Khamis, 31 Mac 2011

Pujian kepada yang berhak…

Salam penuh kemesraan…

Pertama sekali, aku ingin mengucapkan terima kasih kepada bro Ben @ Ben Ashaari kerana telah mewar-warkan kewujudan blog ini.  Kelmarin, setelah menulis catatan berkenaan dengan berhenti bercakap, tetiba banyak pula yang memberi komen.  Dan aku pasti ini mungkin ada kaitannya dengan promosi daripada sahabat blogger yang lain.  Rasaku tidak tersilap apabila aku membuka blog bro Ben dan mendapati link blog ini terpapar di sana.  Terima kasih sekali lagi….sesungguhnya bro Ben adalah seorang blogger yang sangat hebat dan punya idea penulisan yang sangat menarik.  Beliau memang sangat dihormati dan terus menjadi sumber inspirasi kepada semua blogger.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Pujian, adalah satu perkara yang dilakukan untuk menunjukkan rasa seronok dan bahagia kita kepada kehebatan orang lain.  Apabila orang yang berada di hadapan kita melakukan sesuatu yang hebat, maka berikanlah pujian.  Melalui pujian ini, akan merangsangkan hubungan yang lebih baik dan kukuh.  Namun harus diingat, pujian haruslah ikhlas dan bersahaja.  Jangan terlebih hingga menyebabkan pujian bertukar menjadi kejian.

Bagi ibu bapa dan guru, pujian harus sentiasa diberikan kepada anak-anak.  Jika kanak-kanak itu melakukan sesuatu kebaikan atau kejayaan tertentu, maka janganlah lokek untuk memberi pujian.  Seharusnya pujian diberikan sejurus kebaikan itu berlaku.  Jika kebaikan itu berlaku tiga hari yang lalu, dan baru hari ini diberikan pujian, maka ia sudah kurang keunikan dari segi rasa dan kebahagiaannya.  Seelok-eloknya pujian harus disegerakan.

Apabila ibu bapa atau guru memberi pujian kepada kanak-kanak, pada ketika ini minda kanak-kanak akan berkembang menjadi lebih hebat.  Ini adalah kerana kita telah berjaya merangsang emosi dan perasaannya terhadap sesuatu.  Rangsangan ini akan dikaitkan dengan kebaikan yang dilakukan oleh mereka.  Ini akan mengukuhkan lagi tindakan kebaikan yang mereka lakukan dan minda akan menerimanya sebagai suatu perkara yang penting dalam kehidupan.

Contohnya apabila seorang kanak-kanak melakukan solat,  ibu dan bapanya terus memberikan pujian.  Pada ketika itu, emosi kanak-kanak tersebut akan mekar dan mindanya akan menerima pujian itu dan membentuk satu hukum (dalam pemikirannya sendiri) bahawa jika dia sentiasa bersolat maka ibu dan bapanya akan lebih menyayanginya.  Keadaan ini akan menyebabkan kanak-kanak tersebut menjadi lebih dekat dengan aktiviti solat kerana mindanya telah dirangsang dengan cukup hebat semasa pujian diberikan.

Puji-pujian yang diberikan haruslah sesuai dan tidak keterlaluan.  Apa yang paling penting, hanya DIAlah sahaja yang sebaik-baik pujian yang perlu kita berikan.

Rabu, 30 Mac 2011

Berhenti Bercakap…

Salam hormat…

tutup

Gambar daripada internet 

Pernah berjumpa, dan bersahabat dengan orang yang ‘banyak cakap’?

Bagi diriku sendiri, aku ada beberapa orang kenalan yang dikategorikan sebagai orang yang banyak cakap.  Dari satu segi, individu seperti ini dikatakan bagus kerana mereka sangat mesra dan kekadang terlebih mesra.  Namun, dari satu segi yang lain, mereka ini dianggap keterlaluan.

“Bercakap apabila kita tahu, dan diam apabila kita berfikir.”

Kata-kata di atas kuterima daripada Aki (arwah).  Menurut Aki, jika kita sudah tahu sesuatu, maka bercakaplah.  Bercakap di sini adalah untuk menerangkan sesuatu, menjelaskan apa yang kita tahu, supaya pengetahuan itu dapat disampaikan.  Namun, jika kita tidak tahu, maka diamlah untuk berfikir.  Semasa kita diam (tidak bercakap-cakap) barulah menunjukkan yang kita sedang memikirkan sesuatu.

Tambah Aki…

Menjadi sangat malang apabila orang yang tidak tahu juga sibuk hendak bercakap.  Seolah-olah menunjukkan yang dia tahu, sedangkan dia tak tahu.  Keadaan ini sebenarnya semakin menunjukkan yang mereka tidak tahu apa-apa (bahasa kasarnya; BODOH)  Namun, jika mereka tidak tahu dan mereka berdiam, orang di sekeliling akan lebih menghormati mereka.  Sekurang-kurangnya mereka tidak dianggap syok sendiri kerana terus berkata-kata sedangkan perkataan yang mereka tuturkan itu semuanya hampas belaka…

Selasa, 29 Mac 2011

Jauhkan pemikiran negatif

Salam penuh kasih sayang…

tsunami 

Gambar daripada internet

Sepanjang mengkaji tentang psikologi dan sains kuasa minda, aku sangat mementingkan penerangan berkenaan dengan pemikiran positif.  Pemikiran positif adalah kunci kepada mencipta keupayaan kuasa minda yang sangat hebat dalam diri manusia.  Semakin kuat pemikiran positif yang berjaya dipupuk dan disemadikan dalam diri kita, semakin kuatlah pancaran positif berlaku.  Pancaran ini akan menerawang ke alam dan menarik getaran yang sama dengannya mendekati pemancarnya (diri kitalah pemancar tersebut).  Jika ini berlaku, maka apa yang diusahakan akan menjadi lebih mudah dan berjaya (pasti sahaja dengan kehendak dan keredhaanNya)

Namun, dalam dunia ini ada pasangan masing-masing.  Jika malam bersama siang, panas dengan sejuk, terang dengan gelap, maka positif juga ada pasangannya iaitu NEGATIF!

Konsepnya adalah sama.  Jika kita memancarkan pemikiran negatif, maka perkara-perkara negatiflah yang akan ditarik kepada kita.  Getaran negatif dikatakan lebih kuat daripada positif.  Oleh itu, berhati-hatilah, kerana walau sedikit difikirkan, ia memberi kesan yang sangat kuat.  Pemikiran negatif umpama tsunami.  Jika sekali ia melanda, maka ia bisa memusnahkan kota yang sekian lama tersergam gah!

Orang yang sering perfikiran positif adalah orang yang lebih tenang, harmoni, mudah bergaul, dan jarang merasa tertekan dengan suasana sekeliling.  Bagi mereka, setiap halangan yang mendatang akan dihadapi dengan rasional.  Untuk menghasilkan pemikiran positif, maka kita perlu berlatih sentiasa.  Ketenangan diri dan emosi adalah kuncinya. 

Berbeza dengan pemikiran negatif yang terjadi kepada orang yang mudah terganggu.  Bagi orang yang sering berfikiran negatif, setiap sesuatu masalah adalah perkara yang sangat bermasalah hinggakan ia mencipta lebih banyak masalah.  Kesannya, kehidupan mereka menjadi lebih bermasalah dan tidak menentu.

Isnin, 28 Mac 2011

Macam Aku Kenal Tapi…

Salam penuh kebahagiaan…

“Macam aku kenal, tapi di mana ye?”

Ungkapan dialog ini sudah biasa kita dengar.  Apa yang menyebabkan dialog seperti ini diucapkan?  Ia berlaku adalah kerana kita tidak berjaya mengingati semula nama seseorang yang mungkin pernah kita kenal suatu masa dahulu.

Otak manusia adalah gedung penyimpanan maklumat.  Kita mampu untuk menyimpan berbillion maklumat dalam satu masa.  Salah satu jenis maklumat yang dimaksudkan adalah nama dan wajah seseorang. 

Untuk melakukan penyimpanan maklumat secara kekal, kita perlulah mengenali dan berkenalan rapat dengan seseorang itu.  Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengenali dengan lebih rapat dan sekaligus memudahkan otak menyimpan maklumat seseorang itu.  Antaranya ;

  1. Perhatikan matanya

Semasa memulakan perbicaraan dan sepanjang perbualan dengan seseorang yang baru kita kenali, pandanglah matanya.  Namun, jangan ditenung.  Perbuatan memenung akan menyebabkan seseorang yang baru hendak dikenali akan merasa tidak selesa.  Apa yang boleh dilakukan adalah dengan memerhati kepada salah satu mata orang yang di hadapan kita.  Jika kita memandang ke mata kirinya, maka teruslah pandangan ke mata kiri sahaja tanpa menukar-nukar ke arah mata yang lain.  Keadaan ini akan ‘menjalinkan’ satu bentuk hubungan antara diri kita dengan diri orang yang baru kita kenali itu.

    2.  Perhatikan keunikannya

Setiap daripada kita pasti ada keunikan tersendiri.  Cuba perhatikan keunikan tertentu yang ada pada orang yang baru kita kenali.  Mungkin keunikan yang ada adalah dari segi bentuk muka, kecantikan lesung pipit atau senyumannya, tahi lalat yang menawan, cara bercakap dan berjalan, dan sebagainya.  Apabila kita dapat mengenalpasti keunikan tertentu yang ada pada seseorang itu, maka kita akan dapat mengingati orang itu dengan lebih mudah pada masa akan datang.

    3.  Sebut namanya

Semasa berbual dan berkenalan dengan seseorang yang baru dan asing, maka sebutlah namanya.  Semasa menyebut dan memanggil nama seseorang yang baru kita kenali akan membuatkan kita dapat mengingat nama dan wajahnya dengan lebih mudah.

Ahad, 27 Mac 2011

Bercakap Dengan Diri Sendiri

Salam penuh kemakmuran…

Aku menulis catatan ini setelah pulang daripada satu aktiviti pendidikan luar.  Sepanjang minggu yang lalu, aku berkampung di Setiu kerana menguruskan satu aktiviti Perkhemahan dan Ujian Kenaikan Pangkat TKRS Peringkat Negeri Terengganu.  Dalam perkhemahan ini dikumpulkan pasukan terbaik dari setiap daerah di negeri Terengganu untuk melaksanakan ujian kenaikan pangkat, bermula dari 23 hingga 26 Mac yang lalu.

Ujian yang dilaksanakan adalah seperti ujian bertulis, ujian kawad kaki berkumpulan dan individu, ujian orientering, ujian bantu mula, ujian kecergasan dan aktiviti air.  Aku dapat perhatikan, setiap peserta bersungguh-sungguh dalam melaksanakan setiap ujian kerana ujian ini akan menentukan sama ada mereka layak untuk dinaikkan ke pangkat Sarjan TKRS atau hanya kekal sebagai Koperal TKRS.

Apa yang menarik perhatianku adalah tindakan salah seorang daripada peserta yang sering bercakap sendiri.  Pada mulanya aku terpandang peserta itu yang sering terkumat-kamit, kemudian matanya terpejam, kadang-kala aku melihat dia bertepuk tangan dan menggenggam tangannya dengan bersemangat.  Aku cuba mendekatinya tanpa disedari.  Sampai satu ketika, aku dapat menghampirinya dari belakang.  Aku mendengar samar-samar kata-kata yang diucapkan.  Rupanya dia bercakap dengan dirinya sendiri.  Dia berkata-kata seperti memberi semangat kepada dirinya sebelum sampai gilirannya untuk melaksanakan ujian.  Kemudian dia bertepuk tangan seolah-olah bergembira dan memejamkan mata; mungkin membayangkan kejayaan yang dikatakan tadi.

Mengikut ilmu sains kuasa minda, aktiviti ini adalah satu perkara yang dilakukan untuk menaikkan semangat dan menguatkan mental.  Dengan kata-kata semangat yang diberikan kepada diri sendiri, kita telah membentuk satu getaran perasaan yang sangat hebat.  Keadaan ini menghasilkan rasa dalam diri bahawa kita mampu untuk melakukannya.

Perbuatan bertepuk tangan juga akan menghasilkan getaran itu.  Apabila bertepuk tangan, memberi isyarat tentang kejayaan.  Maka selepas berkata-kata dengan diri sendiri dan bertepuk tangan, kita telah membentuk rasa berjaya.

Memejamkan mata boleh dikaitkan dengan aktiviti visualisasi.  Visualisasi atau gambaran mental adalah aktiviti otak yang dilakukan untuk menghasilkan gambaran kejayaan yang diinginkan.  Otak akan menghasilkan imej dan gambaran visual seperti berjaya menghasilkan sesuatu ujian.

Dalam perkhemahan dan ujian ini, seramai 57  orang daripada 317 orang peserta, telah berjaya dinaikkan pangkat kepada Sarjan TKRS.  Dan salah seorang daripadanya adalah peserta yang aku maksudkan itu.

Tahniah kepada semua peserta, dan semoga berjaya pula di peringkat kebangsaan nanti yang akan dilaksanakan di Negeri Sembilan tidak lama lagi.

Rabu, 23 Mac 2011

Histeria dan minda manusia ~ 2

Salam kemakmuran…

Menurut pakar psikologi dan pengkaji paranormal, histeria boleh berlaku dalam dua keadaan.  Terjadi akibat tekanan dan gangguan.  Tekanan perasaan yang berlaku kepada seseorang seperti tekanan akibat kerja, masalah peribadi, pergaduhan dan sebagainya akan menyebabkan pemikiran manusia berada dalam keadaan bercelaru.  Kecelaruan ini akan menyebabkan tubuh menjadi lemah dan mudah dimasuki jin.  Apabila ini berlaku, maka histeria akan menyerang.  Gangguan pula adalah berpunca daripada salah menuntut ilmu yang bertentangan dengan syariat Islam hingga menyebabkan jin mudah menjadi pendamping.  Keadaan ini juga boleh menyebabkan berlakunya histeria.

Apa kaitannya dengan minda manusia?

Perkaitannya, apabila minda kita ‘letih’ (masalah yang banyak menyebabkan minda letih) atau tersasar (ilmu yang bertentangan) akan menyebabkan minda tidak dapat berfungsi dengan normal.  Keadaan ini akhirnya mempengaruhi ‘kekuatan diri’.  Diri yang lemah, membolehkan jin masuk ke dalam badan seseorang yang menggunakan badan manusia sebagai medium pergerakannya.

Jin boleh masuk ke dalam badan manusia melalui beberapa tempat seperti melalui mulut, hidung, telinga, atau melalui ibu jari kaki dan tangan.  Apabila sudah masuk dan berada dalam pembuluh darah, maka tindakan utamanya adalah menguasai otak.  Otak adalah medan utama setiap tindakan manusia.  Oleh itu, apabila otak telah dikuasa maka setiap pergerakan tubuh manusia yang dirasuk itu telah dikuasai oleh jin.  Mungkin kita pernah melihat beberapa situasi seperti orang yang dirasuk itu memiliki kekuatan yang luar biasa hingga mampu menumbuk dan menendang dengan kuat.  Ada yang lebih membahayakan seperti menggigit ibu jadi sendiri dan menghisap darah yang mengalir.  Pada ketika itu, bukan tindakan orang yang dirasuk yang mahu menghisap darahnya sendiri, sebaliknya adalah tindakan daripada jin yang menguasai tubuhnya.

Isnin, 21 Mac 2011

Histeria dan minda manusia

Salam penuh kedamaian…

Aku ingin mencatat suatu perkara yang berlaku semalam.

merpati Gambar daripada internet

Malam tadi, sekitar jam 9:30 malam, aku yang sedang menyiapkan beberapa laporan tugasan di rumah telah menerima satu panggilan telefon.  Panggilan itu daripada seorang guru perempuan yang bertugas mengajar kelas malam pada malam tadi.  Jelas kedengaran suaranya yang ketakutan.  Katanya, ada budak diserang histeria..!  Lantas, aku bergegas ke sekolah untuk memantau keadaan. 

Setibanya aku di sekolah, keadaan telah tenang.  Kelas diteruskan namun dalam keadaan yang masih panik.  Beberapa orang murid (mangsa) kelihatan masih berehat.  Aku menemui guru yang menelefon aku untuk mendapatkan cerita yang lebih jelas.  Katanya, semasa beberapa orang murid perempuan ke tandas, mereka terpandang tuala wanita yang dibuang secara semberono.  Apa yang lebih menakutkan mereka adalah kehadiran dua ekor burung merpati yang sedang terbang berpusing-pusing mengelilingi ‘barang’ tersebut.  Selepas daripada itu, mereka semua terus menjerit-jerit dan tidak sedarkan diri.

Aku terus ke tandas yang dimaksudkan dan memang ada dua ekor merpati kelabu yang masih mengelilingi ‘barang’ itu (seolah-olah seperti sedang mengawalnya).  Aku kembali ke kelas untuk mencari penyapu.  Tujuanku adalah untuk cuba membuang ‘barang’ tersebut.  Aku kembali semula ke tandas dan mendapati kedua-dua ekor burung merpati itu sudah tiada.  ‘Barang’ tersebut aku alihkan dan buang dengan ‘lebih teratur’.

Ke mana perginya kedua-dua merpati tadi?

Apakah yang menyebabkan murid-murid yang terlibat itu terkena histeria?  Adakah ianya suatu mainan minda yang menakutkan sahaja?

Ahad, 20 Mac 2011

Berat Kepala…

Salam kemesraan buat semua…

tekanan Gambar daripada internet

Ada seorang rakanku berkata ‘aku berat kepala sekarang…’

Maksudnya ; dia tengah serabut.

Istilah berat kepala digambarkan dengan minda yang sesak, sukar untuk melaksanakan tugas yang banyak dan bertimbun-timbun kerana banyak berfikir, jiwa yang tidak tenang dan sebagainya.

Apa yang penting di sini adalah, minda memang ada kaitannya dengan jiwa.  Apabila jiwa tidak tenang kerana sesuatu (kerja, tugasan, masalah peribadi, tekanan belajar dsb) maka pasti minda tidak dapat berfungsi dengan baik dan lancar.

Oleh itu, tenang-tenangkan jiwa kita.  Pasti kepala tidak lagi serabut, tidak lagi berat.  Minda akan dapat berfungsi dengan baik dan damai.

Bagaimana mahu menenangkan jiwa?

-  Teknik pernafasan sempurna.

-  Solat / Berzikir.

-  Berada di tempat yang menyenangkan.

-  Senyum.

-  Terapi air.

Sabtu, 19 Mac 2011

Sedekah Kerana ALLAH…~ 2

Salam keceriaan buat semua….

Berbicara tentang sedekah mengingatkan aku kepada sebuah hadis nabi.  Maksudnya lebih kurang begini ;

Apabila mati seseorang itu maka terputuslah semua amalannya kecuali 3 perkara iaitu (1) doa anak yang soleh, (2) ilmu yang bermanfaat, dan (3) sedekah jariah.

Ini menjelaskan, walaupun kita telah meninggal, pahala amalan sedekah itu akan terus berkekalan dan menjadi penyumbang kepada modal kita di sana.  Suatu masa dahulu, aku pernah bertanya dengan Aki (datukku), bagaimana amalan sedekah jariah itu dapat memberi kebaikan yang berterusan, sedangkan kita hanya melakukannya sekali sahaja.

Aki memberi contoh begini ;

Apabila masjid di kampung kami rosak sedikit di bahagian tepi (akibat ditimpa pokok yang tumbang), maka ramailah yang memberi sedekah dan sumbangan untuk membaiki masjid tersebut.  Wang yang ada digunakan untuk membeli atap, paku, kayu, dan sebagainya.  Maka dapatlah jemaah di kampung itu menunaikan solat semula di masjid tersebut. 

solat berjemaah

Kata Aki, di sinilah pahala berkali-kali ganda itu akan bermula.  Apabila rosak, jemaah merasa susah untuk bersolat di situ.  Masjid pun mungkin akan mengalami kerosakan yang lebih banyak apabila dimasuki air hujan.  Namun, dengan sedekah yang diberikan oleh orang kampung dan masjid itu berjaya dibaiki, maka memberi kesenangan kepada orang kampung.  Selagi mana kesenangan itu dapat dirasai, maka selagi itulah pahala akan terus mengalir masuk ke dalam ‘akaun’ si pemberi sedekah tadi.

Inilah gambaran sedekah dan pahalanya yang diberikan oleh Aki.  Aku yang ketika itu masih kanak-kanak, antara faham dengan tidak.  Namun sekarang aku sudah faham.

Suatu ketika dahulu, aku pernah terbaca penerangan berkenaan dengan sedekah ini ;

Apabila seseorang itu meninggal, jasad itu akan mula didatangi oleh dua orang malaikat yang akan menyoalnya setelah orang-orang yang mengkebumikannya meninggalkan kawasan perkuburan.  Dua malaikat itu akan datang melalui atas kepala jasad namun terhalang oleh satu pelindung.  Kata pelindung itu, ‘jangan kau ganggu jasad ini kerana dia mengerjakan solat dan aku adalah solat yang dikerjakannya dahulu’

Maka bergeraklah dua malaikat itu ke sebelah kanan namun turut terhalang.  Halangan sebelah kanan mayat adalah melalui amalannya berpuasa.

Bergerak pula malaikat ke sebelah kiri namun terhalang dengan amalan zakat.

Dan akhir sekali kedua malaikat itu cuba datang daripada arah kaki.  Ketika itu keduanya turut terhalang dengan satu bentuk pelindung.  Kata pelindung itu, ‘jangan kau ganggu jasad ini kerana ia melakukan sedekah dan aku adalah sedekah yang dilakukannya dahulu’.

Maka akhirnya duduklah dua malaikat tadi di hujung kepada sambil berseru agar jenazah itu duduk kekal abadi di situ hingga hari kiamat kerana terselamat dek semua amalannya di dunia.  Bersyukurlah jika kita berjaya melaksanakan semua amalan yang dituntut dan amalan itu berjaya menjadi pelindung kita nanti, dan salah satu daripadanya adalah sedekah…  

Jumaat, 18 Mac 2011

Sedekah Kerana ALLAH…

Salam penuh kasih sayang, semoga kita semua terus mendapat rahmat ALLAH Taala…

sedekah Gambar daripada internet

Sedekah, adalah salah satu bentuk amalan yang dianjurkan dalam Islam.  Bersedekah adalah memberikan apa yang lebih daripada kita kepada orang lain yang memerlukan.  Dalam konteks asasnya, sedekah digambarkan sebagai memberikan sumbangan kewangan kepada seseorang atau institusi.  Pastinya, perkara yang baik dengan niat yang baik akan dibalas dengan ganjaran yang baik juga.

Dalam ilmu sains kuasa minda, sedekah adalah salah satu bentuk perkara baik yang akan menarik kebaikan.  Konsepnya mudah, apabila kita memberi maka kita telah membentuk dalam minda kita bahawa kita mampu.  Mampu di sini bererti kita memiliki kekayaan yang boleh dikongsikan dengan orang lain.  Lantaran itu, wujud rasa kemampuan dan kekayaan itu dalam minda.  Hal ini akan menyebabkan getaran rasa dalam diri tentang kekayaan yang boleh dikongsi itu.  Apabila ada rasa getaran kekayaan itu, maka kekayaan yang lebih besar akan ditarik kepada kita. 

Cuba kita perhatikan dengan mudah dan jelas, apabila kita memberi derma atau sedekah kepada sesiapa (contoh paling mudah menderma untuk masjid pada hari Jumaat), adakah kita akan merasa kekurangan dalam diri?  Adakah kita akan merasakan kurang RM10 dalam nilai pendapatan kita hari ini jika kita menderma atau bersedekah?

Rasanya, perasaan itu tidak akan wujud, jika kita bersedekah kerana ALLAH.  Rasa yang ada adalah rasa yang sangat harmoni dalam diri yang sukar untuk kita jelaskan.  Malah, sedar atau tidak, rezeki yang kita ada pasti akan bertambah setiap kali selepas kita bersedekah.  Rezeki yang dimaksudkan bukan hanya dari segi wang ringgit, malah meliputi segalanya.  Contohnya ada yang mengundang untuk makan bersama, bertemu dengan kenalan yang sudah lama terpisah dan akhirnya melalui pertemuan itu kita mendapat tender baru, terelak daripada musibah dan bencana, dan sebagainya.  Semua contoh di atas kuberikan berdasarkan pengalamanku sendiri.  Itulah contoh rezeki bertambah kesan daripada kita bersedekah.

Persoalannya sekarang, amalan ini harus berlaku dengan niat kerana ALLAH.  Berapa ramai antara kita yang mampu untuk merasakan apa yang kita sedekahkan itu untuk ALLAH dan kerana ALLAH. 

Hal ini aku nyatakan kerana satu peristiwa yang berlaku pagi tadi.  Kejadian berlaku di hadapan sebuah bank di bandar tempat aku tinggal sekarang.  Di kawasan itu terdapat dua buah bank yang terletak berhadapan antara satu sama lain.  Yang memisahkan kedua-duanya adalah sebatang jalan utama yang agak sibuk.  Di hadapan bank yang aku maksudkan tadi ada seorang lelaki berpakaian baju Melayu dan berserban.  Usianya dalam lingkungan 30-an.  Dia duduk di situ dengan tong peti derma untuk memungut bantuan mendirikan masjid.  Apa yang menarik perhatianku adalah tindakannya yang agak ‘memaksa’ untuk orang yang keluar daripada bank itu untuk menghulurkan derma.  Malah ada yang diekori hingga beberapa meter sambil terus merayu dan memujuk.  Ada yang akhirnya ‘terpaksa’ memasukkan derma kerana terus diekori dan dipujuk.

Di sinilah persoalannya.  Adakah orang yang akhirnya memasukkan wang ke dalam tong derma itu menderma dan bersedekah kerana ALLAH, atau kerana terpaksa?  Pernahkah ia berlaku kepada anda?

Apa yang lebih menarik lagi adalah tindakan seorang lelaki yang agak berumur yang memarahi tindakan lelaki pengutip derma itu.  Dari jauh aku memerhati dan mendengar lelaki tua itu memarahi dan tidak setuju dengan cara lelaki pengutip derma itu.  Kata lelaki tua itu, dia telah menderma semasa berada di bank di seberang jalan tadi kepada lelaki itu, dan sekarang apabila dia berada di bank ini, lelaki itu masih meminta-minta tanpa rasa segan dan silu. 

Selepas kejadian itu, lelaki pengutip derma itu terus beredar ke kawasan parking kereta (di bahagian belakang bank).  Entah kenapa, aku masih mengekori lelaki itu dan memerhati dari jauh.  Lelaki itu tiba di kereta dan bersamanya di dalam kereta itu 3 orang lagi rakannya yang turut berpakaian sama.  Pada andaianku pastinya mereka juga pemungut derma yang berada di kawasan sekitarnya.  Apabila mereka terpandang aku yang sedang memerhati dari jauh, mereka pantas beredar dari situ.

Kejadian ini benar-benar membuatkan aku terfikir.  Pertama, ikhlaskah kita bersedekah jika terus dipanta dan ditunggu di hadapan bank?  Kedua, kenapa kumpulan lelaki itu beredar pantas sambil memandang-mandang aku dengan penuh curiga apabila menyedari aku memerhatikan mereka?

Apapun, aku harapkan mereka semua benar-benar memungut derma untuk membina masjid dan semoga terus mendapat berkat daripada ALLAH kerana pengorbanan mereka itu.  Aku juga berharap agar sedekah dan derma daripada orang ramai akan terus mendapat limpah rahmat daripada ALLAH walaupun kekadang secara terpaksa untuk menderma…

Selasa, 15 Mac 2011

Percaya dan Yakin ~ 3

Salam kebahagiaan buat semua…

Hari ini aku ingin menceritakan dua kisah yang pernah aku lalui yang ada kaitannya dengan ‘percaya dan yakin’.

Cerita 1

silat dengan api Gambar daripada internet

Kisah ini berlaku semasa aku kecil lagi.  Pada waktu itu umurku dalam lingkungan enam atau tujuh tahun.  Aku tinggal dan dijaga oleh datukku (kupanggil aki) kerana pekerjaan bapaku sebagai tentera yang perlu sentiasa bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain secara kerap.  Memang kehidupan aku bersama dengan aki dan opah sangat bahagia.  Aku sangat dimanjakan opah…  Namun aki sangat tegas dalam mendidik.  Walaupun tegas, namun dia masih sangat lembut dan mendidik dengan cara yang berhemah.

Aki seorang guru silat dan guru Al-Quran di kampung itu.  Setiap petang kanak-kanak di kawasan itu akan memenuhi ruangan rumah untuk belajar mengaji.  Pada sebelah malamnya pula selepas Isyak membawa ke lewat malam, halaman rumah akan dipenuhi oleh anak-anak muda untuk belajar silat.  Pada ketika itu, aku belum dibenarkan belajar silat bersama-sama mereka.  Kata Aki, aku masih terlalu kecil.  Pun begitu, aku dibenarkan untuk berada di gelanggang. 

Cerita bermula apabila ada seorang guru silat (aku tidak ingat namanya dan kampungnya) datang ke rumah Aki dan mencabar Aki.  Guru silat yang angkuh itu mendakwa dia memiliki kekebalan kerana memakai sejenis tangkal dari dunia makhluk halus.  Dengan mata kepalaku ini, aku dapat menyaksikan sendiri bagaimana beberapa orang pengikutnya menetak berkali-kali seluruh badan guru silat itu.  Namun, tiada sebarang luka yang kelihatan.  Guru silat itu berkata bahawa tiada siapa dapat melukakannya walau dengan apa cara sekalipun.  Berkali-kali dia mencabar Aki untuk melakukan sesuatu agar dia terluka.  Setelah didesak dan dipaksa berkali-kali, maka Aki bersetuju untuk menikamnya.  Aku sangat pasti tentu sahaja tikaman Aki tidak berkesan apa-apa kerana kehebatan yang sudah jelas dipertontonkan tadi.

Dengan tenang aku lihat Aki membacakan sesuatu ke semangkuk air dan dicelupkan kerisnya.  Sambil ketawa angkuh, guru silat tadi meminta Aki menikamnya di mana-mana sahaja anggota badannya.  Aki lihat Aki menikam di bahagian lengan kanan guru silat itu.  Tanpa disangka, guru silat tadi menjerit dan meraung.  Keris Aki jelas terpacak dilengan guru silat itu.  Dipendekkan cerita, guru silat itu dan pengikutnya pulang semula ke tempat mereka setelah gagal dalam menunjukkan kehebatan kekebalan mereka.

Aku bertanya kepada Aki, apa yang dibaca pada mangkuk air sebelum dicelupkan keris yang digunakannya itu.  Kata Aki, dia membacakan ‘Bismillah hirrahmanir rahim’.

Cerita 2

Sewaktu mula-mula bergelar guru dahulu, aku ditempatkan di sebuah kawasan pedalaman di negeri Pahang.  Kawasan itu adalah kawasan penempatan orang Asli.  Biasanya, orang Asli di kawasan itu memang sangat kuat dengan pegangan dan kepercayaan mereka, baik dari segi corak hidup, budaya, mahupun agama.  Bagi mereka, guru-guru yang datang hanyalah sekadar orang yang akan datang dan pergi, saling bertukar ganti apabila tiba masanya.  Bukan bermaksud mereka tidak menghormati guru, namun bagi mereka guru seperti ‘orang luar’ dan mereka perlu melayan guru sebagai orang luar.

Sifat mereka yang terlalu ‘berhati-hati’ dengan ‘orang luar’ ini memang perlu untuk menghadapi cabaran kehidupan mereka yang kian terhimpit.  Namun, sikap mereka kekadang menjengkelkan.  Bagi kami, seolah-olah semuanya serba tidak kena.  Pandangan mereka kepada kami seperti datang membawa bencana kepada masyarakat mereka (tidak semua, hanya sebahagian daripada mereka berpandangan begitu). 

Suatu hari, ada sebuah keluarga mendapat musibah, anak kecil keluarga itu yang berusia 3 tahun diserang demam panas yang agak lama.  Beberapa siri perawatan dengan bersewang telah dilaksanakan hingga namun tidak memberi kesan.  Biasanya apabila bersewang dan masih tidak sembuh maka ada ritual tertentu perlu dilakukan di hutan untuk menghalau gangguan itu (mengikut kepercayaan mereka).  Bagi kami guru-guru baru di situ sudah sepakat hendak mengikut untuk melihat dengan lebih dekat upacara yang akan dilaksanakan pada malam itu.

Pada petang itu, semasa sedang berehat di hadapan rumah guru, aku terpandang beberapa orang lelaki dan perempuan sedang menghampiri rumah kami.  Semakin hampir, aku dapat kenali merekalah keluarga yang sedang bersedih itu.  Kedua suami isteri itu mendukung anak yang sedang demam dan diiringi beberapa orang jiran mereka.  Aku memang sangat terkejut kerana mereka datang ke situ untuk meminta kami (muslim) berdoa kepada ALLAH agar anak itu sembuh dan selamat semasa ritual itu yang akan dilaksanakan pada malam itu.  Kami semua saling berpandangan dan tidak tahu apa yang harus dilakukan.

Kemudian, seorang rakanku yang lebih berumur antara kami meminta kami mengambil wuduk masing-masing.  Dia membawa semangkuk air dan menyuruh kami berkumpul di hadapan mangkuk air itu.  Kami membawa bersama-sama surah Alfatihah dan berzikir.   Air itu kami serahkan kepada pasangan itu yang terus melihat perlakuan kami sejak tadi.  Air itu diminum dan disapukan ke kepala anak yang sakit itu.

Maghrib itu, sesudah aku solat, aku terdengar pasangan itu datang lagi.  Kali ini mereka datang untuk mengucapkan terima kasih.  Dengan izin ALLAH, rupanya air tawar kami tadi memang menjadi.  Walaupun kami tidak belajar sebarang ilmu perawatan, namun dengan keyakinan bahawa apa yang dilakukan itu akan memberi kesan, dan dengan kehendakNya jua, maka terhasillah air penawar yang mujarab daripada kami.

Isnin, 7 Mac 2011

Percaya dan Yakin ~ 2

Salam penuh kebahagiaan….

tangkal Gambar daripada internet

Pernah lihat tangkai dan azimat?  Pernah lihat aktiviti pemujaan di ‘kawasan keras’?  Pernah menggunakan jampi serapah?

Persoalan-persoalan di atas adalah situasi yang dikaitkan dengan budaya orang Melayu di gugusan Nusantara ini.  Mungkin suatu masa dahulu ia amat dekat dengan masyarakat kita kerana anutan orang Tanah Melayu suatu masa dahulu berkenaan animisme dan campuran agama Hindu (sebelum kedatangan Islam).  Namun, sedikit demi sedikit, situasi dan amalan di atas semakin dilupakan.  Tetapi, tidak dinafikan sekarang masih ada yang melakukan amalan kurafat seperti di atas.

Mungkin suasana ketika tahun 70-an dulu dapat memberikan gambaran kepada kita.  Pada ketika itu berlaku satu bentuk pertembungan kepercayaan dan keyakinan ketika hendak mendapatkan rawatan.  Ada satu golongan lebih percayakan bomoh dan dukun, namun ada satu lagi golongan lebih mencadangkan rawatan kedoktoran.  Pertembungan yang berlaku mungkin akan mengubah kepercayaan dan keyakinan kita kepada suatu institusi rawatan kepada rawatan yang lain.  Contohnya, apabila seseorang itu diserang suatu penyakit yang menyebabkan suhu badannya meningkat, maka bomoh akan berkata orang itu terlangkah ‘rumah’ orang bunian menyebabkan dia diserang.  Namun setelah menjalani beberapa siri rawatan bersama dengan bomoh itu dan masih belum sembuh maka dibawa pula pesakit berjumpa doktor.  Setelah diperiksa dan didiagnosis didapati bahawa orang itu terkena penyakit demam malaria.  Setelah menjalani rawatan yang ditetapkan dan dengan keizinanNya maka sembuhlah pesakit itu.  Maka pada ketika itu, keyakinan dan kepercayaan terhadap rawatan bomoh mula diragui.

Suatu situasi yang lain pula, seorang lelaki batuk tanpa henti beberapa lama.  Keadaannya bertambah parah hingga batuk mengeluarkan kahak darah.  Apabila diusul kepada rawatan doktor, tiada apa-apa penyakit yang dikesan.  Doktor hanya membekalkan ubat tahan sakit dan cadangan untuk berehat.  Setelah dibawa kepada bomoh pula, didapati bahawa lelaki itu terkena santau.  Rawatan bomoh dijalankan dan dengan keizinanNya maka sembuhlah lelaki tersebut.  Pada ketika ini pula, keyakinan terhadap doktor berkurang dan bertambahnya keyakinan terhadap perawatan jampi dan serapah.

Dua situasi di atas menunjukkan kepercayaan dan keyakinan kita boleh berubah apabila kita menghadapi sesuatu situasi.

Sebenarnya, ia ada dalam minda kita.  Apabila kita yakin kepada sesuatu perkara, tubuh akan bekerja untuk menguasai keadaan yang sesuai dengan keyakinan tersebut.  Namun, jika keyakinan dan kepercayaan itu diganggu, maka tubuh akan menolakkan dengan arahan minda.  Sama seperti situasi memakai tangkal dan azimat, jika kita meyakininya (dengan kehendak kuasa minda manusia), maka pasti tubuh akan bekerja untuk menguasai diri menjadi kebal dan sebagainya.  Namun jika kita tidak meyakininya, maka pasti kita tidak akan kebal walaupun memakai 10 tangkal di badan.  Sama seperti situasi meminum air jampi, ada yang yakin dengan jampi yang dibacakan menyebabkan penyakit yang ada hilang serta merta.  Namun jika kita meyakininya, maka pasti air itu hanya sekadar melepaskan dahaga di kerongkong…

Sabtu, 5 Mac 2011

Percaya dan Yakin

Salam penuh kasih sayang daripadaku buat semua…

gerhana Gambar daripada internet

Percaya dan Yakin, Sudahkah Anda Menguasainya?

Kepercayaan dan keyakinan adalah suatu nilai yang perlu ada dalam diri kita.  Sebagai seorang Islam, kita tentu sudah dididik sejak kecil lagi untuk membentuk kepercayaan dan keyakinan dalam diri.  Hal ini berlaku melalui didikan membentuk keimanan dan kepercayaan.  Mungkin perkara itu lebih menjurus kepada hal spiritual atau keagamaan, namun konsepnya adalah sama; membentuk keyakinan.  Apabila keyakinan sudah ada, maka perkara lain berkaitan dengannya akan dapat kita laksanakan dengan lebih mudah.  Contohnya, apabila kita yakin tentang perintah ALLAH untuk melaksanakan solat, maka pasti kita akan dapat menepati kehendak tanggungjawab itu dengan lebih mudah.

Berbalik kepada soalan tadi, ‘sudahkah anda menguasainya’?  Hal ini kurujukkan berkenaan dengan situasi dalam kehidupan kita.  Kebanyakan daripada kita menginginkan kejayaan (pelajaran dan pekerjaan), mahukan kemewahan (kewangan dan harta), mengimpikan kebahagiaan (cinta dan kasih sayang), dan pelbagai jenis impian dan keinginan yang lain.  Persoalannya, adakah kita benar-benar yakin mampu untuk memilikinya?

Melalui keyakinan dan kepercayaan bahawa kita pasti boleh mencapai apa yang kita hajatkan itu, maka pasti kita akan dapat merasakan kemanisan kejayaan itu.  Memang diakui bahawa setiap sesuatu itu tetap berlaku dengan keizinanNya jua, namun ia perlu bermula daripada diri kita sendiri.  Contohnya jika kita hendak ke utara, maka tindakan kita haruslah memandu kenderaan menuju ke jalan dan simpang untuk ke utara.  Mana mungkin jika kita membelok ke arah selatan dan berharap untuk sampai ke utara. 

Situasi ini menunjukkan tindakan dan kepercayaan kita untuk mendapat sesuatu itu perlu bermula daripada dalam diri kita sendiri.  Keyakinan untuk mencapai kejayaan akan membuatkan segala tindakan kita menjurus kepada kejayaan tersebut.  Umpama seorang budak di bangku sekolah yang inginkan kejayaan.  Apabila dia memikirkan kejayaan, mana mungkin dia akan melengah-lengahkan usaha untuk mencapai kejayaan tersebut.  Jadi, melalui keyakinan untuk berjaya itu akan membuatkan dia bangun untuk melakukan sesuatu untuk mencapai kejayaan tersebut.

Percaya dan yakin, kekadang diganggu oleh satu perasaan yang sukar untuk diterangkan.  Perasaan yang dimaksudkan itu adalah ragu-ragu.  Jika kita ragu-ragu, itu adalah merupakan masalah besar untuk mencapai kejayaan tersebut.  Umpama gambaran memandu kereta ke utara tadi….sedang selesa memandu ke utara (gambaran kepada yakin untuk berjaya) tiba-tiba kita membelok ke selatan ( gambaran kepada ragu-ragu ), maka pasti hasilnya kita tidak akan sampai ke utara.

Sudahkah anda menguasai keyakinan dan kepercayaan anda untuk berjaya?