan itu, apatah lagi jika orang yang sering kita ingat dan puji itu adalah Junjungan Besar Rasulullah.  Pasti kita akan mendapat kebaikan yang berlipat kali ganda daripada pujian kepada orang biasa.

Berselawat bukan sekadar menyebut di mulut.  Ia harus hadir terus menusuk ke dalam sanubari.  Ini akan memberikan kenikmatan yang tidak mungkin dapat dihuraikan dengan kata-kata.

Banyakkan berselawat (bermula dari Asar pada hari Khamis) hinggalah ke waktu Asar hari ini.  Pasti hadir rasa kelembutan dalam jiwa kita jika dapat mengamalkannya…

Khamis, 8 September 2011

Kalau Tak Dapat Pun….

Salam kasih sayang daripada KM buat semua….

Setiap daripada kita, pasti ada impian.  Impian adalah sesuatu yang kita tidak miliki, namun kita ingin memilikinya suatu hari nanti.  Pelbagai impian hadir dalam hidup kita dan kita sentiasa berusaha untuk merealiasasikannya.  Setiap daripada impian itu tergambar jelas dalam pemikiran kita.  Itulah salah satu kehebatan minda, kerana kita mampu untuk membayangkan impian itu dalam pemikiran kita. 

Semakin jelas kita dapat membayangkannya, semakin kuat daya tarikan untuk kita memilikinya.

Namun, kadang kala, ada ungkapan yang terhasil daripada kata-kata kita; Kalau dapat ok, KALAU TAK DAPAT PUN TAK APALAH!

Ungakapan ‘kalau tak dapat pun tak apalah’ itulah sebenarnya pemusnah kepada setiap impian kita.  Semasa kita menginginkan sesuatu, kita menghantar isyarat kepada minda untuk memilikinya.  Namun, apabila terdapat ungkapan ‘kalau tak dapat’ itu hadir, maka kita menghantar satu lagi mesej kepada minda bahawa kita sendiri tidak pasti sama ada mahukannya atau tidak.  Seolah-olah, kita masih ragu-ragu sama ada mahukannya atau tidak.  Jika dapat kita mahukannya, jika tak dapat kita abaikannya.

Mesej yang terhantar ini akan memberi maklumat baru kepada minda bahawa kita sebenarnya belum bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang kita impikan.  Jika kita benar-benar mahukannya, pasti kita akan berusaha sehabis daya untuk memilikinya.  Tidak kira apa halangan yang datang, maka kita akan terus berusaha untuk mendapatkannya juga.  Mungkin percubaan pertama dan kedua, kita gagal mendapatkan apa yang kita impikan, namun kita akan terus berusaha dengan cara dan kaedah lain.

Mesej atau apa sahaja maklumat yang sampai kepada minda adalah apa yang kita mahukan.  Jika kita mahukan impian itu berjaya, maka kita harus terus menghantar mesej, berusaha, dan pastinya berdoa kepada ALLAH untuk merealisasikan impian itu.  Jangan campur adukkan mesej apa yang kita mahukan itu dengan mesej-mesej kegagalan.  Jika ini berlaku, maka ia memberi kekeliruan kepada minda sama ada kita mahukannya atau tidak.

Selasa, 6 September 2011

Rahsia Pembuka Pintu Rezeki

Salam kedamaian buat semua.

Sebuat entry pendek sahaja daripada KM hari ini, kerana KM masih dan sedang melaksanakan aktiviti luar.

Bercakap tentang rezeki, semua orang tahu bahawa rezeki adalah milik ALLAH dan DIAlah yang mengurniakannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.  Harus diingat bahawa rezeki bukan hanya sekadar wang ringgit dan harta benda, rezeki meliputi apa sahaja yang diperlukan oleh manusia dalam kehidupan ini.  Hatta, sebuah parking sekalipun!

Pernah sekali, sewaktu KM bersama dengan seorang rakan di sebuah bandar, sedang mencari-cari parking untuk ke sebuah bank kerana urusan.  Tiba-tiba ada sebuah kereta yang hendak keluar dan dapatlah kami memiliki parking yang kosong itu.  Lantas KM merasa bersyukur sekali dan mengucapkan alhamdulillah.  Teman KM itu bertanya, kenapa perlu ucapkan syukur?  Bukan dapat duit ke, makan ke,….

Di situlah konsep rezeki yang perlu kita fahami dengan jelas.  Rezeki bukan sekadar duit, harta, atau makanan.  Rezeki ALLAH sangat luas dan mewah untuk kita nikmati.  Dengan mudahnya mendapat parking itu juga adalah rezeki ALLAH.  Andai kata kami mendapat parking yang jauh, atau langsung tiada hingga beberapa lama, tentu sahaja banyak pekerjaan lain yang terganggu.  Namun, dengan kehendak dan rahmatNya, tiba-tiba sahaja sewaktu melalui kawasan itu, ada kereta yang hendak keluar.  Maka itulah rezeki bagi kami….Dan kita perlu faham dan jadikan ia sebagai rasa kesyukuran tentang ‘rezeki parking’ tersebut.

Ada 5 amalan yang biasanya diamalkan oleh tuan-tuan guru yang diajarkan kepada KM, perihal membuka pintu rezeki.  Mungkin kita semua dapat jadikan sebagai amalan harian dan terus menjadi asbab untuk mendapat kemurahan rezeki yang pelbagai daripada ALLAH.  Amalan tersebut adalah :

  1. Beribadat malam
  2. Mengucapkan istighfar pada 1/3 malam ( awal subuh, jadikan zikir )
  3. Banyakkan berzikir pada pagi dan petang
  4. Sentiasa bersedekah
  5. Sentiasa mengucapkan syukur atas setiap suatu nikmat yang diterima (walaupun sekecil mana)

Jumaat, 2 September 2011

Menulis untuk apa….?

Salam kasih sayang….

tulis blog

Masih berhari raya?  Jika ya, maka KM ingin mengucapkan selamat berhari raya.  Sebenarnya, dalam Islam ada dua hari raya yang paling utama, Hari Raya Aidil Fitri, dan Hari Raya Aidil Adha.  Pada hakikatnya, hari raya Aidil Fitri hanya disambut sehari sahaja manakala hari raya Aidil Adha adalah selama empat hari.  Namun, oleh kerana kebiasaan manusia yang sentiasa mahukan keindahan, kebahagiaan, dan keseronokan, maka hari ini kita dapat lihat masyarakat Islam di Malaysia menyambut hari raya hingga sebulan lamanya.  Tak pe lah, janji ia tidak menjejaskan amalan kita yang lain, dan terlalu berlebih-lebih sangat.

Pada hari raya yang lalu, KM telah bertemu dengan seorang sahabat lama yang sudah lama tidak bersua muka.  Alhamdulillah, dia kelihatan semakin hebat dan berjaya sekarang.  Satu yang menarik dalam pertemuan itu adalah, sahabat ini telah bertanya kepada KM tentang blog ini.  Oh, rupanya dia telah sekian lama mengikuti catatan penulisan KM di sini…!

Sahabat KM ini bertanya, kenapa perlu tulis blog?  Jawab KM, menulis adalah salah satu hobi.  Selain itu, menulis adalah ruang untuk kita meluahkan pandangan dan pendapat tentang sesuatu.  Tambahan pula, sekarang sudah ada blog, iaitu ruangan untuk sesiapa sahaja menulis.  Andai ada yang membaca blog kita, maka kita telah berkongsi pandangan tentang sesuatu dengan orang lain.  Malah, kekadang pandangn itu boleh dibincang dan diperdebatkan.  Namun, andai tiada yang membaca penulisan blog itu, anggapkan sahaja ia adalah satu bentuk catatan minda kita di ruangan ini.

Apa yang pasti, apabila kita menulis dan terus menulis, dalam masa yang sama, kita telah menjana dan melatih minda untuk bekerja.  Menulis bukan seperti aktiviti lain seperti makan, bersukan, dan sebagainya.  Menulis perlu melibatkan aktiviti minda yang bergerak dan terus bekerja.  Untuk itu, minda telah diaktifkan semasa penulisan berlaku.  Biar apa sahaja yang kita tulis, atau bagaimanapun caranya; menulis menggunakan pena atau menaip, ia tetap berjaya menjana pergerakan minda.

Adakah persamaan keaktifan minda selain dari menulis?  Jawapannya ada.  Aktiviti seperti melukis, mengikur, mencipta sesuatu, dan berkarya adalah aktiviti minda yang sama aktifnya dengan menulis.  Dalam erti kata yang lain, apabila kita melakukan sesuatu untuk menghasilkan sesuatu yang memerlukan minda bekerja, maka kita telah berjaya mengaktifkan minda kita.

Minda yang sentiasa aktif, akan menjadikan diri kita lebih ‘hebat’.  Minda yang sentiasa aktif, akan menjadikan diri kita lebih bijak dan matang.  Malah yang paling utama, minda yang aktif itu adalah lambang bahawa kita akan menjadi khalifah yang lebih berkualiti dalam melaksanakan tugasan kita di sini….